|
MENGGALAS tugas sebagai sukarelawan bukanlah impian kepada ramai orang kerana ia tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan selain menuntut komitmen yang tinggi. Namun, pandangan itu mungkin berbeza bagi seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 39.
Niatnya hanya satu. Dia mahu menabur bakti di rumah berkenaan. Sejak enam tahun lalu, Nor menjadi salah seorang daripada penghuni Rumah Solehah yang terletak di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Menurut Nor, dia dijangkiti virus HIV sejak tujuh tahun lalu daripada arwah suaminya yang juga bekas penagih dadah. Selepas disahkan sebagai penghidap HIV positif, Nor berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan meskipun mampu meraih pendapatan sebanyak RM800 sebulan.
Enggan menyusahkan keluarganya, Nor menumpang teduh di Rumah Solehah sekali gus menjadi sukarelawan di rumah tersebut.
Meskipun menerima pendapatan sebanyak RM800 sebulan ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun bagi Nor wang bukanlah segala-galanya. Sebaliknya, wanita ini sanggup berhenti kerja itu demi mencurahkan bakti untuk anak-anak yang senasib dengannya di Rumah Solehah.
Kekuatan mental

“Begitupun, tugas sebagai sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi ia membabitkan isu-isu psikologi yang memerlukan kekuatan mental dan rohani.
“Di rumah ini, terdapat sepuluh orang kanak-kanak yang berusia antara tujuh bulan sehingga 14 tahun. Jadi, mereka ini masih memerlukan kasih sayang daripada seorang ibu,” ujarnya yang mendapat elaun. Namun, Nor enggan mendedahkan jumlah elaun yang diperolehnya.
Antara tugas yang dilakukan oleh Nor setiap hari adalah menyapu sampah, melakukan kerja-kerja mengelap lantai, selain mengemas bilik tidur penghuni dan ruang tamu.
Dia yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun mengakui amat tersentuh dengan nasib penghuni di rumah berkenaan.
Namun, jauh di sudut hatinya dia berasa puas dan terhibur melihat telatah kanak-kanak di Rumah Solehah sepanjang berkhidmat di institusi tersebut.
Bercerita mengenai pengalaman menjaga kanak-kanak, Nor mengakui dia sering dihujani dengan pelbagai soalan yang membabitkan emosi.
Berbekalkan pengalaman, dia bersyukur kerana dapat menangani soalan-soalan yang dilontarkan dengan baik walaupun kadangkala soalan-soalan itu membuatkan hati kecilnya sebak.

“Lazimnya, kanak-kanak ini akan bertanya tentang ibu bapa mereka, mengapa tidak datang menjenguk mereka dan seringkali mengadu rindu.
“Masa itu, hanya Allah sahaja tahu perasaan saya. Kadangkala saya sendiri tidak mampu untuk menjawab soalan-soalan mereka dan hanya mampu memujuk dengan sedaya upaya,” katanya yang mahu memberi khidmatnya selagi dia diberi kesihatan yang baik.
Dihujani persoalan
Menurut Nor, dia juga sering dihujani dengan pelbagai persoalan daripada seorang penghuni remaja di rumah tersebut. Remaja yang berumur 14 tahun itu sering bertanya tentang penyakit yang dihidapinya.
Apa yang lebih sukar kata Nor, kata-kata dorongan sahaja tidak mampu untuk membantu meniup semangat untuk mereka yang hidup dengan HIV, tetapi apa yang lebih penting adalah kekuatan rohani untuk menerima takdir yang sudah tertulis.
Sementara itu, sukarelawan Yayasan Pencegahan Jenayah, Rasida Ramli, 50, yang telah berkhidmat kira-kira sepuluh tahun sebagai sukarelawan di rumah yang sama cukup teruja dengan kerjaya yang diceburinya itu.
“Saya mempunyai perniagaan sendiri, namun setiap hari Rabu saya akan menjalankan kerja-kerja sukarelawan dengan memberi khidmat kaunseling kepada golongan yang memerlukan.

“Menjadi sukarelawan memang sudah menjadi minat saya sejak dulu lagi. Melihat kesengsaraan dan nasib mereka yang kurang bernasib baik terutama wanita dan kanak-kanak benar-benar mengusik jiwa,’’ katanya yang mahu membantu golongan yang kurang bernasib baik ini sentiasa mengukir senyuman.
Rasida tidak menafikan tanggungjawab sebagai sukarelawan bukan satu tugas mudah. Namun atas nama tanggungjawab, dia juga menawarkan kelas tuisyen kepada kanak-kanak di Rumah Solehah. Bahkan, dia juga sering meluangkan masa menjadi pendengar setia kepada wnaita-wanita yang menginap di rumah tersebut.
Rasida percaya, mereka memerlukan kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: