Friday, January 13, 2012

Kekeliruankesaksamaan gender


KESAKSAMAAN gender bukan bermakna seseorang boleh melawan fitrah jantina hakikinya.


GENDER ialah persepsi, perlakuan dan tindak tanduk individu dan masyarakat yang terhasil daripada proses sosialisasi (masyarakat) yang membezakan peranan, tanggungjawab, pengagihan kuasa, pengagihan sumber dan hak-hak antara lelaki dan wanita. Secara mudahnya gender ialah satu sifat yang melekat pada kaum lelaki mahupun wanita yang dibina secara sosial dan budaya.

Contohnya, wanita itu dikenali lemah lembut, cantik, emosional atau keibuan. Lelaki pula dianggap sebagai manusia yang kuat, rasional dan perkasa (Mansour Fakih. 1996. Analisis Gender & Transformasi Sosial)

Hakikatnya, ciri dan sifat itu merupakan sifat-sifat yang dapat ditukar ganti. Lelaki boleh juga jadi emosional dan lemah lembut dan wanita pula kuat, rasional dan perkasa.

Secara gender lelaki dan wanita adalah sama, secara biologi lelaki dan wanita berbeza. Perbezaan tersebut tidak boleh berimplikasi kepada perbezaan gender kerana perbezaan gender hanya akan memunculkan ketidakadilan secara terancang terhadap golongan wanita.

Gender dalam perlembagaan

Artikel 8(2) dalam Perlembagaan Persekutuan menjelaskan, bahawa lelaki dan wanita diberikan hak yang sama tanpa mengambil kira perbezaan jantina atau gender seperti amalan tradisi terdahulu.

Secara keseluruhan, pencapaian wanita Malaysia adalah tinggi dan sumbangan secara signifikan dalam pelbagai bidang arus pembangunan negara khususnya dalam sektor pendidikan.

Statistik menunjukkan kira-kira 38.1 peratus jumlah pelajar wanita belajar peringkat doktor falsafah berbanding lelaki, 52.9 peratus (sarjana) 61.9 peratus (ijazah pertama), 58.2 peratus (diploma) serta 64.8 peratus (diploma lepasan ijazah).

Bagaimanapun, bilangan wanita dalam pekerjaan dan menduduki jawatan tinggi masih agak rendah di Malaysia. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) kerajaan meletakkan sasaran 30 peratus wanita memegang jawatan membuat keputusan dalam sektor awam. Malaysia mencapai 18 peratus wanita dalam jawatan ini pada 2004 dan namun kini menurun 15.5 peratus.

Kesaksamaan gender bukan pemusnah ciri istimewa

Biarpun masih terdapat jurang dalam kesaksamaan dan kesetaraan gender yang diamalkan di Malaysia namun, tidak dapat dinafikan kaum wanita hari ini telah diberikan peluang yang banyak untuk bersaing dengan kaum lelaki.

Contohnya hari ini, telah ada juruterbang wanita yang sebelum ini hanya dipelopori oleh lelaki.

Bukan hanya wanita malah, kaum lelaki juga merasai nikmat kesaksamaan gender itu apabila ramai lelaki turut diterima menyertai sektor pekerjaan yang sebelum ini dimonopoli oleh wanita.

Sewajarnya kaum wanita dan kaum lelaki juga bersyukur dengan peluang yang diberi.

Namun, seperkara yang menyedihkan dan tidak patut berlaku ialah kesaksamaan gender yang diberikan itu tidak boleh dijadikan sebagai pemusnah ciri unggul dan istimewa seorang wanita malah, juga lelaki.

Mengikut pemerhatian saya, ada wanita yang menyertai bidang dikuasai lelaki sebelum ini dan ada lelaki yang menyertai bidang yang dikuasai wanita sebelum ini mengubah penampilan diri yang sepatutnya dipelihara.

Penampilan seorang wanita masih boleh dikekalkan biar pun terlibat dalam kerjaya seorang lelaki dan begitu juga sebaliknya.

Kecemerlangan dalam menggunakan peluang hasil kesaksamaan gender masih boleh dicapai jika seseorang itu menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaiknya, menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa lupa diri dengan jantina sebenar.

Paling penting, bagi seorang muslim dan muslimah, kesaksamaan gender bukanlah satu kebenaran untuk tampil berbeza hingga melanggar ketetapan syariat.

Wanita dan lelaki tetap perlu menjaga batasan aurat dan batas pergaulan. Andai aurat dan pergaulan dijaga, kesaksamaan gender akan jadi lebih cemerlang dan mudah diterima oleh setiap ahli masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: