Saturday, January 14, 2012

Falsafah seni bina Opera Sydney


RUMAH OPERA SYDNEY menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara dan majlis bertaraf dunia.


SESUAI dengan statusnya sebagai sebuah kota metropolitan di Australia, Sydney mempunyai pelbagai keunikan yang tersendiri.

Terdapat pelbagai destinasi yang boleh dilawati sepanjang berada di sini antaranya Sydney Harbour Bridge, Akuarium Sydney, Pantai Bondi, Masjid Gallipoli, The Rocks Market, Paddy's Market, The Australia Reptile Park dan Taman Marks.

Bagaimanapun, kunjungan ke Sydney seakan tidak sah sekiranya tidak melawat salah satu mercu tanda negara itu iaitu Rumah Opera Sydney yang terletak berdekatan dengan Sydney Harbour Bridge.

Diiktiraf antara ikon seni bina terunggul pada abad ke-20, rumah opera itu memiliki daya tarikan yang mengagumkan sehingga menarik jutaan pengunjung saban tahun.

Reka bentuk futuristik dan bentuk geometri unik umpama cengkerang laut merupakan ilham arkitek terkenal yang berasal dari Denmark, Jorn Utzon.

Menariknya, hasil rekaan Utzon sebenarnya dipilih semula pada saat akhir daripada fail rekaan peserta yang ditolak. Ini kerana reka bentuknya dianggap sesuatu yang mustahil untuk dibina.


RUANG dalam dewan yang direka penuh sofistikated.


Utzon memulakan kerja pembinaannya pada tahun 1957 tetapi, berhenti daripada projek tersebut pada tahun 1966 berikutan kontroversi mengenai bajet berlebihan untuk pembinaan itu.

Sebelum dibuka pada tahun 1973, masih terdapat kritikan mengenai bangunan itu yang dikatakan tidak menarik dan membosankan.

Sesuai dengan namanya, rumah opera itu juga menjadi tempat untuk pelbagai pertunjukan teater muzikal, opera, balet dan lain-lain seni teater.

Ruang yang paling besar ialah di Concert Hall yang mampu memuatkan 2,679 penonton, manakala Opera Theatre pula mampu menampung kapasiti sehingga 1,507 penonton.

Di samping itu, terdapat juga beberapa ruang lain yang sesuai untuk persembahan berskala kecil. Antaranya ialah Drama Theatre, Playhouse, The Studio, Utzon Room dan ruang terbuka, Forecourt.

Setiap tahun, Rumah Opera Sydney mengendalikan lebih 1,500 acara dan pentas seni yang dihadiri kira-kira 1.2 juta penonton, sekali gus menjadikannya yang tersibuk di dunia.

Di samping itu terdapat beberapa kemudahan lain yang disediakan seperti studio rakaman, kafe, restoran, bar dan ruang perniagaan.

Popularitinya, menyebabkan ia dikunjungi kira-kira tujuh juta pelawat saban tahun. Bagaimanapun, terdapat khidmat pemandu pelancong yang disediakan bagi tujuan lawatan di keseluruhan bangunan itu.

Pada tahun 2007, Rumah Opera Sydney telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: