GUNUNG Tapis berketinggian 1,512 meter dari aras laut terletak kira-kira 16 kilometer dari pekan Sungai Lembing, Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri.
Maka, tidak hairanlah saban tahun, gunung itu sering menjadi tumpuan pencinta alam khususnya kepada mereka yang menggemari aktiviti lasak dan mencabar.
Penghujung Disember yang lalu, penulis berkesempatan menyertai ekspedisi ke Gunung Tapis bersama gabungan 15 orang pendaki pelbagai organisasi rekreasi dari sekitar Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Kelantan .
Ikuti catatan pengembaraan penulis sepanjang ekspedisi ini yang berlangsung selama tiga hari dua malam.
Hari pertama - hampir dihanyut arus
Kami memulakan perjalanan sekitar pukul 1 pagi. Diketuai oleh Qayyum Ahmad, kumpulan ekspedisi yang disertai 15 pendaki itu bergerak secara konvoi menaiki kereta menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju ke Sungai Lembing, Pahang.
Ketibaan kami di lokasi yang terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah satu ketika dahulu itu disambut oleh jurupandu arah, Muhammad Noh atau lebih mesra dengan panggilan Aya Mat, 54.
Setelah mengalas perut dan membeli juadah makan tengah hari di sebuah warung di Sungai Lembing, kami menuju ke Balai Polis Sungai Lembing untuk memaklumkan aktiviti pendakian.
Sebuah lori satu tan disewa khas bagi membawa peserta menuju ke lokasi permulaan pendakian ke gunung Tapis iaitu di Kem 1.
Setelah satu jam setengah perjalanan, kami tiba di sebuah kawasan resort tinggal, tidak jauh dari Kem 1.
Bagaimanapun, lori yang membawa kami terhenti di pertengahan jalan. Kejadian ribut beberapa hari sebelumnya menyebabkan sebahagian laluan terhalang dek batang pokok yang tumbang.
Akibatnya, kesemua pendaki terpaksa berjalan kaki selama hampir sejam sebelum tiba di Kem 1.
Usai membaca doa, kami diberi taklimat ringkas sebelum memulakan pendakian dengan merentasi Sungai Kuantan.
Bagaimanapun, hujan lebat pada malam hari menyebabkan berlakunya fenomena kepala air. Paras air sungai yang naik mendadak serta arus kuat menyukarkan ia dilalui.
Seutas tali keselamatan terpaksa dipasang bagi memudahkan kami menyeberanginya.
Selang beberapa minit kemudian, berlaku sesuatu yang tidak diingini apabila seorang rakan kami hampir lemas dihanyutkan arus deras.
Mujurlah, kecekapan Aya Mat yang menyedari kejadian itu berjaya menyelamatkannya sekali gus berjaya mengelakkan insiden buruk daripada berlaku.
Selepas dua jam meredah sungai, kami meneruskan perjalanan ke Kem Cabang Dua. Sepanjang perjalanan, kami diiringi bunyian unggas dan burung yang mendamaikan jiwa. Malah, kami juga terpesona melihat keindahan alam semula jadi dan air terjun yang mengalir tenang di sekitarnya.
Dalam jejak perjalanan, kami menemui jejak najis gajah di denai yang kami lalui. Menurut Aya Mat, hutan di sekitar banjaran Gunung Tapis yang bersambung ke Taman Negara Pahang itu menjadi tempat tinggal pelbagai jenis hidupan liar. Selain gajah, ia juga menjadi habitat bagi kijang, rusa, tapir, kancil dan sebagainya.
Selepas beberapa jam berjalan, kami akhirnya tiba di Kem Cabang Dua.
“Ok, kita berhenti rehat seketika di sini untuk makan tengah hari dan solat Zuhur”, kata Aya Mat.
Tepat jam 2 petang kami meneruskan pendakian ke Kem 2. Perjalanan agak sukar berikutan terdapat pokok tumbang dan denai yang ditumbuhi semak-samun.
Kami akhirnya tiba di Kem 2 dan berehat seketika sebelum mendaki sebuah bukit dikenali sebagai Bukit Tobat.
Tanpa disangka, hujan mula turun dengan lebatnya menyebabkan trek yang kering bertukar menjadi agak licin dan berlumpur.
Bagaimanapun, itu semua tidak mematahkan semangat pendaki, langkah terus diatur sehingga tiba di Kem 3.
Menariknya, di situ terdapat sebuah batu peringatan tulisan Cina. Menurut Aya Mat, batu peringatan itu dibina bagi mengingati salah seorang pendaki dari Singapura yang meninggal dunia di situ beberapa tahun lalu.
Hari semakin gelap menyebabkan khemah segera didirikan. Segala persiapan memasak juadah makan malam mula diatur, ada juga peserta yang mengambil kesempatan membersihkan diri di sungai berhampiran.
Setelah menikmati juadah makan malam, kami mengisi masa yang ada dengan aktiviti suai kenal bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim antara pendaki.
Sesekali tubuh menggigil kesejukan ditiup deruan angin bayu malam membuatkan segelintir pendaki sudah mula mengantuk dan meminta diri untuk tidur.
Hari kedua - menawan puncak
Selesai sarapan dan berkemas, kami meneruskan perjalanan untuk misi menawan puncak Gunung Tapis.
Semakin tinggi jarak pendakian, semakin mencabar laluan yang perlu dilalui. Paling mencabar tatkala melalui cerun berbatu yang curam dan licin sehingga memaksa kami berpaut pada tali dan akar-akar pokok berhampiran.
Namun, segala kepayahan itu hilang sebaik sahaja kami tiba di Kem Permatang. Panorama tumbuhan gunung yang menghijau serta diselaputi lumut membuatkan kami bersyukur di atas kebesaran Ilahi.
Seterusnya, kami tiba di satu kawasan yang dipanggil Taman Bonsai. Kehadiran pokok bonsai dan pokok oak yang tumbuh subur mengingatkan saya akan filem Lord of The Ring yang pernah ditonton suatu ketika dahulu.
Kepuasan jelas terpancar di wajah setiap pendaki apabila berjaya melihat puncak Gunung Tapis di depan mata. Cuaca agak berkabus dan suhu sejuk mencecah 19 darjah Celcius.
Penulis sendiri menggigil kesejukan apabila ditiup angin monsun yang merentasi puncak gunung itu. Di atasnya, terdapat sebuah objek dikenali sebagai Beirut, dimiliki oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia yang digunapakai untuk kerja-kerja pemetaan.
Sesudah berehat, menikmati hidangan dan mengambil gambar, kami turun kembali ke Kem 3 dan menuju ke Kem Cabang Dua yang secara keseluruhannya memakan masa lima jam perjalanan.
Malam yang menjelma menyebabkan kami terpaksa bergantung kepada lampu suluh dan lampu kepala untuk memudahkan pergerakan.
“Kamu semua perlu berhati-hati, jangan berpecah antara satu sama lain. Dah malam-malam ini, macam-macam boleh jadi,” pesan Aya Mat menyebabkan kami semua akur.
Kami akhirnya selamat tiba di Kem Chabang Dua sekitar pukul 11 malam sebelum mendirikan khemah. Bagaimanapun disebabkan malam yang semakin lewat, kami hanya memasak ala kadar sahaja untuk mengalas perut yang kelaparan.
Hari ketiga -
Kami meneruskan perjalanan pulang ke Kem 1. Alhamdulillah, cuaca pada hari ketiga agak baik tidak seperti hari-hari sebelumnya.
Paras air Sungai Kuantan kembali surut dan tidak lagi deras sekali gus memudahkan kami mengharunginya tanpa bantuan tali keselamatan.
Tepat pukul 1 petang, lori yang ditugaskan menjemput kami pun sedia menanti. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan pulang ke pekan Sungai Lembing.
Kepuasan dan keceriaan jelas terukir di wajah setiap pendaki setelah berjaya menamatkan ekspedisi itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: