
BALI ialah syurga istirehat bagi mana-mana pelancong dalam tarikan utamanya iaitu suasana persekitaran semula jadi dan cara hidup penduduk tempatan.
Bagaimanapun, satu lawatan baru-baru ini ke kuil Uluwatu (Pura Uluwatu) yang terletak 25 kilometer (km) ke selatan Denpasar mendedahkan satu tarikan yang boleh dikatakan agak luar biasa – telatah aneh kera Uluwatu.
Pura Uluwatu adalah sebuah kuil silam yang dibina oleh seorang pendeta Hindu Jawa pada kurun ke-11. Kuil yang terdiri daripada siri bangunan batu yang terletak di tepi cenuram tinggi itu menawarkan pemandangan indah Lautan Hindi bersama gelora badai di bawahnya. Pemandu pelancong kami, I Wayan Sedana, membawa kami ke situ untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam dan tarian kecak yang mengiringinya.
Bayaran masuk sebanyak 6,000 Rupiah (kira-kira RM2.20) dikenakan bagi setiap pelawat dan mereka perlu mengikat selempang kuning di pinggang atau memakai sarung berwarna ungu sebelum melangkah ke pintu masuk.
Kera peragut
Kami disambut oleh kehadiran kera, daripada jenis long tailed macaque. Oleh kerana kami telah diingatkan terlebih dahulu oleh I Wayan akan telatah aneh kera-kera itu, kami cuba sedaya menjauhi kera-kera tersebut tetapi, mereka tetap mahu mendekati kami!
Dalam beberapa minit sahaja kami sendiri menyaksikan mengapa para pelawat perlu berwaspada semasa berada di situ. Kera-kera itu meragut apa sahaja daripada pelawat termasuk beg, topi, kamera dan yang lain.
Namun, paling aneh adalah perbuatan yang nampaknya menjadi kegemaran mereka – merampas kaca mata!
Ketika itu kami melihat seorang warga asing dalam keadaan terdesak merayu seekor kera di atas bumbung sebuah daripada bangunan kuil meminta kaca matanya dipulangkan. Begitupun, kera itu langsung tidak mengendahkannya. Sebaliknya kami tertawa pula melihat telatah kera yang mencuba kaca mata itu di mukanya!

Ramai penjaga ditempatkan di situ untuk menghalang kera mendekati pelawat tetapi haiwan bijak itu mempunyai caranya tersendiri untuk menyerang hendap dan mengenal pasti sasarannya.
Gerak pantas
Seekor daripada kera di situ dilihat telah merampas kaca mata hitam seorang pelancong Eropah. Seorang lagi warga emas Asia yang duduk bersama kumpulannya kehilangan kaca mata apabila seekor daripada kera datang merampasnya dari belakang dalam satu gerakan teratur yang pantas.
Kemudian, berlaku pula satu senario berbahaya. Seorang pelancong warga Korea yang sibuk merakamkan matahari terbenam di ufuk menggunakan tripod di tepi cenuram hampir terjatuh ke bawah apabila seekor kera melompat ke atasnya dan meragut kaca mata beliau.
Kumpulan pelancong lain yang berada di belakang penghadang konkrit segera meluru ke depan untuk melihat nasib pelancong malang itu. Dia bagaimanapun ditemui dalam keadaan selamat tetapi terkejut.
Seorang penjaga kuil berjaya mendapatkan cermin mata daripada kera itu, namun yang tinggal hanyalah bingkai yang herot.
Sehingga matahari terbenam, lebih sedozen pelawat telah kehilangan kaca mata mereka.
Haiwan bijak
![]() |
| PELANCONG yang memakai pakaian kasual akan disarungkan dengan kain ungu ini ketika melawat sekitar kawasan kuil di Uluwatu. |
Daripada pemerhatian, setiap kali kera-kera itu merampas sesuatu, penjaga akan mengejar mereka dan menawarkan kepada mereka buah, biasanya buah rambutan, untuk ditukar dengan barangan yang diragut itu.
Oleh itu, kera-kera ini tahu bahawa ia boleh mencari makan dengan meragut barangan milik pelawat dan akhirnya bakal ditukar dengan makanan. Nampaknya ini satu ‘modus operandi’ yang lazim di situ.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan pelawat, khasnya yang tidak berkaca mata, haiwan itu adalah watak menawan yang terdapat di tapak kuil tersebut.
Kehadirannya menghiburkan para pelawat dengan telatah aneh dan bayangan mereka di sebalik latar matahari terbenam menawarkan peluang penggambaran yang hebat.
Di sebalik telatah kera itu, Uluwatu masih menjadi satu tempat yang mesti dilawati.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: