|
IRONI, Adele Laurie Blue Adkins atau nama pentasnya Adele bukan nama asing. Dia telah berada dalam industri muzik dunia lima tahun lalu. Malah menerusi debut berjudul 19, Adele juga sempat menerima empat pengiktirafan platinum di United Kingdom.
Namun hanya tahun lalu, namanya semakin menjadi sebutan. Baru ramai yang tercari-cari siapa pemilik vokal lunak dengan alunan cukup matang dan tersendiri di sebalik single Rolling In The Deep yang termuat di dalam album dengan judul 21.
Pada waktu itulah, baru mereka temui pemiliknya, si Adele, penyanyi dengan potensi luar biasa yang baru berusia 23 tahun.
Dilahirkan di Tottenham, London, England, Adele hanya dibesarkan oleh ibunya, seorang pereka perabot.
“Saya tak pernah kenal siapa bapa saya dan dia tidak berhak membuat kenyataan mengenai saya!,” ujar Adele sedikit bengang saat disinggung tentang identiti bapanya yang sebelum ini muncul di sebuah akhbar tabloid Britian dan mengaku bahawa dia anaknya.
Sebaliknya, apa yang dia tahu, hanya ibunya yang wujud dalam kehidupan dia sejak 23 tahun lalu.
Bersama ibunya juga dia menikmati mimpi yang kini menjadi realiti. Mula menyanyi seawal usia empat tahun dan sudah sedar bahawa dia memiliki vokal yang begitu hebat, Adele terpengaruh untuk menjadi penyanyi kerana begitu meminati grup Spice Girls.
Grup tersebut yang telah membuat dia mengenali muzik sebelum sekitar usia 14 tahun, cintanya beralih kepada muzik jenis R&B dan mula jatuh hati dengan muzik alunan Aaliyah, Destiny's Child dan Mary J. Blige.
“Namun Pink adalah penyanyi yang telah membuat saya benar-benar mahu menjadi seperti mereka (penyanyi). Saya melihat dia menyanyikan lagu Missundaztood. Ia persembahan yang cukup memukau,” ujarnya yang kemudian mengikuti pengajian di BRIT School for Performing Arts & Technology di Croydon pada tahun 2006.
Tamat pengajian, dia yang lebih berminat untuk menjaga bahagian A&R berharap dapat membantu seseorang melancarkan album dan karier mereka.
Sebaliknya, Adele yang kemudian terjebak menjadi penyanyi dan terkenal kini apabila seorang rakan memuat naik lagu nyanyiannya di laman Myspace.
Waktu itu, dia telah memberi dua buah lagu di laman PlatformsMagazine.com. Pada masa yang sama, dia merakamkan tiga buah lagu untuk projek kelas dan diberikan kepada seorang rakan sebelum rakannya itu memuat naik di Myspace dan Adele kemudian dihubungi syarikat rakaman XL Recordings untuk dilamar menjadi artis.
“Pada awalnya saya curiga dengan lamaran tersebut kerana saya hanya mengetahui Virgin Records sebagai syarikat rakaman. Saya pergi ke pertemuan dengan pihak XL Recordings dan membawa seorang rakan untuk menemani saya selepas itu, termeterai perjanjian antara kami,” ujar Adele tertawa kecil mengenang kembali perjalanan seninya.
Mencapai sukses
Tidak mengambil masa yang lama, maka lahirlah album perdana yang diberi judul 19. Ia adalah lambang usianya sewaktu dia membikin naskhah tersebut.
Menerusi 19, Adele menjadi sebutan dengan single berjudul Chasing Pavements. Dia menerima banyak pencalonan termasuk Anugerah Mercury Prize dan Artis Wanita Terbaik UK dan Artis Baharu Terbaik dalam Q Awards.
Untuk mengukuhkan tapak sebagai penyanyi, Adele kemudian mengikat kontrak bersama Columbia Records dengan kerjasama XL Recordings untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Ternyata percaturan tersebut berhasil. Namun dia sendiri yang menghancurkan karier yang baru ingin berkembang apabila membatalkan sesi jejalahnya hanya kerana takut meninggalkan kekasih!
“Saya fikir waktu itu saya terlalu takut untuk kehilangan dia (bekas kekasih). Saya tidak berfikir panjang dan terus membatalkan jelajah itu,” katanya yang bagaimanapun mula sedar bahawa perbuatannya silap.
Menyedari kesilapan, dia menebus kembali dengan konsisten terhadap karier.
Maka lahirlah 21 pada tahun lalu yang telah meledakkan namanya di seluruh dunia. Single Rolling In The Deep dan Someone Like You begitu digilai. Album ini turut membuat namanya tersenarai di dalam Guinness Book Of World Records sebagai artis solo wanita yang telah menjual albumnya sebanyak lebih tiga juta unit setahun hanya di UK!
Mengaku pada awalnya dia tidak mahu meletakkan judul 21 untuk album yang telah mengiktiraf namanya sebagai salah seorang pemenang anugerah tertinggi Grammy kerana bimbang dilabel tidak kreatif. Bagaimanapun perkara itu dibuang jauh.
Alasan Adele: “Selepas saya membaca semula ulasan tentang album 19 yang dahulu, saya kembali memilih 21 sebagai judul album kerana berasa 21 adalah usia yang matang. Secara peribadi, saya sendiri melihat kematangan saya dalam tempoh dua tahun itu. Malah saya fikir untuk menjadi seperti keterlaluan adalah lebih baik daripada mencuba untuk menjadi terlalu cerdik.”
21 kemudian diisi dengan banyak untaian berkaitan hati yang patah akibat putus cinta dengan kekasihnya. Melabelkan bekas kekasihnya sebagai seorang yang berseni namun tidak romantik, Adele bagaimanapun mengakui lelaki itu banyak membantu dia menjadi wanita yang lebih matang.
Ditanya adakah album merupakan medium terbaik untuk mencurah rasa, jawab Adele: “Secara peribadi saya tidak tahu dengan pendapat orang lain, tetapi saya hanya mahu menjadi jujur. Kadangkala ia bergantung kepada emosi saya.”
Menyentuh mengenai perjalanan kariernya yang cukup sukses pula, Adele mengatakan dia tidak mahu ambil pusing terhadap situasi yang berlaku sekarang.
Katanya: “Saya tidak membaca laporan tentang saya. Saya kira, pada masa kini, elok kalau saya terus membuat apa yang telah saya mulakan tanpa mahu mengambil kira apa yang orang perkatakan tentang saya kini. Jadi saya hanya membuat muzik seperti orang tidak mempedulikan saya sebelum ini.”
Cipta rekod
Menerusi siri konsert jelajahnya yang bermula pada 21 Mac hingga 25 September tahun lepas, Adele telah muncul di serata Eropah dan Amerika Utara.
Namun, salah satu konsert secara langsung yang paling berbekas di hati peminat-peminatnya sudah tentu konsert yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 22 September tahun lepas itu.
Sementelah konsert itu telah dirakamkan bukan sahaja dalam bentuk cakera padat tetapi juga cakera digital (DVD) yang kini boleh didapati di pasaran Malaysia RM65.90 (versi import) dan RM45.90 (versi tempatan).
Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album Adele Live at the Royal Albert Hall itu termasuklah hit Set Fire To The Rain, Someone Like you dan Rolling in The Deep.
Pada hari pertama ia dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat pada 29 November tahun lepas, DVD Adele Live at the Royal Albert Hall terus meraih kedudukan juara carta jualan DVD yang diaudit Nielsen SoundScan yang mana ia terjual sebanyak 96,000 unit.
Seminggu kemudian, ia mencipta rekod baharu carta dengan menjadi DVD terlaris yang terjual sepanjang tahun 2011. Kejayaan itu sungguh manis buat Adele kerana album, 21 dan single, Rolling in The Deep sebelum ini masing-nasing dinobatkan sebagai album dan single terlaris 2011.
Ini menjadikan Adele mencipta rekod Nielsen SoundScan sebagai artis pertama di dunia yang meraih album terlaris, single terlaris dan DVD terlaris untuk tahun yang sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: