Thursday, January 12, 2012

Dua Geng Mamak ditembak mati


POLIS memeriksa salah satu mayat anggota Geng Mamak yang mati ditembak di Taman Melati, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Polis mengesyaki dua penjenayah yang mati ditembak dalam kejadian samun dekat Wangsa Maju di sini kelmarin merupakan saki baki anggota Geng Mamak yang juga dipercayai pernah melarikan kutipan wang Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjumlah RM170,000 pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semakan polis mendapati kedua-dua suspek itu menjadi buruan polis sejak setahun lalu selepas mereka dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes samun pelanggan bank di ibu negara dan Selangor.

Modus operandi dua penjenayah itu ialah menyamar sebagai pelanggan sesebuah bank sebelum ahli itu menyalurkan maklumat kepada anggota lain mengenai mangsa yang mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak di bank tersebut.

Suspek yang berada di luar bank itu kemudian akan mengekori pelanggan bank terbabit sebelum menyamun mangsa di kawasan sunyi.

Menurut Chin Wah, suspek berusia 45 tahun yang mati ditembak itu mempunyai 12 rekod jenayah manakala suspek kedua yang berusia 35 tahun mempunyai lima rekod jenayah bersabit kes samun.

"Selain menjadikan ibu negara sebagai lokasi melakukan jenayah, kedua-dua suspek juga turut terlibat dengan jenayah sama di Negeri Sembilan dan Melaka.

"Dalam tempoh setahun melakukan jenayah, kedua-dua suspek itu dipercayai berjaya menyamun mangsa-mangsa yang kesemuanya berjumlah lebih RM1.08 juta termasuk disyaki terlibat dalam rompakan wang PPUM," kata beliau semasa dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, polis sedang menyiasat kaitan dua suspek yang ditembak mati itu dengan kes rompakan di PPUM sehingga menyebabkan seorang pengawal keselamatannya mati ditembak oleh perompak.

Semalam akhbar melaporkan, pemburuan polis terhadap sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki yang disyaki mencari mangsa untuk disamun tidak jauh dari pasar raya besar Carrefour, Wangsa Maju berakhir dengan dua daripada mereka mati ditembak di Persiaran Pertahanan, Taman Melati di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: