
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki bernama Ninja dan bapanya serta tiga yang lain didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan warga Singapura pada November tahun lalu.
Tertuduh, Ninja Abdul Latif, 22; bapanya, Abdul Latif Ahmad, 53; Ngu Lai Hoo, 38; Khairul Halmie Mohd. Azmi, 23; dan P. Vickneswaran, 25, mengangguk faham terhadap kedua-dua pertuduhan ketika dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Isa Mohamad.
Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh itu.
Bagi pertuduhan pertama, Ninja, Abdul Latif, Lai Hoo, Khairul dan Vickneswaran bersama beberapa lagi individu yang masih bebas didakwa menculik Sim Chee Yong, 56, dengan melarikan dia bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM800,000 daripada keluarga mangsa.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Jalan Tun Abdul Razak di sini pada pukul 11 malam, 26 November tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh bersama beberapa individu yang masih bebas didakwa membunuh Chee Yong di muara Sungai Kongkong, Masai pada 30 November tahun lalu pada pukul 3 pagi hingga pukul 11.30 pagi, 1 Disember 2011.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: