Thursday, January 5, 2012

ATM, Yayasan Restu terus program Wakaf Al-Quran


SAUDARA... Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan masyarakat Islam Kemboja pada majlis penyerahan al-Quran di negara itu.


BAGI membantu umat Islam yang sukar mendapatkan mushaf al-Quran khususnya di negara yang mereka menjadi masyarakat minoriti, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Yayasan Restu meneruskan program Wakaf Al-Quran bagi mengumpul dana untuk membiayai percetakan kitab suci itu.

Langkah itu diambil selepas program yang sama berjaya dilaksanakan di peringkat nasional pada 13 September 2007.

Hasil daripada kejayaan itu, telah meyakinkan ATM untuk terus melaksanakan program tersebut bersama Yayasan Restu sehingga 50,000 naskhah al-Quran berjaya dicetak seterusnya dihantar ke negara-negara minoriti Islam khususnya Kemboja pada 29 Julai lalu.

Penghantaran itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beserta rombongan yang menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bertemakan "Al-Quran Sinar Sejagat", program itu membuka peluang besar kepada umat Islam di negara ini untuk membelanjakan harta dimiliki ke arah lebih bermanfaat dan berkebajikan, sekali gus dapat membantu saudara seagama yang memerlukan al-Quran.

Kebelakangan ini, pelbagai cara digunakan oleh umat Islam untuk membelanjakan harta yang dimiliki ke jalan Allah SWT dan inisiatif ATM bersama Yayasan Restu itu boleh disifatkan sebagai program yang lebih meyakinkan umat Islam untuk menginfakkan harta mereka ke arah bermanfaat.

Bagi memudahkan umat Islam menyertai progam itu, mereka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip Wakaf 1 untuk RM1 dan hantar ke 36620. Wakaf 2 untuk RM2 hingga seterusnya wakaf 10 untuk RM10 dan hantar ke nombor yang sama.

Sehingga kini, dana terkumpul bagi program wakaf al-Quran kali kedua itu belum mencapai sasaran kutipan yang diperlukan iaitu RM2.2 juta.

Kutipan dana tersebut juga akan digunakan mencetak al-Quran bagi diagihkan kepada umat Islam di negara ini khususnya masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak, Orang Asli dan saudara baru.

Ketua Staf Markas ATM, Lt. Jen. Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, jumlah dana yang terkumpul sehingga 8 Disember lalu ialah sebanyak RM493,932.59 dan sumbangan akan terus diterima sehingga Februari ini.

"Ibadat dikira dengan perbuatan. Jadi, bukan jumlah sumbangan yang kita mahu titikberatkan namun perbuatan dari setiap umat Islam itu lebih penting.

"Sekiranya setiap umat Islam menyumbang secara konsisten, pastinya sasaran kutipan akan lebih cepat dikumpul dan proses percetakan serta pengagihan dapat dilakukan segera bagi membantu saudara Islam yang ingin memiliki al-Quran sendiri,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, selagi kitab suci itu digunakan, selagi itulah pendermanya akan mendapat ganjarannya sekali gus dapat menampal kekurangan amalan pada setiap hari.

"Hadis pun ada mengatakan bahawa orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ibarat seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Ini bermakna Allah akan melipatgandakan pahala dan kita harus percaya akan janjiNya," katanya.

Beliau berharap lebih ramai umat Islam khususnya akan terbuka hati untuk sama-sama menyumbang bagi membantu saudara seagama di negara lain mendapatkan kitab suci itu dengan cara lebih baik.

"Contoh terdekat ialah negara Kemboja. Ia salah sebuah negara yang amat kekurangan kitab suci dan bahan-bahan agama kerana kesemuanya telah musnah semasa penjajahan komunis satu ketika dahulu.

"Ketika ATM mewakafkan al-Quran di negara itu pada peringkat awal program ini, hanya masjid-masjid dan surau menerima kitab suci tersebut bagi kegunaan orang ramai. Namun apa yang mengejutkan, mereka membawa pulang kitab berkenaan ke rumah masing-masing.

"Atas tujuan itulah, kita meneruskan program ini agar mereka berpeluang memiliki al-Quran secara persendirian dengan cara yang lebih baik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: