BALING 3 Jan .- Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini berjanji untuk memberi sumbangan RM500 seorang kepada setiap murid Tahun Enam di daerah Baling yang berjaya mencatatkan keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.
Menurut beliau, hadiah tersebut merupakan satu usaha untuk merangsang calon UPSR di daerah ini agar lebih bersemangat dan tekun belajar demi masa depan mereka.
"Kita harap semua murid akan lebih berusaha untuk mencapai kejayaan kerana ilmu merupakan bekalan utama untuk kita semua," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian peralatan menulis kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Baling di sini hari ini.
Turut hadir, Guru Besar sekolah tersebut, Shaharuddin Epat.
Selain SK Baling, Abdul Azeez turut melawat dan diagihkan sumbangan tersebut kepada murid di SK Kupang, SK Binjul, SK Batu Pekaka, SJKT Binjul, SJKC Yeok Chee dan SK Tunku Putera.
Katanya, pemberian sumbangan itu adalah antara cara untuk UMNO mendekati sekolah dan mengenal pasti masalah murid-murid sesuai dengan usaha kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat.
Menurut beliau, pihaknya akan terus peka dan memberi keutamaan terhadap keperluan sekolah dan mengharapkan ibu bapa turut memberi penekanan ke arah itu.
"Ibu bapa juga perlu peka dengan masalah pendidikan anak-anak kerana mereka juga bertanggungjawab dalam usaha memacu pendapaian anak-anak ini,"ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: