|
|
MENYEDARI kehadirannya ke dalam dunia seni tanah air ini masih terlalu muda, Anzalna Nasir, 23 mengakui masih terlalu awal untuk dirinya menerima watak-watak yang agak berat. Malah adakala dia terpaksa menolak watak yang difikirkan terlalu hebat untuk dibawa oleh pendatang baru sepertinya.
Menurut gadis cantik ini, bukan niatnya untuk tidak mempercayai bakat yang dimiliki, namun buat masa ini dia lebih senang untuk membawakan watak-watak yang difikirkan mampu memberikan kepuasan buat diri sendiri.
"Saya akui masih lagi terlalu mentah untuk membawakan pelbagai watak dalam lakonan. Oleh itu tidak ada salahnya untuk saya menolak beberapa tawaran yang ditawarkan sebelum ini kerana kurang yakin dengan kemampuan diri.
"Biarlah saya merangkak dulu sekarang ini, saya tidak kisah. Ini kerana, saya percaya banyak lagi peluang yang akan tiba jika saya mampu membuktikan sesuatu," katanya dalam sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini.
Tidak pernah mendapat pendidikan secara formal di dalam dunia lakonan, menurut Anzalna dia amat bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya kini. Malah ini memberi peluang untuk muncul di dalam beberapa drama seperti Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir, Gemersik Kalbu, Ajaibnya Cinta dan terbaru, filem Sepah The Movie.
"Saya kini masih lagi di dalam proses pembelajaran untuk memantapkan tahap lakonan.
"Diberi peluang untuk berkongsi pengalaman bersama beberapa pelakon hebat tanah air seperti Umie Aida di dalam drama Ajaibnya Cinta juga, sebenarnya banyak membantu saya mengenalpasti kelemahan sendiri di dalam lakonan," katanya jujur.
Menolak sekiranya ada yang mengatakan dia hanya mempertaruhkan wajah untuk berada di dalam dunia lakonan, menurut Anzalna dia tidak pernah mahu bakat yang dimiliki di kategorikan sebagai kelas ketiga.
"Saya percaya kepada kemampuan diri, oleh sebab itu saya mengambil keputusan untuk terjun ke dalam bidang lakonan.
"Mungkin buat masa ini masih terlalu awal untuk mereka di luar sana menilai bakat yang saya miliki, tetapi saya percaya tanpa bakat juga tidak akan diberikan kepercayaan untuk masuk ke dalam bidang ini," katanya.
Pelakon penggoda
Mempunyai wajah yang menggiurkan, lantas tidak hairan, banyak watak yang diberikan kepada gadis ini lebih menjurus kepada watak wanita penggoda. Ini sehingga wujud tanggapan, Anzalna bakal menjadi pelakon dengan status simbol seks, selepas ini.
Bagaimanapun bagi empunya diri, ia bukan kehendak diri.
"Mungkin buat masa ini saya hanya menerima watak yang diberikan kerana mahu memantapkan diri dengan pelbagai watak.
"Bagaimanapun untuk digelar sebagai pelakon simbol seks, saya langsung tidak setuju kerana ia hanya bakal merencatkan perjalanan karier saya sebagai pelakon yang baru bermula ini," katanya.
Pernah mengejutkan peminat dengan penyebaran gambar dengan aksi yang kurang menyenangkan bersama bekas teman lelakinya, menurut Anzalna dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang.
Malah dia menganggap apa yang berlaku itu sebagai antara cabaran awal buat dirinya untuk bergelar sebagai anak seni.
"Sebagai seorang artis saya rasa itu merupakan perkara biasa yang perlu dihadapi. Malah kini untuk membetulkan semula tanggapan mereka di luar sana, saya mengambil keputusan untuk muncul dengan penampilan lebih sopan," jelasnya.
Ramai yang tidak tahu selain minat berlakon Anzalna juga secara diam menyimpan impian untuk bergelar seorang penyanyi suatu hari nanti. Malah bagi gadis yang mampu bertutur dengan baik di dalam bahasa Perancis ini juga, dia sebenarnya mahu menjadikan bidang ini sebagai platform terbaik untuk dirinya dikenali sebagai seorang usahawan suatu hari nanti.
"Saya sebenarnya minat bernyanyi dan menari, mungkin ini antara cabang seni yang ingin saya ceburi selepas lakonan.
"Bagaimanapun buat masa ini ada baiknya untuk saya memberikan fokus dahulu kepada bidang lakonan. Saya tidak mahu dilihat terlalu tamak sehingga mengabaikan kualiti persembahan.
"Selain itu juga saya bersama kakak saya juga berniat untuk membukan sebuah butik pakaian suatu hari nanti," katanya dengan harapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: