Wednesday, January 11, 2012

444 pasukan bakal bertarung




PUTRAJAYA – Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18 di sini akan digegarkan dengan penganjuran kejohanan futsal terbesar negara pada 20 hingga 22 Januari ini.

Kejohanan Futsal 1Malaysia Parlimen Kebangsaan 2012 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu akan menghimpunkan sebanyak 444 pasukan lelaki dan wanita yang mewakili 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Ia merupakan kesinambungan kepada Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia hasil inisiatif Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara KBS yang berlangsung pada 17 hingga 19 Disember 2010.


BINTANG-BINTANG futsal dari seluruh negara akan mempamerkan kehebatan masing-masing di Putrajaya pada 20 hingga 22 Januari ini.


Kejohanan tersebut diadakan bagi memberi peluang dan ruang kepada para pemain dari seluruh kawasan Parlimen untuk mempamerkan bakat dengan bersaing di peringkat lebih tinggi.

Akhbar Kosmo! sekali lagi dilantik menjadi rakan media kejohanan futsal paling meriah untuk golongan belia itu.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan KBS, Madzrib Ibrahim (gambar kecil) berkata, kejohanan itu akan menampilkan aksi seramai 4,440 pemain yang mewakili pasukan masing-masing termasuk dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ujarnya, pasukan yang layak bertanding pada pusingan akhir kejohanan tersebut merupakan juara Kejohanan Futsal 1Malaysia Peringkat Parlimen 2011 yang diadakan di seluruh negara beberapa minggu lalu.




“Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mencetuskan idea tersebut akan hadir merasmikan kejohanan berkenaan.

“Sepanjang tiga hari kejohanan, semua peserta akan menginap di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akan dijadikan perkampungan sukan,” kata Madzrib ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu lelaki dan wanita 15 tahun ke atas.

Menurut Madzrib, kejohanan kali ini akan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM68,400 dan piala pusingan serta medal.




Johan kategori lelaki akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 manakala bagi kategori wanita pula, juara akan menerima ganjaran RM10,000.

Seperti edisi sebelum ini, anugerah khas iaitu Bola Emas akan diberikan kepada pemain terbaik perlawanan akhir setiap kategori dengan pemenang akan membawa pulang medal serta hadiah wang tunai RM200.

Selain itu, para pengunjung akan turut dihiburkan dengan beberapa acara sampingan yang menarik.

Antaranya pertandingan mewarna, pertunjukan kereta cantik, pertandingan kereta kawalan jauh, cabutan nombor bertuah serta persembahan daripada artis-artis tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: