Wednesday, January 11, 2012

Bertam Ulu FC mahu jadi empat pasukan terbaik


PERSEFAHAMAN yang terjalin sejak enam tahun lalu menjadi kekuatan Bertam Ulu FC dalam menghadapi Kejohanan Futsal 1Malaysia Parlimen Kebangsaan 2012.


MELAKA – Bertam Ulu FC yang mewakili Parlimen Tangga Batu, Melaka meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Futsal 1Malaysia Parlimen Kebangsaan 2012 pada 20 hingga 22 Januari ini.

Ketua pasukan Bertam Ulu, Mohd. Ayob Alias berkata, walaupun amat yakin dengan kemampuan sendiri tetapi pasukan itu tidak mahu memandang rendah keupayaan pasukan lain yang akan menyertai kejohanan tersebut.

“Pasukan yang layak semuanya kuat kerana muncul juara pada peringkat Parlimen masing-masing.

“Sudah tentu kami perlu membuat persiapan rapi kerana kejohanan itu menemukan kesemua pasukan bergelar juara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Ayob yakin Bertam Ulu mampu mencapai sasaran ke separuh akhir berdasarkan keputusan cemerlang yang diperoleh Bertam Ulu FC semasa menyertai pertandingan besar sepanjang tahun lalu antaranya muncul juara kejohanan Kia Futsal With Soul Malaysia.

Katanya, kekuatan Bertam Ulu FC terletak pada persefahaman yang baik antara pemain kerana pasukan tersebut ditubuhkan sejak enam tahun lalu.

“Layak ke peringkat separuh akhir adalah sasaran minimum, tetapi kami akan berusaha untuk muncul juara.

“Jika muncul juara, ia merupakan permulaan yang baik untuk kami pada tahun 2012,” katanya.

Selain Mohd. Ayob, pasukan itu diwakili sembilan lagi pemain iaitu Riduwan Alias, Jamaludin Alias, Mohd. Firdaus Ambiah, Razman Abd. Razak, Yazid Kamaruzuan, Arizad Ali, Aniq Syazni, Muhamad Iderus Ali dan Mohd. Yazid Muhit manakala Fasarul Md. Isa bertindak sebagai Pengurus Pasukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: