ZULFAHMI...pamer tunggangan mantap
MUHAMMAD Zulfahmi Khairuddin mempamerkan tunggangan meyakinkan pada sesi kelayakan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia Shell Advance di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam apabila mencatatkan masa 2 minit 15.909 saat sekali gus akan memulakan perlumbaan hari ini di petak ke-13 untuk kategori 125cc.
Beraksi untuk pasukan AirAsia SIC Ajo Racing, pelumba berusia 20 tahun itu memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri dengan mempamerkan tunggangan cukup meyakinkan sekali gus memperbaiki sesi kelayakan pada tahun lalu di Sepang apabila sekadar menduduki petak ke-22 dengan catatan 2:17.896s.
Ia juga adalah petak kedua terbaik yang diraih Muhammad Zulfahmi pada musim ini, mengulangi pencapaian pada Grand Prix Perancis apabila dia turut menduduki petak ke-13.
Pada perlumbaan di Phillip Island, Australia minggu lalu, Muhammad Zulfahmi yang menjadi pelumba tunggal negara beraksi pada musim penuh menerusi kategori 125cc, sekadar menduduki petak ke-26 dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20. Pada sesi kelayakan semalam, anak muda berasal dari Selangor itu mencatatkan masa terpantas peribadi pada pusingan ke-12 daripada 14 pusingan yang dilakukannya.
“Hari ini (semalam) memang saya mencuba sebaik mungkin dan tempat ke-13 ada kedudukan yang amat baik sekali gus ia memenuhi sasaran saya yang mahu mencatatkan masa dalam lingkungan 2 minit 15 saat.
“Esok (hari ini) saya mengharapkan cuaca yang baik dan akan cuba meraih kedudukan 10 teratas. Apapun, saya yakin peluang untuk memungut mata agak cerah,” katanya.
Muhammad Zulfahmi yang menggunakan jentera Derbi setakat ini menduduki tempat ke-18 keseluruhan dengan 21 pungutan mata.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Muhammad Farid Badrul Hisham yang beraksi menerusi tiket wild card, hanya mampu mencatatkan masa 2:19.744s untuk berada di petak ke-31 pada perlumbaan sebenar hari ini.
Pada sesi latihan bebas kelmarin, Muhammad Farid terjatuh di selekoh ketiga sesi latihan kedua dan gagal untuk mencatat masa terbaik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: