Wednesday, October 26, 2011

Zizan, AC Mizal yakin serasi

AC MIZAL dan Zizan akan cuba menjadi pasangan hos yang mempunyai keserasian.


ANUGERAH Industri Muzik (AIM) merupakan sebuah acara yang cukup berprestij bagi memberi penghargaan kepada seluruh warga seni tempatan yang bergiat aktif dalam industri muzik.

Bakal berlangsung pada 12 November ini, AIM yang sudah memasuki edisi ke-18 dan kali pertama dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) telah menampilkan beberapa kelainan.

Jika sebelum ini AIM acap kali diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), namun pada kali ini ia sudah pun bertukar lokasi apabila ia bakal bersiaran secara langsung di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Begitu juga dengan tanggungjawab sebagai pengacara pada malam kemuncak nanti yang akan menampilkan dua muka baharu bagi menggantikan tempat Afdlin Shauki dan Adibah Noor yang pernah mengacara AIM beberapa kali sebelum ini.

Buat julung-julung kalinya pihak AIM telah memberi tanggungjawab tersebut kepada Zizan Raja Lawak dan AC Mizal yang kali pertama bergandingan bersama dalam sebuah acara yang besar.

Ketika ditemui pada satu sidang akhbar kali ketiga untuk memperkenalkan pengacara dan artis yang membuat persembahan, ternyata Zizan meluahkan rasa terkejutnya apabila diberi peranan yang cukup besar sebagai pengacara.

Ujarnya lagi, dia sendiri pada mulanya tidak percaya apabila pihak AIM memberi tawaran tersebut kepadanya memandangkan dia merasakan dirinya masih lagi baru dalam dunia seni.

“Bagi saya memang jarang artis-artis yang boleh dikategorikan sebagai muka baharu dalam bidang hiburan seperti saya ini akan diberi tanggungjawab yang besar untuk mengacarakan sebuah rancangan yang berprestij ini.

“Pada mulanya saya ingin menolak sahaja tawaran tersebut, tetapi apabila difikirkan kembali rugi rasanya kalau saya melepaskan peluang keemasan ini dan tidak salah sekiranya kalau saya mencuba,” jelasnya.

Menurut Zizan lagi, ia menganggap tugas sebagai pengacara AIM 18 adalah satu tugas yang cukup mencabar buat dirinya memandangkan ia adalah sebuah acara yang memartabatkan industri muzik tanah air.

Ujarnya, sebaik sahaja memberi persetujuan untuk memikul tugas pengacara pada malam kemuncak nanti, beberapa persediaan telah pun dibuat supaya perjalanan acara akan berjalan dengan lancar.

“Memandangkan ini adalah kali pertama untuk saya mengacarakan AIM, apa yang saya harapkan adalah dengan melakukan yang terbaik serta dapat menghiburkan mereka yang hadir serta penonton yang menyaksikannya secara langsung di rumah.

“Pada masa yang sama, saya ingin membuktikan kepada semua bahawa artis yang bergelar pelawak seperti saya ini juga sebenarnya mampu untuk mengacarakan sebuah acara yang sebesar AIM ini,” jelasnya.

Ditanya mengenai AC Mizal yang menjadi pengacara bersama pada malam tersebut, Zizan menyatakan dia yakin mereka berdua dapat bekerjasama dengan baik serta tidak sukar untuk mencari keserasian bersama.

Ikuti AIM

Seorang lagi pengacara AIM 18 iaitu AC Mizal yang ditemui pada majlis yang sama berkata, seperti Zizan dia juga sememangnya tidak menyangka mendapat tawaran untuk mengacarakan rancangan tersebut.

Ujarnya, ketika mula-mula AIM dianjurkan buat kali pertama pada tahun 1994, pada masa itu dia memang terlibat dalam bidang nyanyian secara tidak langsung apabila bergiat aktif dalam kumpulan 4U2C.

“Walaupun sudah tidak aktif lagi dalam bidang nyanyian, namun saya masih lagi mengikuti perkembangan AIM pada setiap tahun dan tidak sangka pula pada tahun ini saya ditawarkan sebagai pengacara.

“Dengan tawaran yang diterima ini saya anggap ia sebagai satu penghormatan besar dan rasanya tidak sukar untuk mengacarakan AIM ini kerana saya sudah mengetahui serba sedikit tentang perjalanan acara ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, AC Mizal memberitahu sebagai persediaan dia turut membuat persiapan awal dengan melakukan sedikit kajian mengenai AIM memandangkan ia kali pertama dia menjadi pengacara acara tersebut.

“Tentang gandingan dengan Zizan pula saya sememangnya sangat gembira dan yakin dengan gandingan kami berdua ini akan menampilkan suatu kelainan tetapi menghiburkan kepada semua orang,” ujarnya.

Pemilihan tepat

Sementara itu, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Adrian Lim menjelaskan pemilihan Zizan dan AC Mizal sebagai pengacara adalah berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh pihak penganjur dan Astro turut bertindak sebagai penyiar rasmi.

Ujarnya, sebelum keputusan dibuat mereka telah menyenarai pendek enam nama yang akan memikul tugas tersebut, tetapi akhirnya mereka telah sepakat untuk memilih kedua-dua pengacara tersebut.

“Memang Zizan dan AC Mizal masih belum pernah digandingkan bersama-sama dalam mana-mana acara. Namun, kami pasti bahawa pemilihan mereka berdua adalah satu keputusan yang tepat.

“Jika sebelum ini Afdlin Shauki dan Adibah Noor selalu diberi peranan ini, maka kami merasakan sudah tiba masanya untuk mencuba pengacara lain pula dan ini adalah antara pembaharuan yang dilakukan,” jelasnya.

Mengenai pemilihan dua lelaki sebagai pasangan pengacara dan tidak seperti kelaziman sesebuah acara yang menggandingkan seorang pengacara lelaki dan wanita, bagi Adrian ia bukanlah satu masalah yang besar.

“Tidak semestinya pengacara lelaki dan wanita perlu digandingkan bersama untuk mengacara. Lagipun ada acara-acara besar di luar negara yang hanya menampilkan seorang pengacara lelaki, tetapi ia tetap berlangsung dengan meriah,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: