Friday, October 7, 2011

Warga emas berbasikal ke London


ADNAN (kiri) bangga menerima tajaan daripada See Wai yang mewakili jenama Malta.


SEIRING usaha menggalakkan gaya hidup yang aktif dan sihat, jenama minuman tenaga, Malta, berbangga untuk mengumumkan penajaan pengembaraan berbasikal Adnan Osman dalam kempen Misi ke London - Kayuhan Berliku baru-baru ini.

Penunggang basikal berusia 69 tahun itu telah menetapkan sasaran tambahan bagi dirinya iaitu dengan menyahut cabaran berbasikal ke bandar raya Inggeris itu sambil memenuhi impiannya untuk menyaksikan upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik London.

Perjalanan darat Adnan dari Kuala Lumpur ke London yang meliputi jarak lebih 20,000 kilometer dijangka mengambil masa 10 bulan untuk dijayakan.

Adnan bertolak pada 25 September lalu dan dijangka tiba di London tepat pada masanya sebelum pembukaan Sukan Olimpik pada lewat Julai tahun depan.

"Malta amat berbangga menjadi sebahagian daripada usaha ini yang menyokong hasrat penunggang basikal tempatan kita. Ia sekali gus memberi inspirasi kepada atlet negara yang turut melalui jalan yang berliku untuk bertanding di London.

"Inisiatif Adnan seiring dengan dedikasi Malta untuk membekalkan minuman bertenaga yang menyokong gaya hidup aktif dan meniup semangat kembara dalam kalangan rakyat Malaysia," kata Tai See Wai, Pengurus Pemasaran, jenama pertumbuhan tinggi, Guinness Anchor Berhad.

Malta ialah minuman kesihatan berasaskan malt kualiti premium tanpa alkohol.

Ia diperkaya dengan khasiat kebaikan semula jadi malt. Malta mengandungi vitamin B1, B3 dan B6 untuk memberikan tenaga yang tahan lama demi mengekalkan kecergasan.


KOTA London yang bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Olimpik menjadi destinasi Adnan dalam kembaranya. - Gambar hiasan


Dalam pada itu, Adnan memberitahu, idea kembara maraton berbasikal rentas negara untuk menuju ke London sempena Sukan Olimpik 2012 telah bermain di fikirannya sejak dia tidak dapat mengayuh basikal ke Sukan Olimpik Beijing 2008 kerana sekatan tempatan.

"Penghargaan ikhlas saya ditujukan kepada Malta kerana membawa saya selangkah lebih hampir kepada impian saya selain janji mereka untuk terus memberikan sokongan kepada saya sepanjang perjalanan ini.

"Perjalanan menuju London memang mencabar, tetapi dengan persediaan fizikal dan mental yang rapi serta sokongan padu daripada Malta, saya yakin dapat mencipta satu lagi sejarah membanggakan bagi diri saya sendiri dan keluarga.

"Berkat sokongan mereka, saya berharap dapat mengharungi cabaran yang bakal ditempuhi," katanya.

Walaupun pengalamannya amat menarik, cabaran berbasikal dari Malaysia ke London adalah sesuatu yang amat menguji kudrat. Ia memerlukan daya fizikal yang mantap, semangat kesukanan yang kental dan kesungguhan tidak berbelah bahagi.

Selepas menamatkan 15 maraton, mendaki kesemua 12 gunung setinggi lebih 2,100 meter di Malaysia, mendaki Gunung Tahan sebanyak 15 kali, menawan puncak gunung Kinabalu tiga kali, berbasikal ke Kemboja dan menamatkan lumba lari paling mencabar di Gurun Sahara, Adnan sekali lagi bersedia untuk menguji batasan kekuatan fizikal dan mentalnya dalam cabaran ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: