
GOMBAK – Pasukan debat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan bertemu pada peringkat akhir Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 (PPM) kategori bahasa Melayu yang akan berlangsung pukul 8 malam ini.
Dalam pertandingan peringkat separuh akhir yang diadakan di kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini semalam, UiTM menewaskan Universiti Malaya (UM) manakala USIM menumpaskan UIA.
Ketua Pendebat UiTM, Muhammad Syafiq Musa, 20, berkata, kelayakan pasukannya mara ke peringkat akhir boleh dianggap sebagai bernasib baik.
“Kami bagaimanapun akan meneliti kembali segala kelemahan (semalam) untuk memberi saingan sengit kepada pihak lawan esok (hari ini),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Debat PPM 2011 yang dianjurkan buat pertama kali itu disertai oleh 44 institusi pengajian tinggi bermula pada 20 Oktober lalu dan berakhir hari ini.
Pertandingan yang dinaungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menawarkan hadiah bernilai RM25,000 bagi juara dan RM15,000 kepada naib johan bagi setiap kategori.
Sementara itu, Ketua Pendebat USIM, Ummu Umairah Azahari, 24, memberitahu, kelebihan memenangi Pertandingan Debat Pendidikan Islam peringkat ASEAN pada Jun lalu memberi perangsang untuk pasukan universiti itu memenangi pertandingan debat tersebut.
“Perkara utama yang dilakukan pasukan kami ialah melakukan post mortem setelah selesai setiap perdebatan.
“Harapan kami sangat besar agar dapat melakukan yang terbaik dan jika pasukan kami menang ia dianggap sebagai bonus,” ujarnya.
Dalam pada itu, UIA yang menewaskan UM akan bertemu UiTM pada peringkat akhir debat kategori bahasa Inggeris pada pukul 2.30 petang hari ini. UiTM sebelum itu menewaskan Kolej Damansara Utama untuk mara ke peringkat akhir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: