Tuesday, October 25, 2011

'Tanah Kubur' Bukan Untuk Takutkan Penonton

KUALA LUMPUR: Atas pencapaian drama Tanah Kubur yang mencatat rating tertinggi di kalangan drama di Astro Oasis (saluran 106), ia dilanjutkan ke musim kedua, kata wakil Astro Oasis Azlin Reza Azmi (gambar).

Drama arahan Rashid Sibir itu akan menemui penonton pada setiap Jumaat, pukul 7.30 malam bermula 4 November depan.

“Kami sangat berbesar hati dengan sambutan dan maklum balas penonton terhadap drama ini pada musim lalu.

Para pelakon, pengarah dan kru drama Tanah Kubur musim kedua di Rumah Malaysia, Bukit Jalil, Isnin.

“Secara tidak langsung, ia telah menunjukkan sokongan penonton terhadap usaha Astro Oasis dalam menyuntik elemen dakwah menerusi drama siri yang sarat dengan pengajaran,” katanya semasa sidang media pelancaran drama Tanah Kubur musim kedua di Rumah Malaysia, Bukit Jalil, Isnin.

Sementara itu, selaku pengarah Rashid menolak drama tersebut bertujuan untuk menakutkan penonton.

“Cerita yang disampaikan dalam drama itu bukan bertujuan untuk membuatkan penonton takut sebaliknya menyampaikan mesej yang berlaku disebalik perbuatan negatif yang dilakukan seseorang itu.

Rashid dan pelakon utama Nasir Bilal Khan.

“Kali ini, saya menonjolkan isu-isu yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah dan zaman sekarang seperti menuduh sesama Muslim sebagai munafik, balasan mencuri duit surau, mayat tidak diterima bumi kerana bunuh diri, bapa yang merogol anak gadis sendiri, angkara tidak berlaku adil dalam poligami dan tidak membayar zakat.

“Saya mengupas isu-isu ini berdasarkan kajian, bacaan buku dan kisah benar. Paling penting, setiap cerita yang dipaparkan dalam drama ini mendapat kelulusan sepenuhnya daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya pada sidang media tersebut.

Namun, Rashid yang turut bertindak selaku penulis skrip dalam drama melibatkan pelakon Nasir Bilal Khan, Talha Harith, Jasmin Hamid, Amyza Aznan, dan Zulkefli Zain itu akui kurang puas apabila hanya mampu mengolah drama tersebut selama setengah jam untuk satu episod.

“Disebabkan siaran drama ini adalah 30 minit, saya terpaksa memilih plot yang betul-betul menarik dan mudah difahami oleh penonton kerana bukan mudah untuk memasukkan semua babak sekaligus,” ujarnya yang lebih berpuas hati mengarah drama bercorak kemanusiaan seperti Tanah Kubur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: