Tuesday, October 11, 2011

Suhaimi pernah disogok RM20,000


Suhaimi Omar


KERJAYA sebagai anggota polis tidak bergantung kepada kebolehannya semata-mata dalam mengendalikan kes tetapi juga keupayaannya dalam menghadapi cabaran semasa bertugas.

Oleh sebab itulah, setiap anggota polis perlu cekal dan tegas apabila berdepan dengan sebarang situasi yang mencabar termasuklah cubaan rasuah.

Bagi Inspektor Suhaimi Omar, 30, tiada apa boleh membeli maruah dirinya sebagai seorang pegawai polis sekalipun ditawarkan dengan wang ringgit dan barang berharga.

Begitu prinsip pegawai muda ini yang pernah berhadapan situasi sedemikian semasa menahan sekumpulan ah long yang melakukan jenayah kekerasan terhadap orang awam.

Pengalaman itu ditempuhinya apabila pada suatu hari, seorang lelaki masuk ke pejabatnya dan meletakkan di atas meja sebuah beg yang berisi wang tunai RM20,000.

"Insiden itu turut disaksikan oleh salah seorang anggotanya, Lans Koperal Mohd. Fauzi Mustaffa.

"Lelaki itu minta saya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas sindiket ah long tetapi saya menolak permintaannya dan menasihatinya berulang kali.

"Disebabkan dia berkeras memujuk saya memenuhi permintaannya, saya bertindak menahannya kerana cuba merasuah pegawai polis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain cubaan menyogok dengan wang ringgit, beliau turut menerima pelbagai tohmahan dan tuduhan palsu daripada penjenayah yang cuba merosakkan namanya.

Kesemua pengalaman itu ditempuhinya sepanjang bertugas di Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

"Antaranya sering ditohmah dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan tidak berasas oleh individu-individu tertentu yang tidak mahu saya kekal di pasukan ini.

"Bagi mereka dengan adanya saya di sini banyak aktiviti jenayah disekat namun saya bernasib baik kerana sentiasa disokong oleh pegawai-pegawai yang menyelia saya.

"Mereka juga sentiasa memberi tunjuk ajar serta panduan di dalam menghadapi situasi seperti ini," katanya.

Beliau banyak menjalankan serbuan ke atas kegiatan haram seperti kafe siber berunsurkan perjudian, rumah urut yang menjalankan aktiviti maksiat dan pusat hiburan di Ampang Jaya.

Hasil komitmen dan kesungguhannya dalam melaksanakan tugas, D7 IPD Ampang Jaya berjaya menambah bilangan kes-kes tangkapan dalam usaha membanteras dan mencegah jenayah.

Katanya, sebagai bukti, seramai 46 orang telah berjaya diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan pada 2009, 2010 (52 orang) dan 51 orang sehingga Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: