Sunday, October 23, 2011

Sorok syabu dalam tin kacang hijau

PEGAWAI Penguatkuasaan Kastam, Mohd. Farhaam Izham menunjukkan syabu yang dirampas di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - Tindakan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang cuba mengalih perhatian pihak berkuasa dengan meletakkan dua ekor ikan goreng busuk sepanjang 40 sentimeter di dalam kotak berisi syabu gagal apabila pihak kastam menahan empat lelaki termasuk tiga pelajar Nigeria kelmarin.

Kegiatan sindiket itu terbongkar pada pukul 5.30 petang kelmarin apabila pihak kastam menahan sebuah van yang dipandu seorang lelaki di pintu keluar Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemeriksaan awal mendapati van yang dipandu lelaki dari sebuah syarikat penghantaran itu membawa dua buah kotak yang tiba dari Lagos, Nigeria yang tiba di negara ini seminggu lalu.

Pemeriksaan terhadap dua buah kotak yang diisytihar sebagai barang peribadi itu mendapati ia mengandungi pelbagai barang makanan termasuk 67 tin makanan segera, udang kering, sardin dan herba.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Govinden Mutosamy berkata, pihaknya mula curiga terhadap kandungan di dalam tin tersebut kerana tiada bunyi kocakan air apabila digoncang.

"Kita telah menebuk salah satu tin tersebut dan menemui serbuk kristal putih yang disahkan dadah jenis syabu.

"Kita mengambil masa lebih kurang lapan jam untuk memeriksa kandungan semua bahan makanan di dalam kotak tersebut," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA di sini semalam.

Ketika ditahan, pemandu tersebut mendakwa, dia hanya ditugaskan untuk mengambil dua kotak tersebut. Ini merupakan kali ketiga dia menuntut bungkusan tersebut yang didaftarkan atas nama seorang lelaki Nigeria di ibu negara.

Menurut Govinden, siasatan mendapati sebanyak 62 tin kacang hijau dan lima tin daging ayam itu diisi dengan syabu yang kesemuanya seberat 40 kilogram dan bernilai mencecah RM10 juta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: