|
|
MUNGKIN nama restoran ini kedengaran seperti sebutan Arab. Ditambah pula dengan hiasan dalamannya yang mempunyai sedikit sentuhan Maghribi dan juga Mediterranean.
Namun hakikatnya, ia merupakan sebuah restoran hidangan fusion yang menggabungkan Barat dan juga tempatan.
"Sebenarnya nama Ambra kami ambil daripada nama buah kedondong yang disebut 'amra' bagi orang utara memandangkan kami berdua berasal dari sana. Tapi sengaja ditambah huruf 'b' bagi menyedapkan bunyinya," kata pemilik restoran, Fadlyza M. Fadzillah.
Beliau mengusahakan restoran tersebut sejak dua bulan lalu bersama suaminya, Chef Sholahuddin Abu Bakar yang telah 20 tahun berpengalaman dalam bidang kulinari. Menurutnya, kesemua menu di situ dihasilkan oleh suaminya yang sememangnya pakar dalam masakan Barat dan tempatan.
Apa yang menjadi keutamaan mereka adalah penggunaan bahan segar dalam setiap hidangan termasuk patty burger yang dihasilkan sendiri menggunakan daging kisar.
Antara hidangan yang sering menjadi kegemaran pelanggan adalah sirloin steak, striploin steak, chicken chop, lamb shank dan juga pilihan burger.
Selain itu, menu tempatan tidak mengecewakan seperti mee goreng abu yang diletak kuah kacang di atasnya, mee udang, nasi goreng Ambra yang disertakan dengan kerabu mangga. Menariknya, selain kerabu mangga yang menjadi pembuka selera, kerabu ambra menggunakan buah kedondong juga memberi kelainan buat membuka selera pengunjung.
Barisan minuman tidak mengecewakan antaranya jus ambra bersama asam boi, air jagung (menggunakan jagung rebus yang dikisar dan dicampur dengan ais vanila) dan juga kopi kampung yang didatangkan khas dari Baling, Kedah.
Usai menikmati menu utama, akhiri hidangan anda dengan creme brulee berperisa pandan yang sangat enak atau kek lobak merah. Tentang rasa hidangan, usah dipersoal kerana ia sememangnya air tangan atau paling tidak pun resipi seorang chef profesional.
Restoran Ambra dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam pada hari biasa, manakala hujung minggu dari pukul 2 petang hingga 11 malam. Ruang meletak kenderaan percuma turut disediakan dalam bangunan Centrio.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: