Sunday, October 9, 2011

Selamatkan warisan terancam




TIDAK ada negara yang kebal daripada pemantauan UNESCO setiap kali usaha menyenaraikan tempat, destinasi atau tapak yang terancam dilaksanakan.

Keprihatinan UNESCO tertumpu kepada tempat yang berkaitan dengan warisan dan kebudayaan selain persekitaran terjamin, tidak kira apa juga bentuknya.

Kebanyakan negara percaya langkah penyenaraian itu boleh memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan. Namun hakikatnya usaha UNESCO itu mempunyai kebaikan tersendiri terutamanya apabila langkah pemulihan dan pemuliharaan dilaksanakan. Hasilnya 23 tapak bersejarah termasuk Galapagos, Angkor Wat dan Timbuktu kini berjaya keluar dari senarai tapak warisan terancam.

Terbaru UNESCO menamakan beberapa tapak warisan yang memerlukan perhatian dunia bagi memastikan usaha-usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan segera.

Rizab Biosfera Rio Plataro, Honduras, antara hutan simpan unik yang masih ada di Amerika Tengah. Di situ terdapat lebih 200 tapak arkeologi termasuk peninggalan Maya dan tempat di mana Columbus pertama kali tiba di tanah besar Amerika. Ia juga menempatkan empat kumpulan orang asli, binatang liar serta spesies tumbuhan yang jarang ditemui. Atas permintaan kerajaan Honduras, kawasan tempat disenaraikan sebagai terancam berikutan kegiatan pembalakan haram dan pencerobohan tanah untuk penempatan pelarian. Lebih membimbangkan penyeludupan dadah yang menjadikan hutan simpan itu sebagai pusatnya.

Kebanggaan

Kubu dan Taman Shalimar di Lahore, Pakistan juga termasuk dalam senarai baru yang memerlukan perlindungan. Kubu yang dibina pada kurun ke-11 diperbuat daripada bahan-bahan bermutu tinggi dan berharga merupakan kebanggaan Pakistan. Kehebatan landskap serta seni bina Moghul pula begitu terserlah di Taman Shamilar yang begitu gemilang pada kurun ke-17. Taman tiga tingkat itu dilengkapi air pancut, tempat mandi-manda diraja, kolam renang dan terowong. Malangnya pada 1999, pihak berkuasa bandar raya di situ secara tidak sengaja memusnahkan dua tangki air bersejarah semasa kerja-kerja melebarkan Grand Trunk Road bagi memudahkan akses antara kubu dan taman tersebut.

Kota Lama Baitulmakdis, Palestin yang menjadi tempat suci kepada pelbagai agama ini sememangnya menimbulkan kontroversi dari aspek pemuliharaan berikutan pertikaian politik yang tidak henti-henti. UNESCO pernah menggesa Israel menghentikan kerja-kerja menggali Jambatan Mughrabi yang menghubungkan plaza Tembok Barat dan Masjid Al-Aqsa. Pada 1974 UNESCO melucutkan keahlian Israel berikutan dakwaan merosakkan tapak arkeologi di Masjidil Aqsa. Atas permintaan Jordan, Kota Lama Baitulmakdis, Palestin itu dimasukkan ke dalam senarai tapak warisan terancam.

Selepas memasuki senarai Warisan Dunia sampai lima tahun, Hutan simpan Atsinanana, Madagascar terkeluar dan disenaraikan pula sebagai warisan terancam pada tahun lepas. Madagascar yang terkenal dengan diversiti meganya dan spesies luar biasa termasuk 12,000 tumbuh-tumbuhan dan 78 spesies mamalia darat, paling terkenal adalah lemur. Kini dianggarkan kurang 100 lemur boleh ditemui di situ dan spesies tersebut berhadapan dengan masalah kepupusan yang sangat terancam. Penerokaan hutan menyebabkan hanya tinggal lapan peratus kawasan timur Madagascar merupakan hutan asli. Pemburuan haram dan perlombongan memburukkan lagi keadaan.

Perang di Iraq ternyata memusnahkan sebahagian besar daripada kehebatan tamadun yang pernah dicipta di situ antaranya Kota Arkeologi Samarra. Pernah melebarkan pengaruhnya hingga ke Tunisia dan Asia Tengah, struktur bandar tersebut mempamerkan kehebatan seni bina Islam terutamanya Menara Malwiya dan masjid Abu Dulaf. Namun perang pada 2006 telah memusnah kubah keemasan masjid tersebut dan pemberontakan al-Qaeda kemudiannya meranapkan pula kedua-dua menara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: