Tuesday, October 4, 2011

Protes antikorporat AS merebak ke Kanada

  • Foto

    ANGGOTA pertubuhan media, Occupy Wall Street mengeluarkan akhbar memperincikan bantahan awam sejak tiga minggu lalu.

  • Foto

    PENUNJUK perasaan membawa sepanduk menyuarakan kemarahan terhadap sistem politik dan perbankan Amerika Syarikat, di Los Angeles, semalam.

Bantahan sistem kewangan global masuk hari ke-15

WASHINGTON: Bantahan terhadap korporat Amerika Syarikat (AS) yang bermula di bandar raya New York dua minggu lalu dilaporkan merebak ke seluruh negara itu dengan lebih banyak demonstrasi berlaku di Los Angeles, Boston, Chicago, Denver dan Seattle.
Ia dilaporkan turut merebak ke Kanada berikutan penganjur berkata, mereka mengikut jejak langkah aktivis Amerika Syarikat yang menyerbu Wall Street di New York dan beberapa bandar raya lain di Amerika Syarikat dalam satu perarakan menentang sistem kewangan global.
Bantahan di Kanada diadakan di Toronto, Calgary, Vancouver, Victoria, Ottawa, Montreal, Nova Scotia dan Newfoundland.

Ia dicetuskan pergerakan ‘Occypy Wall Street’ yang menyaksikan beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di Daerah Kewangan New York sejak dua minggu lalu, perhimpunan besar-besaran bermula di seluruh negara bagi menyuarakan kemarahan terhadap sistem politik dan perbankan Amerika Syarikat.

Bantahan antikorporat di bandar raya New York memasuki hari ke-15 semalam, berikutan penduduk di bandar raya terbabit mula merasakan kesan perhimpunan besar-besaran itu yang bermula dengan hanya beberapa puluh pelajar.

Di LOS ANGELES, beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun dari Pershing Square di Dewan Bandaraya pada Sabtu dan menegaskan bahawa mereka akan terus berhimpun di kawasan terbabit seperti rakan mereka di New York.
Ia dianjurkan sebuah kumpulan dipanggil Occupy LA, penunjuk perasaan itu menyuarakan apa yang dimulakan di East Coast dengan mengatakan mereka berharap untuk mengubah dasar ekonomi yang lebih dimanfaatkan kepada hanya satu peratus golongan kaya di Amerika Syarikat.

Kumpulan itu turut mengibarkan slogan antara lain tertulis ‘Bank Makan Bayi Kami’ dan melaungkan ‘Hey hey, ho ho, kebajikan korporat perlu dihapuskan’, lapor Los Angeles Times.

“Akhir sekali apa yang kami mahu lakukan adalah memberi inspirasi kepada golongan kelas pekerja untuk terbabit dalam proses politik,” kata Adam Liszkiewics, seorang pelajar graduan USC berusia 32 tahun kepada akhbar itu.

Pergerakan Occupy Boston dilihat lebih mendapat sambutan di mana ia mempunyai saiz perhimpunan lebih besar, dilengkapi khemah, bekalan perubatan malah kemudahan wifi, yang berada di Dewew Square, tidak jauh dari bangunan Perbendaharaan Persekutuan.

Kumpulan taktikal turut dibentuk membabitkan hal-ehwal perundangan, makanan dan hubungan media selain perhimpunan di kawasan itu mencapai hampir 1,000 orang pada malam Jumaat lalu iaitu pada hari pertama bantahan, lapor Boston Herald.

Penganjur utama berkata, mereka berada di New York untuk belajar daripada penunjuk perasan. Matthew Krawitz, seorang pakar teknologi maklumat memberitahu bagaimana beliau berada di Manhattan pada hari pertama demonstrasi di sana dan mahu membawa acara itu ke Boston.

Ada juga bantahan di bandar raya itu pada hujung minggu, termasuk satu yang diadakan di Bank of America bertujuan menunjukkan kemarahan penduduk terhadap penutupan gadai janji dan pengumuman bahawa bank akan mengenakan bayaran sebanyak AS$5 (RM16) sebulan kepada pengguna untuk menggunakan kad debit bagi mendapatkan wang mereka sendiri. Berikutan itu, 24 orang ditahan.

Sekumpulan aktivis berhimpun di hadapan Bank Perbendaharaan Persekutuan Chicago sebagai sebahagian daripada bantahan terhadap masalah kemiskinan dan pengangguran di Amerika Syarikat.

Demonstrasi di Chicago bermula pada 23 September dengan satu perarakan bermula dari Willis Tower ke bank berkenaan, lapor Chicago Tribune, dengan sekumpulan penunjuk perasaan memanggilnya sebagai Dataran Tahrir , merujuk kepada dataran di ibu negara Mesir, Kaherah.

Seorang penunjuk perasaan, Emilio Baez memberitahu Press TV bahawa bantahan itu adalah gesaan langsung kepada mereka yang bekerja di seluruh dunia.

“Ini adalah Dataran Tahrir kami,” katanya mengenai tempat yang membawa kepada revolusi di negara Afrika itu. Kami berada di sini selama beberapa bulan jika terpaksa.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: