Tuesday, October 18, 2011

Perluas skop, fungsi MAIN


Tetamu diraja... tuanku Mizan Zainal Abidin (kanan) dan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (tengah) diiringi Jamil Khir Baharom pada majlis perasmian Kongres MAIN di PWTC, Kuala Lumpur baru-baru ini.


ORANG Melayu di Malaysia pernah menggunakan nama buah, bunga, pokok atau objek seperti Mawar, Cempaka, Bulat, Buyong dan sebagainya untuk diberikan kepada anak mereka suatu ketika dahulu.

Kehidupan masyarakat Melayu yang merangkumi penduduk dari Kepulauan Borneo dan sekitar Nusantara itu juga didakwa banyak dipengaruhi oleh budaya dan tamadun daripada negara luar kesan asimilasi penduduk yang datang ke tanah Melayu untuk berdagang atau menjalankan pelbagai aktiviti.

Bukan sahaja dalam aspek sosial malah kedatangan pedagang negara barat dan seluruh pelosok dunia itu turut mempengaruhi pemikiran dan kepercayaan orang Melayu ketika itu, sehingga ada yang dipercayai mengamalkan perkara tahyul dan perbuatan khurafat.

Namun, kedatangan Islam ke Tanah Melayu pada abad ke 7 Masihi membawa sinar kepada masyarakat di Tanah Melayu dengan membentuk corak kehidupan dan ketamadunan masyarakat Melayu daripada kegelapan ke arah cahaya kegemilangan Islam.

Ibarat bulan jatuh ke riba. Masyarakat Melayu yang dahagakan kebenaran menerima ajaran Islam dengan sepenuhnya dalam semua aspek yang merangkumi sosio budaya, pendidikan, ekonomi, pentadbiran dan undang-undang serta peradaban negara sehingga mendaulatkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Nama orang Melayu tidak lagi diambil sempena buah, bunga atau objek kerana telah berganti kepada nama tokoh para Nabi, sahabat dan ulama tersohor seperti, Muhammad, Abu Bakar, Khadijah dan Aishah.

Begitu juga terdapat istilah maknawi juga diambil daripada kalimah Islam seperti adab, ikhlas, adil, amanah, mesyuarat dan banyak lagi. Malah, hari yang digunapakai orang Melayu juga diambil berdasarkan istilah Islam iaitu Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan seterusnya.

Sebagaimana hujah Syed Muhammad Naquib, ternyata Islam telah menjadi asas dan dasar kepada kaedah berfikir serta membangunkan pandangan orang Melayu sehingga berjaya membangunkan asas budaya berteraskan ajaran Islam.

Menerusi ajaran Islam yang berpandukan al-Quran dan sunnah sekali gus menjadikan Malaysia negara yang maju dan setara dengan kepesatan perkembangan dunia.

Bagi meneruskan usaha merangka strategi ke arah transformasi Islam global yang merangkumi seluruh aspek kehidupan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) menganjurkan Kongres Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) Seluruh Malaysia pada 26 dan 27 September lalu.

Perhimpunan MAIN seluruh negara yang julung kali diadakan itu menghimpunkan lebih 2,000 tokoh agama termasuk ahli MAIN, ahli muzakarah fatwa, mufti, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), tokoh akademik dan pakar ekonomi di ruang Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut berangkat, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Pengerusi Kongres, Tan Sri Dr. Yusof Noor dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

Majlis penutup disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Syafie Apdal.

Raja Nazrin bertitah, Islam adalah ad-din yang merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Sehubungan itu, baginda mahu agenda transformasi yang akan dilakukan oleh MAIN seharusnya berasaskan kepada pandangan pengasas pergerakan Islam, Ikhwan Muslimin itu.

"Transformasi yang dimaksudkan adalah untuk memperluaskan peranan MAIN, yang sebelum ini sengaja disempitkan oleh penjajah Inggeris, menjadi institusi strategik yang akan mengemukakan pelbagai cadangan baru bagi membangunkan ekonomi, pendidikan, undang-undang, sosial dan budaya berasaskan ajaran Islam," titah baginda.

Pada majlis itu, sembilan kertas kerja yang akan dibentangkan sepanjang majlis ber langsung. Ia dibahagikan kepada tiga tajuk besar yang menyentuh soal ekonomi, pendidikan dan undang-undang.

Kertas kerja itu adalah Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah; Peranan Majlis Agama Islam Negeri dalam Membangun Sosio Ekonomi Ummah dan Peranan Majlis Agama Islam Negeri Memperkasa Undang-Undang Syariah.

Hasil pembentangan itu, sebanyak 20 resolusi dirumus yang kemudiannya dibaca oleh Othman.

Kertas kerja, Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah dibentangkan oleh Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM) Prof. Datuk Mohd. Yusof Othman; Profesor Ulung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Tan Sri Dr. Kamal Hassan dan Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Dalam kertas kerja itu, pembentang memfokuskan peranan Pendidikan Islam sebagai asas pembangunan insan, masyarakat, tamadun dan negara serta membangunkan keseluruhan potensi insan yang merangkumi roh, akal, nafsu, jasad dan hati.

Antara resolusi yang diterima dalam pembentangan kertas kerja bidang pendidikan adalah MAIN perlu menubuhkan sekolah Majlis bermula dari peringkat rendah sehingga peringkat menengah tinggi dengan mengguna konsep pendidikan yang syumul.

Sementara itu, kertas kerja Peranan Majlis Agama Islam Negeri dalam Membangun Sosio Ekonomi Ummah dibentangkan oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan; Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abd. Rahman.

Dalam kertas kerja ini, pembentang membicarakan kerangka pendekatan kepada penyusunan ekonomi negara untuk memperkukuhkan ekonomi ummah dengan berlandaskan al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Antara resolusinya adalah melaksanakan cadangan penubuhan Institusi Wakaf Korporat oleh negeri-negeri dan pusat.

Satu pasukan untuk meneliti dan menyediakan modul hendaklah ditubuhkan di peringkat negeri dan pusat.

Kertas kerja Peranan Majlis Agama Islam Negeri Memperkasa Undang-Undang Syariah pula dibentangkan oleh Pengerusi Penasihat Perundangan Syariah Bahagian Penasihat Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara (JPN), Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman; Pensyarah UIAM, Prof. Madya Dr. Najibah Mohd. Zain dan Timbalan Ketua Penasihat Bahagian Penasihat Syariah (JPN), Mahamad Naser Disa.

Antara resolusi dalam pembentangan kertas kerja tersebut adalah menyokong cadangan menaik taraf Mahkamah Syariah setanding Mahkamah Sivil.

Juga menaik taraf Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil kepada Suruhanjaya Penyelarasan dan Penyeragaman Undang-Undang Syariah yang bertanggung jawab untuk menggubal, menyelaras, dan menyeragamkan Undang-Undang negeri-negeri.

Selain itu, mempertimbang cadangan supaya Yayasan Kebajikan Keluarga Islam serta penubuhan Pusat Perundingan Keluarga dengan bimbingan pakar-pakar kaunseling dan kemasyarakatan bertujuan mengurangkan krisis rumahtangga.

Sehubungan itu, Othman berkata, pihaknya memohon perkenan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan pelindung Islam dan ummah supaya resolusi Kongres MAIN ini bukan hanya untuk dipersembahkan tetapi diperkenan sebagai suatu persetujuan atau keputusan yang harus dilaksanakan.

"Kongres juga bersetuju diadakan sesi bengkel untuk memperhalusi tindakan susulan resolusi ini bagi memastikan segala pandangan dan cadangan dalam kongres ini dapat dilaksanakan secara tersusun oleh pihak berkaitan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: