BANGKOK - Banjir melimpah ke kawasan baharu di Bangkok semalam manakala beberapa buah kedai mula membuat catuan makanan.
Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra memberi amaran bahawa sebahagian tempat di ibu kota ini akan dilimpahi dengan banjir selama sebulan.
Penduduk di Bang Phlad, daerah di tepi sungai di utara Bangkok diminta berpindah dengan segera oleh pihak berkuasa.
"Selepas membuat penilaian, kami menjangkakan banjir akan kekal di Bangkok selama kira-kira dua minggu hingga sebulan sebelum ia mengalir ke laut," kata Yingluck kepada pemberita.
"Namun, kita tidak berdepan dengan banjir setinggi dua hingga tiga meter selama dua atau tiga bulan seperti yang berlaku di lain-lain wilayah," tambahnya.
Banjir paling teruk dalam tempoh setengah abad itu telah menyebabkan 366 orang maut sejak pertengahan Julai lepas selain menjejaskan kehidupan 2.5 juta orang.
Seramai 113,000 orang ditempatkan di pusat perlindungan manakala 720,000 lagi memperoleh rawatan perubatan.
Penduduk Bangkok bergegas untuk menyimpan makanan tetapi air botol tidak lagi dilihat di kedai-kedai.
Sejumlah kedai mengehadkan pelanggan untuk membeli barangan bagi mengelak perbuatan menyorok.
Menurut Pengarah Pusat perubahan Cuaca dan Bencana Universiti Rangsit, Seri Supharatid, semua kawasan Bangkok akan dilanda banjir jika semua daik pecah.
Kelmarin, Lapangan Terbang Don Mueang dilanda banjir dan semalam ia masih belum surut.
Tiga wilayah utara Bangkok dilanda banjir sejak Sabtu lalu.
Ketika panik berlaku dalam kalangan penduduk, Pasar Raya Big C Supercentre Pcl mengehadkan pembeli membeli cuma satu paket beras dan satu papan telur.
Di beberapa kawasan, orang ramai mengadu mengenai kemerosotan kualiti air paip.
Sementara itu di Singapura, pemerintah negara itu meminta rakyatnya meninggalkan Bangkok dengan segera ekoran air sungai di ibu kota berkenaan telah melimpah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: