PEMBAHAGI jalan dan tanda amaran tidak jelas pada waktu malam bahayakan pengguna persimpangan Senibong-Lebuh Raya Pasir Gudang,
JOHOR BAHRU: Pembahagi jalan yang tidak dicat selain pencahayaan kurang terang pada waktu malam antara faktor utama penyebab kemalangan membabitkan pengguna jalan raya di persimpangan Senibong-Lebuh Raya Pasir Gudang, di sini.
Kesulitan bertambah kerana jalan susur itu laluan tunggal untuk pemandu membuat pusingan U kembali ke pusat bandar.
Penduduk, Mohd Hamdan Syarie, 36, dari Kota Masai, berkata kemalangan kerap berlaku di kawasan berkenaan berpunca daripada pembahagi jalan tidak dicat bagi memudahkan pengguna melihatnya.
“Jika ia tidak dicat, cahaya dari lampu kenderaan akan melantun semula dan ini menyilaukan mata pemandu manakala jarak pembahagi jalan dengan jalan susur pula sangat rapat.
“Boleh dikatakan setiap minggu ada saja kenderaan tersasar walau tidak melanggar pembahagi jalan itu, ia cukup membuatkan pemandu jadi panik dan membahayakan kenderaan lain.
“Kebiasaannya pembahagi jalan begitu mesti dicat dengan warna kuning berselang hitam agar pemandu sedia maklum dan lebih berhati hati. Warna kuning itu adalah ciri keselamatan di kebanyakan lebuh raya dan ia tidak boleh diabaikan.
“Selain itu keadaan yang gelap juga menyukarkan pandangan hingga jika terleka sedikit, pastinya akan terlanggar pembahagi jalan di tengah laluan berkenaan,” katanya.
Pengguna lebuh raya, Jaffar Karib, 44, dari Pasir Gudang, berkata tanda amaran pembahagi jalan itu agak hampir dengan pembahagi jalan yang tidak bercat di laluan berkenaan.
“Jalan susur ini juga agak curam dan merbahaya, sudah banyak kemalangan berlaku di sini namun masih tidak ada tindakan yang diambil untuk memperbaikinya. Jika difikirkan, pembinaan pembahagi, tanda jalan dan garisan sudah ada namun pencahayaan dan warna pada pembahagi perlu disegerakan agar dapat mengurangkan risiko kemalangan di sini.
“Apalah maknanya kerja naik taraf jika ciri keselamatannya diabaikan. Kami tidak mahu nanti dikatakan lebuh raya naik taraf namun kadar kemalangan juga turut naik," katanya.
Katanya, bukan pembahagi jalan saja tidak dicat, malah hampir seluruh lebuh raya yang dibina di sepanjang Bakar Batu menghala ke Pasir Gudang tidak dicat oleh pemaju.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: