BANYAK PILIHAN...pelbagai jenis perhiasan untuk wanita yang dijual bagi menyambut Deepavali.
SETIAP kali menyambut hari perayaan atau apa jua hari yang istimewa, antara perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah memiliki pakaian baru.
Walaupun almari sudah sarat, tetapi pakaian baru tetap jadi kemestian kerana masing-masing mahu tampil bergaya, malah sambutan perayaan dirasakan tidak lengkap tanpanya.
Selalunya wanita memang lebih cerewet dalam membuat persiapan hari istimewa. Bagi penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali, mereka bukan hanya bersiap sedia dengan persiapan rumah dan kuih-muih tetapi turut membeli perhiasan diri.
Memang teruja apabila dapat ‘bersesak’ sama dalam kesibukan kaum India menyambut Deepavali terutama apabila melihat kemeriahan warna pakaian, perhiasan diri dan cahaya lampu jika mengunjungi gerai jualan di pasar terbuka pada waktu malam.
Pasar terbuka di Kuala Lumpur memang banyak tetapi yang menjadi tumpuan kebanyakan masyarakat India tentulah di Jalan Brickfields dan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Pasar Jalan TAR yang sebelum ini dikuasai penjual Melayu yang menyediakan pelbagai barangan untuk Aidilfitri, kini ia berganti tangan dengan rakan peniaga berbangsa India pula.
Kemeriahan suasana pasar terbuka memang sangat terasa kerana pengunjung untuk jualan Deepavali tidak hanya terdiri daripada kaum India saja. Malah boleh dikatakan semua bangsa di negara ini termasuk pelancong asing turut mengambil peluang untuk mendapatkan pakaian, kudapan dan juga melukis inai.
Seperti persediaan perayaan lain, pembeli mempunyai cara sendiri dalam menyediakan persiapan keluarga masing-masing. Ada yang memilih membeli-belah awal kerana mahu pembelian yang lebih terancang dan ada juga lebih gemar membeli pada saat akhir. Setiap satu ada kelebihan dan kekurangannya tetapi apa yang nyata, membeli-belah saat akhir sedikit sebanyak menyumbang kepada kemeriahan malam Deepavali itu sendiri.
Dapat dibayangkan kemeriahan orang ramai berpusu-pusu dan sibuk membeli barang, baju dan perhiasan diri pada saat akhir kerana biasanya pada masa inilah ramai peniaga menawarkan harga lebih murah.
Antara yang sering menjadi tumpuan adalah gerai pakaian, gerai barang kemas yang menyediakan gelang berkilau berwarna-warni dan juga lakaran inai yang sangat kreatif.
R Parameswary, 50, yang berasal dari Teluk Intan, Perak sudah lebih 20 tahun berniaga barang perhiasan wanita di pasar malam. Tahun ini adalah tahun ke-10 dia mendapat tapak gerai untuk jualan Deepavali di pasar terbuka Jalan TAR.
“Tidak lengkap sambutan Deepavali dengan pakaian baru saja. Baju baru akan nampak lebih menarik dan berseri dengan perhiasan baru dan biasanya pelanggan membeli perhiasan sepadan seperti anting-anting, rantai dan gelang.
“Pakaian yang selalunya dipakai pada Deepavali terdiri daripada sari, sut Punjabi atau lengga. Lebih cantik kalau ditambah dengan perhiasan yang gemerlap warnanya. Gelang yang paling disukai ialah gelang daripada logam. Selain itu, kami juga menjual gelang plastik dan kaca,” kata Parameswary.
Katanya, satu set gelang biasanya mengandungi sedozen tetapi ada juga yang lebih banyak bergantung kepada pilihan masing-masing. Harga yang dijual dari RM5 hingga RM30 bergantung pada corak dan batu yang digunakan.
“Ada yang suka memakai banyak gelang. Gelang memang disukai kaum India sejak turun temurun. Jika dulu perempuan yang berkahwin perlu memenuhkan lengan mereka tetapi sekarang untuk menyambut Deepavali pun mereka sudah bergaya begitu. Set gelang juga amat mustahak dalam adat istiadat kaum India kerana ia melengkapkan seseorang wanita.
“Tangan mesti penuh gelang supaya berseri dan dengan memakai gelang barulah penampilan seseorang wanita itu dianggap lengkap. Gelang dipakaikan kepada pengantin, wanita mengandung dan anak gadis yang baru baligh.
“Pilihan warna yang biasa dipakai ialah warna ceria yang menggambarkan kegembiraan. Yang tidak boleh digunakan ialah warna hitam dan putih. Gelang warna hitam hanya digunakan untuk bayi baru lahir,” katanya yang menjual gelang yang diimport dari India.
Kedatangan Deepavali memang ditunggu L Susila dan suaminya setiap tahun. Ini kerana pada hari biasa mereka menjual baju Melayu di Wisma Yakin tetapi sempena Deepavali, mereka membuka gerai di Jalan TAR dengan menjual pakaian mport dari India dan Pakistan.
Menjual fesyen terkini dengan harga sekitar RM50 hingga RM280, Susila tahu apa yang diinginkan penggemar fesyen.
“Kami menjual pakaian terkini dengan warna yang lembut dan pastel kerana itulah yang dicari pembeli sekarang. Di gerai saya ada baju Punjabi, sari, baju top, legging dan juga baju tidur. Paling terkini ialah pakaian yang diperbuat daripada kain net,” kata Susila yang sudah 10 tahun berniaga dan kali ini dia turut dibantu anak gadisnya.
Bagi R Magesvari, 30, baru mendalami teknik melukis inai sejak setahun lalu walaupun sudah lama terbabit dalam perkhidmatan penyediaan pengantin. Walaupun baru setahun, jelas sekali Magesvari sangat kreatif orangnya.
Meskipun ‘pusat operasinya’ hanya ada satu meja kecil tetapi Magesvari tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang mahu tangan mereka dilukis inai.
“Paling ringkas, lukisan inai di tangan boleh siap dalam masa lima minit. Namun bergantung corak pilihan, ia mungkin boleh memakan masa berjam-jam terutama sekiranya melukis inai kepada pengantin. Inai biasanya dilukis di tangan, lengan dan juga kaki,” kata Magesvari yang mengakui Deepavali adalah waktu yang paling sibuk kerana ramai pelanggannya mahu tampil berseri dengan inai menjelang perayaan itu.
“Corak kegemaran ramai biasanya berbentuk bunga, merak, batik dan yang semula jadi. Warna pula terdiri dari hitam dan merah. Corak boleh dilihat daripada gambar yang saya sediakan dan jenis corak juga bergantung kepada bentuk tangan pelanggan. Corak tambahan akan dibuat sekiranya tangan mereka agak lebar,” katanya.
Untuk menyelami keinginan pelanggan, Magesvari akan berbual-bual sambil melukis. Malah dia juga tidak lokek memberi panduan mengenai penjagaan warna inai.
“Lukisan inai boleh tahan sehingga tiga minggu. Saya akan ajar pelanggan cara menjaganya supaya lebih tahan lama. Ia boleh dibasuh dengan sabun cuma tidak boleh digosok kuat bagi memelihara warnanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: