Monday, October 24, 2011

Orkid Thai ke pasaran dunia


CHITRAPAN Tiempayotorn memberi taklimat kepada peserta Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 ketika sesi lawatan ke Thai Orchids Company Limited di Bangkok baru-baru ini.


KUNJUNGAN ke ladang orkid milik syarikat Thai Orchids Company Limited yang terletak di daerah Bangphad, Bangkok, Thailand bagai memasuki 'syurga' tumbuhan renek itu.

Manakan tidak, keseluruhan kawasannya ditanam pelbagai spesies orkid berwarna-warni yang sangat cantik diiringi dekorasi taman cukup mengujakan.

Kehadiran tasik buatan di sebahagian kawasan taman anggerik itu pula melengkapkan lagi keindahan landskap serta panorama lokasi eksklusif berkenaan.

Keadaan yang mendamaikan itu seolah-olah mengubat rasa penat para peserta program kembara Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 selepas melalui siri penjelajahan yang amat panjang.

Persinggahan ke ladang tersebut merupakan sebahagian daripada jadual perjalanan acara yang dianjurkan Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).

Berbicara mengenai ladang komersial seluas 40 hektar itu, Presiden Thai Orchids Company Limited, Jade Meyanyieam memberitahu, syarikat tersebut mula beroperasi sejak tahun 1989.

''Ketika itu, ia dilaksanakan di kawasan seluas hanya lima hektar dan berkembang perlahan-lahan sehingga ke peringkat sekarang.

''Hari ini, ladang kami telah berjaya menempah nama sebagai pengeksport produk bunga orkid segar nombor satu Asia dan kedua di dunia selepas Belanda.

''Dalam perusahaan ini, syarikat hanya memberi fokus kepada pengeluaran dan pengeksportan bunga-bunga orkid segar sahaja,'' jelasnya yang juga Presiden Persatuan Pengekport Orkid Thai di Thailand.

Berpegang kepada moto Orkid Thai Melangkah ke Dunia, syarikat itu tidak pernah berhenti mengatur strategi memacu kejayaan dalam industri florikultur.

Antara tumpuan pelaksanaan operasi adalah seperti meningkatkan produktiviti serta penghasilan pelbagai baka orkid hibrid baru menerusi aktiviti kajian dan penyelidikan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut memberi fokus kepada aktiviti pembiakan, pengendalian sistem penanaman dan pengurusan berkualiti serta beretika.

''Di sini, kawasan penanaman dibahagikan kepada lapan zon utama dimana setiap zon ditanam dengan baka orkid yang berbeza.

''Secara keseluruhannya, ladang ini ditanam dengan lebih daripada 60 spesies bunga orkid.

''Kita juga mempunyai makmal sendiri untuk menggalakkan operasi penyelidikan baka-baka orkid baru dengan corak dan saiz lebih menarik,'' jelasnya yang mempunyai seramai lebih kurang 120 kakitangan sokongan.

Di ladang berkenaan, baka Dendrobium daripada pelbagai spesies mendapat sambutan cukup menggalakkan oleh para pengimport dengan penguasaan pasaran sehingga 90 peratus.

Di samping itu, baka lain yang turut ditanam adalah seperti Mokara, Dyed Orchids, Vanda, Ascocenda, Heliconia dan Anthurium.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: