
BANYAK sebab mengapa teater The Secret Life of Nora (Nora) yang dikatakan sebuah naskhah yang bertaraf pementasan di West End, London, United Kingdom ini mampu menarik perhatian para penonton.
Paling utama, teater yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 29 September hingga 16 Oktober ini menampilkan jalan ceritanya yang tersendiri.
Watak Nora lakonan Datin Seri Tiara Jacquelina digambarkan sebagai seorang primadona yang bukan sahaja diminati ramai kerana bakat lakonannya tetapi dia juga dicemburui oleh pihak-pihak tertentu.
Berbekalkan populariti dan bakat seni Nora, watak utama dalam teater ini dikembangkan dalam hal-hal yang melibatkan gaya sosial kehidupannya yang lain.
Ia antara lain membabitkan soal kehidupan sosial yang berlaku pada era tahun 1950-an dan 1960-an seperti perkembangan dalam dunia hiburan yang semakin berkembang pesat pada ketika itu.
Senario itu menggambarkan bahawa dunia hiburan termasuklah fesyen yang mewarnai suasana kehidupan sosial ketika itu tetap hebat dan tersendiri sama seperti era pada hari ini. Mungkin sedikit yang membezakannya adalah daripada segi teknologi yang menjadi penanda era ketika itu dan masakini.
Rentetan perkembangan watak dan jalan cerita Nora yang menempa namanya dalam senario itu ia secara tidak langsung turut melahirkan pelbagai dialog yang sinis dan adakalanya berbaur sindiran terhadap masyarakat secara umumnya.
Daripada situlah, teater arahan pengarah terkemuka dari West End, Steven Dexter itu berjaya melampiaskan pelbagai dialog yang kebanyakannya berbentuk humor tetapi bersalut sindiran yang tajam maknanya.
Biarpun dialog yang dilontarkan diselang-selikan dengan bahasa Melayu dan Inggeris tetapi pertukaran bahasa mengikut kesesuaian watak serta adegan dalam Nora tidak menganggu fokus dan pemahaman para penonton terhadap jalan cerita teater ini.
Secara awal pembukaan cerita teater ini sahaja, para penonton sudah mula dibiasakan dengan dialog-dialog bersahaja seperti yang dilontarkan oleh Adibah Noor menerusi watak Khatijah yang dilakonkannya itu.
Tidak dinafikan hampir keseluruhan adegan yang dipaparkan tidak dapat lari daripada dialog dan gerak badan pelakonnya yang mudah untuk menjurus ke arah itu. Justeru, tidak keterlaluan dikatakan Nora merupakan sebuah naskhah yang kuat elemen komedi di dalamnya.
Contohnya, menerusi gaya lakonan Tony Eusoff yang agak pantas pergerakan bentuk badannya di samping dialog-dialognya yang bersahaja tetapi pada masa sama ia mudah meruntun gelak tawa para penonton.
Selain menampilkan bakatnya dalam bidang seni, watak Nora turut diangkat sebagai hero apabila dia berjaya membantu menyelamatkan beberapa wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang diketuai oleh watak antagonis, Mr. J (lakonan Aznil Nawawi).
Kemunculan watak Mr. J yang pada mulanya hanya digambarkan duduk di sebuah kerusi besar dengan membelakangi para penonton tetapi sedikit sebanyak memberikan tandatanya sebelum watak itu dikembangkan secara meluas lagi.
Aznil bijak menggunakan nada suaranya yang tidak dibayangi seperti watak antagonis lain yang pernah dilakonkannya sebelum ini, misalnya dalam watak Profesor Klon dalam Cicak-Man.
Sebaliknya, hanya dengan menunjukkan tangan kanannya yang dibaluti sarung tangan hitam, dia sudah mampu menggambarkan kelainan watak tersebut.
Selain kekuatan jalan cerita serta sindiran sosial di sebalik teater terbitan produksi milik Tiara iaitu Enfiniti Vision Media itu ialah gemerlapan aura seperti gaya pementasan dari West End dan Broadway yang cuba ditonjolkan.
Pendekatan itu tidak sukar untuk dibandingkan berdasarkan gerak lakon, dialog serta kostum setiap pelakon serta props yang melatari pentas sepanjang hampir dua jam pementasan itu berlangsung.
Malah, kemunculan pelakon kelahiran Kanada, Ryan Silverman yang membawakan watak Roger bukan sahaja menyebabkan ramai penonton wanita terpukau kerana kekacakannya. Ryan menerusi watak lakonannya itu turut merungkai banyak makna dalam mewarnai kehidupan Nora pada klimaks teater ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: