Thursday, October 13, 2011

'MyBurger' didik Nuzul berniaga


Nuzul Ikmal Hafiz Anuar bertekad mengubah nasibnya dan keluarga melalui perniagaan burger yang dibantu LZS.


DARI kejauhan, di sisi kanan hadapan Kaunter Lembaga Zakat Selangor (LZS) Cawangan Selayang, dia cekatan menyiapkan pesanan. Dua anak gadis menanti sabar. Asap dari kuali leper naik ke udara, bersama bau yang membuka selera.

Dua keping daging ayam sebagai inti yang garing dan enak dipanggang, bersama hirisan salad dan timun juga tomato, sebiji telur digoreng bulat sebagai lapisan pelengkap, diisi juga mayonis dan sos lalu akhirnya diapit dua bun yang lembut. Akhirnya, siaplah sebiji burger ayam istimewa sedia untuk dinikmati.

"Assalamualaikum! Adik, nanti jika ada masa ustaz mahu jumpa sekejap. Juga jangan lupa, siapkan tiga biji burger ayam istimewa ya!" Penulis menyapa ringkas.

Tanpa songeh - meminjam istilah anak remaja - anak muda ini hanya mengangguk. Tidak lama, kira-kira 20 minit kemudian dia sudah terpacul di muka pintu Kaunter LZS Selayang dan di tangannya tersedia membimbit plastik berisi burger ayam istimewa, masih hangat dan tiga biji semuanya!

"Tak mengapakah tinggal warung sekejap," penulis memulakan perbualan. Dia awalnya tampak canggung. Maklumlah, tiba-tiba sahaja dipanggil masuk ke pejabat. Diwawancara pula oleh penulis, wakil dari ibu pejabat.

Mungkin dia terfikir, ada sesuatu yang mahu ditegur. Maka, wajar bagi penulis berbasa-basi mengendurkan suasana.

"Tak apa ustaz, ada rakan tolong tunggu," balasnya ringkas.

Perbualan selanjutnya, dia membuka cerita. Namanya Nuzul Ikmal Hafiz Anuar, 20. Anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Anak sulung adalah kakaknya, di bawahnya ada dua orang lagi adik-adik, seorang perempuan dan seorang lelaki.

"Bantuan perniagaan ini sebenarnya disediakan oleh LZS bagi asnaf yang layak. Ibu saya, Janatul Hazar Mohamad, adalah penerima bantuan zakat di LZS.

"Jadi, apabila ditawarkan peluang berniaga seperti ini, cepat-cepat saya terima. Mana tahu, dengan cara ini saya mampu membawa perubahan dalam hidup dan keluarga," tambahnya.

Menyentuh tentang ibunya, Nuzul memberitahu, ibunya adalah wanita berhati waja yang merupakan seorang ibu tunggal. Sungguhpun telah berpisah dengan suami, namun dia tega memikul beban membesarkan anak-anak.

Kini, dengan usia sudah menginjak usia 40-an, ibunya terus bekerja sebagai tukang masak di sekolah tadika.

"Saya baharu sahaja memulakan perniagaan jual burger ini. Baharu mula sebulan sebelum Ramadan tahun ini. Sebelum bulan puasa dahulu, Alhamdulillah sambutan memang menggalakkan.

"Namun, sepanjang Ramadan saya tidak dapat berniaga. Setelah membuka gerai pada tiga hari pertama berpuasa, tiada orang yang mahu makan burger.

"Mungkin orang kekenyangan berbuka. Akhirnya saya ambil keputusan menutup gerai. Sekarang ini, selepas musim raya baharu nak pulih semula. Sambutan sudah ada, tetapi tidaklah sehebat seperti mana sebelum Ramadan dahulu," ujarnya berkongsi ceritanya.

Dibayar gaji bulan

'Myburger' adalah inisiatif LZS melalui Pusat Pembangunan Usahawan Asnaf Zakat, iaitu dengan membuat kerjasama pintar bersama syarikat pengeluar daging burger muslim tempatan.

Melalui pelan ini, mana-mana asnaf yang berminat dan layak diberi peluang berniaga burger dengan jenama 'Myburger'.

LZS dan syarikat berkenaan akan menyediakan gerai burger, daging dan semua keperluan awal menyediakan jualan burger. Peniaga burger juga, seperti Nuzul akan diberi gaji bulanan RM900 atas hasil jualannya.

Seandainya mereka gagal melepasi sasaran jualan minimum yang ditetapkan, pihak LZS berhak memotong gaji berkenaan.

Tujuannya hanya satu, iaitu agar mereka tidak mudah mengambil sikap sambil lewa dalam berniaga kerana diberikan gaji tetap. Sebaliknya akan berusaha memastikan jualan yang tinggi menerusi kualiti penyediaan burger dan layanan yang diberikan baik dan memuaskan.

Itulah sebabnya LZS berusaha mewujudkan skim bantuan seperti ini.

"Alhamdulillah, buat masa ini jualan saya adalah antara RM40 ke RM50 sehari. Saya perlu usaha lagi bagi menambah jualan, jika tidak gaji saya akan kurang," kata Nuzul.

Sebelum menutup bicara bagi membolehkan penulis menikmati burger ayam spesial hasil tangan Nuzul, dia melontarkan harapan yang amat mengesankan.

"Jika boleh, saya mahu kekal lama dalam perniagaan ini. Saya mahu perniagaan burger ini maju dan tidak dirundung masalah.

"Saya sedar, bukan semua orang berpeluang mendapat ruang dan kesempatan berniaga seperti ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada LZS kerana memberi peluang ini.

"Kepada semua pembayar zakat pula, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kerana dengan zakat yang ditunaikan itulah, maka orang-orang seperti saya ini dapat mengubah nasib," tambahnya.

Perbualan tamat. Nuzul kembali melayani permintaan peminat burgernya. Penulis dan teman-teman di Kaunter LZS Selayang tidak sabar-sabar mahu menikmati burger ayam special, hasil tangan seorang anak asnaf berjiwa besar bernama Nuzul.

Doa saya, semoga Allah SWT memberkati perjalanan hidup Nuzul dan membantunya berjaya mencapai cita-citanya menjadi usahawan burger yang berjaya, amin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: