Tuesday, October 25, 2011

Muzik tradisional dalam irama moden


ORKESTRA Tradisional Malaysia bersedia memulakan karya mereka pada 26 hingga 30 Oktober ini.


DARI petikan gambus hingga gesekan biola, elemen-elemen itu sebenarnya boleh disatukan membentuk kesepaduan dalam seni. Begitu cetusan inspirasi yang dicipta oleh konduktor muzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya, Mohd. Yazid Zakaria yang bakal mempersembahkan karya istimewanya pada malam Malaysian Diversity di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas pada hari Jumaat ini, 28 Oktober pukul 8.30 malam.

“Sebanyak 15 buah lagu dari muzik-muzik Melayu asli, ghazal, sita dan sape sehinggalah pop, moden dan kontemporari bakal dipersembahkan pada malam itu,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar di bilik Siantan, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika sidang akhbar itu juga, OTM berkesempatan menyajikan sedikit persembahan khas yang akan dipentaskan antaranya lagu Overture Star yang muziknya digubah oleh Lilian Loo Shu Chin, Pak Ngah Balik gubahan Shamsul Zain dan dinyanyikan oleh Norihan Saif, Corazon Espinado, medley Santubong dan Sayang Kinabalu serta Joget Irish.

Selain itu, juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor akan turut sama memeriahkan persembahan dengan menyanyikan beberapa buah lagu seperti Gemilang, Somewhere, Joget Kenangan Manis dan Rolling In The Deep.

Istimewanya, persembahan daripada kumpulan Orang Asli, Bahbola dan Iqwal Hafiz akan turut serta menjayakan malam sambutan sempena Festival Seni KLCC 2011 itu.

Seramai 50 orang pemuzik daripada OTM akan bersama-sama menjayakan persembahan Malaysian Diversity yang hanya menggunakan alat muzik tradisional.

“Tapi selain itu, kita juga ada menggunakan instrumen moden seperti keyboard, gitar dan chelo untuk memperoleh notasi rendah yang tidak boleh dihasilkan oleh alatan muzik tradisional,” ujarnya yang pertama kali berkolaborasi dengan pihak Dewan Filharmonik Petronas.

Festival Seni KLCC sebelum ini pernah dijayakan pada tahun 2010 dan mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Maka, sehubungan itu festival seni dan budaya selama seminggu itu kembali lagi tahun ini bermula pada 26 hingga 30 Oktober ini dan pelbagai aktiviti disediakan setiap hari dari siang hingga malam.

Idea di sebalik festival ini diinspirasikan dari kewujudan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai pusat seni. Dewan Filharmonik Petronas selaku pentas berprestij untuk pemuzik dan artis tersohor mempersembahkan bakat.


KOMBINASI muzik Barat dan Timur bersatu.


Manakala Galeri Petronas menghimpunkan variasi lukisan dan karya pelukis ternama dunia dan Petrosains pula bertindak selaku pusat sains dan teknologi yang kreatif dan ekspresif.

Empat malam

Festival itu akan dimulakan dengan gabungan Ensembel Seni Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Dance Company pada hari Rabu ini, 26 Oktober menerusi persembahan berjudul Living Inspirations.

Pada malam ketiga (Sabtu 29 Oktober, pukul 8.30 malam), sebuah muzikal instrumental yang diinspirasikan daripada kehidupan masyarakat Malaysia akan dipersembahkan di bawah pimpinan pemain trombon MPO, Marques Young.

Persembahan berjudul MPO’s Native Foray itu akan menyampaikan muzik-muzik yang diinspirasikan daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, James Brown dan Ibrahim Ferrer daripada kaca mata pemuzik Barat.

Festival ini bakal diakhiri dengan persembahan muzikal Pesona Jauhar bertemakan Johor Heads North oleh Badan Kesenian Warisan Johor bermula pukul 8.30 malam.

Tarian berentak zapin dan muzik ghazal bakal bergema di pentas Dewan Filharmonik Petronas yang terbahagi kepada empat segmen iaitu Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.

Tiket berharga RM58 untuk setiap konsert dan boleh ditempah menerusi laman sesawang www.dfp.com.my dan www.mpo.com.my atau hubungi talian 03-20517007.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dan persembahan menarik turut menanti pengunjung di Esplanade KLCC antaranya No Noise Percussion, Royal Rhapsody SERATAS, Seri Puteri Winds, Stage Circle, Amir Johari, Tony Leo, Dikir Barat dan Floor Fever.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: