Sunday, October 30, 2011

Mumia firaun pemandu teksi London


PASUKAN pakar yang menukarkan mayat Alan menjadi mumia di Medico-Legal Centre di Sheffield. Pasukan ini diketuai pakar kimia arkeologi Stephen Buckley (baju putih).


ALAN BILLIS seperti sudah mengetahui dia akan mati akibat penyakit kanser paru-paru. Jadi sebelum meninggal dunia, pemandu teksi di kota London yang kuat merokok itu memberitahu isterinya yang dia enggan mayatnya ditanam.

"Tiada upacara pengkebumian, menggali kubur atau mayat saya diletakkan di dalam keranda," kata Alan kepada Jan Alan.

Alan seorang yang tidak percayakan agama. Baginya, tiada kehidupan selepas mati dan mati adalah penamat kehidupan seseorang.

Sejak Januari lalu, dia bergelut dengan penyakit itu. Sebagai tambahan kepada wasiatnya, Alan ingin jasadnya diawet seperti mumia mengikut tradisi pengawetan mayat pemerintah Mesir kuno iaitu firaun yang sudah berusia lebih 3,000 tahun.

Segalanya berpunca daripada iklan surat khabar yang dibaca Alan iaitu mengenai sebuah syarikat penerbit dokumentari televisyen mahu mencari individu yang ingin menjadi mumia selepas mati.

Kata Alan kepada isterinya, dia rela digelar Tutan-Alan sempena nama firaun Tutankhamun. Mumia Tutankhamun yang dikenali sebagai Raja Tut masih boleh disaksikan di Muzium Mesir di Kaherah.

Keputusan Alan itu mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang mengatakan dia sengaja mencari populariti sementara masih hidup. Ada pula yang mendakwa program dokumentari yang akan disiarkan dalam Channel 4 itu dibuat bagi menaikkan rating penonton saluran televisyen Britain itu.

Isterinya Jan memberitahu, Alan seorang yang keras kepala. Kepantangan Alan kalau keputusannya dipertikaikan orang lain. Dia juga tidak suka melakukan sesuatu perkara untuk tempoh yang lama.

"Oleh kerana itu dia sering bertukar-tukar kerja dengan memandu lori dan teksi," kata Jan.

Jan juga menyifatkan suaminya seorang yang amat menyayangi cucunya namun kegembiraan itu tidak kekal lama.

Pada Disember 2008, Alan mengadu dia kerap batuk selain tahap kesihatannya merosot.

Iklan

Selepas sebulan menjalani pemeriksaan dia disahkan menghidap kanser paru-paru. Doktor menjangkakan dia hanya dapat hidup selama enam bulan lagi.

"Alan begitu sedih memikirkan dia akan mati dan meninggalkan cucu-cucunya," kata Jan.

Beberapa minggu kemudian, Alan menunjukkan kepada Jan iklan surat khabar yang ingin mencari calon individu untuk diawet menjadi mumia.

"Saya bertanya adakah dia ingin memohon dan Alan terus menyatakan ya. Dia ingin kekal seperti masih hidup untuk ditatap oleh ahli keluarganya kelak," ujar Jan lagi.

Alan merupakan individu tunggal yang memohon untuk menjadi mumia dan dia terus terpilih mengikuti projek sains itu.

Sejak Disember tahun lepas kesihatan Alan bertambah buruk. Dia meninggal dunia 14 Januari lalu. Mayatnya dihantar ke Medico-Legal Centre di Sheffield, utara Yorkshire, England.

Proses pengawetan mumia Alan dilakukan oleh seorang pakar kimia arkeologi bernama Stephen Buckley.

"Saya sebelum ini hanya mengawet babi dan tikus di laman belakang rumah saya.

"Mengawet manusia merupakan ujian terhebat bagi saya tetapi rakyat Mesir zaman dahulu telah membuktikannya. Jadi saya yakin mampu melakukannya," katanya.

Proses mengawet mumia Alan sama seperti proses mengawet mumia Tutankhamun. Pada mulanya pasukan pengawet mumia Alan mengeluarkan isi perut Alan selain paru-paru dan buah pinggang dan dimasukkan ke dalam sebuah bekas khas.

Keras

Mengekalkan tradisi mengawet mumia cara kuno Mesir, jantung dan otak Alan kekal di dalam tubuhnya.

Bahagian dalam tubuh lelaki itu disteril dengan alkohol. Ia kemudian dibungkus dengan kain linen untuk mengekalkan tekstur tubuhnya.

Selepas itu, mumia Alan disaluti dengan minyak bijan dan kertas bersalut lilin sebagai langkah keselamatan sebelum dibasahkan selama 35 hari dengan natron yang merupakan sejenis garam yang terdapat di Sungai Nil, Mesir. Garam itu bertindak sebagai agen pemuliharaan.

Selepas dikeringkan di dalam sebuah bekas, mayat Alan dibalut. Keluarga Alan tidak menyaksikan proses pengawetan itu tetapi mumia Alan siap sepenuhnya pada Ogos lalu.

Jan telah pergi ke makmal itu untuk melihat hasilnya.

"Saya tidak takut tetapi lebih bersifat ingin tahu. Saintis menawarkan untuk membuka kain linen yang membaluti suami saya tetapi saya enggan melihatnya dalam keadaan bogel

"Apabila menyentuhnya dan merasai tapak tangannya, saya terkejut kerana tangannya terasa keras selepas diawet," katanya.

Ujar Jan lagi, kadang-kadang dia rasa bersalah kerana mayat suaminya dijadikan mumia.

"Namun, cara inilah yang Alan impikan. Dia mahu dijaga dan dilayan seperti seorang raja," kata Jan.

Mumia Alan akan kekal di Medico-Legal Centre sehingga akhir tahun ini. Nasibnya selepas ini tidak diketahui.

"Saya tidak mahu mengkebumikan Alan selepas proses mengawet ini selesai. Ia satu pembaziran selepas pelbagai perkara dilakukan. Malah, mumia suami saya boleh kekal sehingga 3,000 tahun," kata Jan.

Jan secara peribadi ingin mumia Alan dipamerkan di muzium. Katanya lagi, Alan pernah memberitahunya dia ingin dimasukkan ke dalam sebuah bekas dengan butang mekanikal yang kecil yang membolehkan mumianya berpusing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: