Wednesday, October 12, 2011

Mohamad Noor latih atlet tentera


TEGAS... Mohamad Noor tegas dalam memikul tanggungjawab sebagai jurulatih olahraga.


BEKAS Pegawai Waran II, Mohamad Noor Sudin, 62, merupakan antara pesara tentera yang melalui pengalaman istimewa dalam pasukan keselamatan tersebut.

Selain menjalankan tugas sebagai anggota tentera, Mohamad Noor juga memainkan peranan penting dalam pembangunan bidang sukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga

Mula berkhidmat sebagai anggota tentera sekitar 1969 dengan Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD) dengan jawatan Pegawai Waren Satu. Mohamad Noor mula menyerlah di lapangan olahraga pada 1971 apabila mewakili ATM dalam pelbagai pertandingan olahraga.

Ini termasuklah acara 4x400 meter dan 400 meter lari berpagar.

Biarpun namanya tidak tersenarai di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, namun Mohamad Noor bersyukur kerana minatnya di arena olahraga tidak sekadar angan-angan.

Barangkali, dek kerana minat yang mendalam itulah ruang dibuka untuknya menggilap 'tenaga baru' lapangan olahraga ATM dan apa yang membanggakan, ada di antara mereka bukan hanya mencipta sejarah buat ATM bahkan, mengharumkan nama negara di mata dunia.

Mereka termasuklah atlet 4x400 meter iaitu Mejar Mohd. Yazid Parlan (KJLJD) dan Staf Sarjan (SSjn) Mohti Razali (Kor Jurutera) serta atlet acara jalan kaki 10 kilometer, Pranita Satinah Long (Kor Perkhidmatan Am).

Menyelak helaian sejarah, Mohamad Noor dilantik sebagai jurulatih olahraga pada 1 Januari 1987 dengan tertubuhnya Pusat Latihan Olahraga Tentera Darat (PLOTD). Ketika itu dia ditugaskan di 72 Woksyop Divisyen, Taiping, Perak.

Dalam tempoh 24 tahun, ratusan atlet muda telah tersenarai sebagai anak didiknya. Berbeza dengan jurulatih olahraga lain, Mohamad Noor menggunakan modul pengajian dan formula sendiri dalam menyampaikan ilmu.

Contoh yang paling ketara, daya kreativitinya cukup terserlah apabila mencipta pelbagai peralatan gimnasium menggunakan barang terbuang.

Antara peralatan yang dicipta termasuklah Plyomatric Boxes dan Starting Block sehingga ke mana-mana program latihan melibatkan atlet di bawah pimpinan, segala peralatan gimnasium akan dibawa bersama menggunakan trak.

"Saya percaya untuk menjadi seorang jurulatih bukan hanya sekadar melatih tetapi perlu kreatif dan bijak membuat penilaian tentang kebolehan atlet yang dilatih. Ini termasuklah bijak mencari penyelesaian berhubung masalah yang mereka hadapi dan kecenderungan mereka.

"Maka tidak hairan ketika itu ramai yang memanggil saya dengan gelaran 'gimnasium bergerak'. Boleh dikatakan kesemua peralatan sukan yang saya ada diperbuat daripada barang terbuang dan semua lengkap sampai orang nak pinjam barang pun cari saya.

"Ini berbeza dengan peringkat awal penubuhan PLOTD yang hanya mempunyai sebatang besi berukuran empat kaki dengan kepingan besi seberat 1 kilogram (kg) untuk latihan angkat berat," katanya.

Mohamad Noor mengamalkan dua prinsip dalam latihan termasuklah prinsip Ansur Maju yang fokus terhadap latihan berperingkat mengikut tahap perkembangan atlet.

Kedua ialah A, B, C dan D iaitu tingkah laku (attitude), keberanian (brave), komitmen (commitment) dan disiplin (discipline) yang merupakan asas dalam pakej latihan amali dan lisan.

"Untuk mengetahui tahap pencapaian mereka saya akan pastikan mereka melalui peringkat penyesuaian terlebih dahulu malah, menggalakkan mereka menyertai pelbagai pertandingan terbuka. Jadi, secara tidak langsung mereka sudah terbiasa dengan pertandingan.

"Begitu juga dengan latihan stamina yang sering kami lakukan di tempat tinggi dan sejuk seperti di Cameron Highlands. Tujuannya adalah supaya mereka dapat berlari dan berlatih tanpa rasa penat kerana di tempat sejuk sel darah merah akan menjadi lebih banyak," katanya.

Biarpun kini Mohamed Noor sudah bersara daripada ATM, namun tenaganya masih diperlukan sebagai jurulatih kepada ramai atlet muda terutama daripada badan-badan swasta, bank di ATM sendiri.

Jelasnya, selagi kudrat masih ada dan diperlukan selagi itulah jiwa sebagai seorang jurulatih olahraga sebati di sanubarinya.

Tegas

Kalangan atlet, Mohamad Noor memang terkenal sebagai seorang jurulatih yang tegas.

Dari segi prinsip dan disiplin ketika latihan, semuanya diambil kira bagi memastikan mandat yang diberi kepadanya bukan sia-sia.

Pernah suatu ketika dia mengambil tindakan terhadap seorang atlet kerana gagal menghadiri latihan atas sebab peribadi.

"Saya jenis yang paling tidak suka kalau ada di antara atlet yang tidak hadir latihan. Terutamanya apabila melibatkan acara berkumpulan. Saya kalau boleh tidak mahu salah seorang daripada mereka tertinggal mana-mana bahagian pelajaran.

"Saya kira ini satu kerugian kerana saya tahu mereka berbakat. Pukul 1 pagi saya suruh atlet tersebut membasuh kolam yang saya panggil 'kolam komando' di Cameron Highlands. Ini secara tidak langsung memberi motivasi kepada dia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: