Friday, October 21, 2011

Manfaat 22 tahun pengalaman

BANGGA...kostum teater muzikal Puteri Gunung Ledang antara hasil sentuhan tangannya.
BANGGA...kostum teater muzikal Puteri Gunung Ledang antara hasil sentuhan tangannya.

“SAYA tekad mahu menjadi seorang pereka kostum kerana tidak ramai wanita memilih bidang ini sebagai karier utama mereka.

“Kebanyakan mereka memilih untuk menjadi seorang pereka fesyen dan bukannya pereka kostum. Justeru, saya berfikir, mengapa tidak saya memulakannya dan menjadi yang pertama,” kata Akma Suriati Awang, 45.

  • Foto

    SEGAK...kostum pahlawan lembu atau ‘matador’ antara rekaannya yang memerlukan perincian teliti.

  • Foto

    PENUH...kostum yang terlampau banyak menyebabkan bilik stornya padat dan penuh.

  • Foto

    TEKUN...tanpa mengira penat, Akma tekun menjahit bagi menghasilkan kostum bermutu.

Baginya, bidang rekaan kostum bukanlah pekerjaan yang semudah disangka. Cantik dan buruk sese�orang aktor mengenakan pakaian yang diberikan ketika di set penggambaran adalah idea pereka kostum itu sendiri.

Dia yang terkenal di kalangan penggiat seni perfileman, teater dan pengiklanan dalam dan luar negara berkata, pereka kostum bukan hanya perlu menyediakan kostum tetapi juga perlu me�ngetahui jalan cerita sesebuah karya dan watak pelakonnya.


Ini kerana, ia akan memudahkan se�orang pereka kostum itu mencari dan menghasilkan pakaian sesuai dengan watak dan pergerakannya, sinopsis cerita serta faktor pencahayaan.


“Ia bukan satu tugas tangkap muat saja kerana benang dan jarum memang tak pernah ditinggal bagaikan hubungan isi dan kuku. Kadang-kadang baju atau kostum terkoyak, terlalu besar atau kecil. Semuanya perlu dibuat dengan kadar segera tetapi pada masa sama, perlu profesional,” katanya.

Memulakan karier pada 1988, dia membawa 22 tahun penga�laman bersamanya bekerja selaku perunding fesyen dan pereka kostum selepas menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara atau UiTM) de�ngan Ijazah Sarjana Muda Seni Rekaan (Rekaan Fesyen).

Teater Nostalgia Laguku terbitan 1989 dan teater Suara Rimba pada 1993 adalah dua karya pertamanya sebagai pereka fesyen dan kostum.

Sejak itu, kerjayanya terus berkembang apabila hasil sentuhan tangan dan idea kreatifnya semakin diterima ramai pihak. Dia turut terbabit dalam arena rekaan fesyen daripada butik, pakaian korporat, kostum artis untuk drama, filem, iklan televisyen, persembahan khas seperti Citrawarna, pesta bunga, kereta berhias, hari kemerdekaan, pertabalan, sehinggalah ke teater bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Bercerita lebih lanjut mengenai minatnya itu, antara sentuhannya adalah kostum di dalam filem antarabangsa keluaran 20th Century Fox Production Limited seperti Entrapment, Anna and The King, Teater Puteri Gunung Ledang dan Paloh.

Bekerja di samping pelakon Hollywood terkenal seperti Catherine Zeta Jones, Sean Connery, Jodie Foster dan Chow Yun Fat serta pelakon tempatan seperti Tiara Jacquelina, Stephen Hughes Rahman dan M Nasir, bagaikan mimpi jadi kenyataan bagi insan sepertinya.

“Saya tidak pernah menyang�ka mendapat peluang dan pengalaman paling bermakna sebegini dalam hidup apabila diberi kesempatan bekerja di samping pengarah, pelakon dan kumpulan produksi ternama.

“Bekerja bersama mereka memberikan pengalaman bernilai yang tidak boleh ditukar ganti. Menerusinya, saya juga belajar sisi lain selain seni seperti erti semangat kerjasama, saling menghargai antara satu sama lain dan berdisiplin.

“Sepanjang pembabitan saya dalam bidang ini, tiada lagi produksi tempatan yang serius memandang peranan seorang pereka kostum itu sebagai salah seorang nadi utama kejayaan sesebuah karya.

“Situasi itu berlainan dengan produksi antarabangsa apabila seorang pereka kostum mendapat layanan sama rata seperti bintang utama selaras dengan tanggungjawabnya yang berat bagi memastikan filem atau teater itu menarik, sekali gus berjaya memikat hati penonton.

“Justeru, ilmu yang diperoleh melalui kesempatan saya bekerja bersama produksi luar sedikit sebanyak diharapkan mampu mengubah mentaliti produksi tempatan agar lebih peka dan berdisiplin,” katanya yang pernah bekerja dan turut serta dalam teater The Lion King di Jabatan Kostum, Hafen Theatre di Hamburg, Jerman pada 2005.

Bercita-cita mahu menjadi seorang pelukis ketika di bangku sekolah, pemilik syarikat Couture Classics (M) Sdn Bhd ini bertukar angin ke bidang seni rekaan fesyen dan kostum selepas berkenalan dan mendapat tunjuk ajar mentor�nya, Profesor Najib Noor.

Pendedahan diberikan Profesor Najib mengenai rekaan kostum membuatkan dia memilih bidang ini sebagai mata pencarian tanpa menoleh ke belakang, sebaliknya terus melawan arus seni yang sering mengalami pergolakan dan penuh cabaran.

Menurutnya, usai pengajiannya di UiTM, Indah Reka Butik di Bangsar Shopping Centre yang ketika itu pakaiannya dipakai pengacara televisyen popular, Wan Zaleha Radzi untuk rancangan di stesen televisyen TV3, menjadi lokasinya mencari sesuap nasi.

Hasil kerja kuat selama enam bulan saja, dia berjaya membeli sebuah mesin jahit industri, tepi dan sulam untuk memulakan perniagaan sendiri di Pandan Indah.

“Pada mulanya, tidak di�nafi�kan terdapat beberapa pen�syarah yang tidak yakin terhadap kebolehan dan keputusan saya. Mereka juga beranggapan ini adalah Malaysia bukannya Hollywood, mesti tidak boleh cari makan.

“Saya cuba dan terus mencuba. Alhamdulillah, kini saya mampu tersenyum puas dan gembira dengan kejayaan yang dicapai,” katanya yang suka memakai pakaian pelik dengan kombinasi warna terang sebagai asas.

Ibu kepada seorang puteri bernama Alia Uzaima, 3, ini berkata, tidak salah bermimpi atau berangan kerana ia adalah kunci dan penggerak kepada sesuatu kejayaan.

Menurutnya, tiada yang mustahil dalam hidup ini kerana semuanya dilakukan dan dibentuk diri kita sendiri serta jangan sesekali menyerah kalah sebelum mencuba.

Membesar dalam keluarga yang turut meminati seni, dia bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya tidak pernah menghalang minatnya untuk berkecimpung dalam bidang ini. Malah, suaminya, Mohd Uzaili Selamat, 43, menjadi tonggak utamanya apabila bersama-sama dirinya mengusahakan syarikat yang kini terletak di No 31, Jalan 24/56, Kawasan J, Keramat Wangsa.

Walaupun terpaksa bertung�kus-lumus sebelum mencapai kejayaan, berkat kesabaran dan usahanya, dia kini mampu berbangga menjadi wanita Melayu pertama menembusi bidang pasaran ini yang kebiasaannya dimonopoli kaum Cina.

Kecemerlangannya melayakkan dia menerima Anugerah Pereka Kostum Terbaik pada Festival Seni Boh Cameronian pada 2006 dan Finalis Anugerah Fesyen Antarabangsa Her, 1994.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: