Monday, October 24, 2011

Kesinambungan generasi IPhone


PEMINAT setia iPhone di tujuh negara iaitu Jepun, Australia, Perancis, United Kingdom, Kanada, Jerman dan Amerika Syarikat tidak melepaskan peluang memiliki produk iPhone 4S ketika dilancarkan Apple Inc. dua minggu lalu.


BEBERAPA bulan kebelakangan ini, topik perbualan di kalangan penggemar gajet dunia lebih berkisar kepada ‘cerita’ berkaitan syarikat industri teknologi maklumat paling berpengaruh, Apple Inc (Apple) .

Antara yang tidak henti-henti diperkatakan menerusi banyak laman blog dan juga laman web adalah tentang khabar angin Apple bakal mengeluarkan telefon pintar versi terbaru, iPhone 5.

Tidak kurang juga diskusi mengenai beberapa kejadian dan peristiwa tidak diduga yang berlaku secara berturut-turut di dalam organisasi kedua paling inovatif serta bernilai di pasaran dunia itu.

Bermula dengan perletakan jawatan pengasas Apple, Steve Jobs sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya, diikuti pelancaran model iPhone 4S dan bukannya iPhone 5 seperti yang digembar-gemburkan.

Keadaan tersebut telah mengundang kritikan dan kekecewaan peminat produk teknologi Apple yang sememangnya telah lama menantikan kehadiran generasi kelima peranti telekomunikasi iPhone itu.

Sehari selepas pelancaran iPhone 4S, dunia digemparkan pula dengan kematian Jobs pada usia 56 tahun kerana menghidap penyakit kanser.

Perkara paling menarik yang kini menjadi sebutan ialah ada yang menganggap kemunculan iPhone 4S dan bukan iPhone 5 ialah bagi memberi penghormatan kepada Steve Jobs iaitu 4S’

(Untuk Steve).

Berita demi berita mengejutkan itu dilihat sedikit sebanyak akan mengubah paradigma serta lipatan sejarah perjalanan organisasi tersebut pada masa akan datang.

Justeru, tanggungjawab dan cabaran cukup besar perlu digalas oleh Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc. yang baru, Tim Cook untuk terus mengekalkan prestasi Apple di peringkat terbaik di samping menarik perhatian serta meyakinkan para pelabur dan pengguna.

Melihat respons pengenalan model iPhone 4S ketika dilancarkan pertengahan Oktober lalu, pihak Apple banyak menerima reaksi rungutan daripada pengguna.

Walau pun begitu, model tersebut yang dinaik taraf daripada versi iPhone 4 itu masih menerima permintaan yang cukup menggalakkan.

Buktinya, sebanyak empat juta unit iPhone 4S berjaya dijual hanya dalam masa tiga hari selepas memasuki pasaran negara Jepun, Australia, Perancis, United Kingdom, Kanada, Jerman dan Amerika Syarikat.

Angka itu telah melebihi jualan sebanyak 600,000 unit yang pernah dicatatkan oleh iPhone 4 ketika diperkenalkan pada Jun 2010.

Malah, menurut syarikat pengeluarnya lagi, mereka telah menerima lebih daripada sejuta tempahan iPhone 4S secara dalam talian untuk tempoh 24 jam selepas model itu memasuki pasaran.

Itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana bagi peminat tegar produk-produk teknologi keluaran Apple, mereka pasti akan ‘menggila’ setiap kali syarikat itu tampil dengan produk baru.

Bermula 28 Oktober depan pula, iPhone 4S bakal dijual di 22 buah negara lain sementara untuk 70 negara lagi, ia akan dipasarkan bermula penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: