Tuesday, October 18, 2011

Kempen kebersihan tangan


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (empat dari kiri) bersama para tetamu jemputan dan orang ramai secara simbolik menunjukkan tapak tangan pada majlis pelancaran kempen Bulan Kebersihan Tangan 1Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


AMALAN mencuci tangan dengan betul mampu menjadi kayu pengukur kepada tahap kebersihan dan kesihatan individu mahupun sesebuah keluarga.

Berkongsi inspirasi tersebut, rangkaian penjagaan badan anti bakteria, Antabax sekali lagi bergabung tenaga dengan Kementerian Kesihatan menjayakan kempen Bulan Kebersihan Tangan 1Malaysia.

Bertujuan mempertingkatkan kesedaran dan menggalakkan tabiat mencuci tangan melalui program pendidikan kebersihan besar-besaran, kempen ini dijangka akan mencapai pembabitan tiga juta orang tahun ini.

Sehubungan itu melalui kerjasama Persatuan Pegawai Pendidikan Kesihatan (MAHEO), kempen tersebut telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Hospital Sungai Buloh, 10 hospital persendirian, hab pengangkutan Terminal Bersepadu Selatan dan Semasa Sentral serta lebih 3,500 kedai makanan dan minuman dan 28 sekolah seluruh negara.

Sasaran kempen adalah terhadap pakar kesihatan generasi muda, pekerja kaunter industri pengangkutan dan pelancongan serta mereka yang terlibat dengan penyediaan dan khidmat makanan kerana golongan ini sentiasa terdedah kepada risiko menyebarkan penyakit berjangkit melalui tangan.

Pengurus Besar (Bahagian Pemasaran Isi Rumah dan Penjagaan Diri), Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd. Francis Ng berkata, kempen tahun ini lebih besar dari segi skop dan jangkauan dengan lebih banyak elemen kreatif untuk memperkukuhkan keperluan kesihatan yang baik.

Ini termasuklah pengenalan maskot Germ Buster dan lagu kebersihan yang digubah khas.

"Antabax bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan disokong rakan-rakan kongsi demi membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu menjadikan kesihatan komuniti dan sikap berwaspada sebahagian daripada tabiat hidup kita

"Sambutan kepada kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia kedua telah melebihi jangkaan kami dari segi jumlah kumpulan yang dijangkau serta organisasi yang meminta kami mengadakan program premis mereka," kata Ng.

Berdasarkan tinjauan, secara purata tangan manusia menjadi tempat pembiakan 150 spesis bakteria yang berbeza, sementara 80 peratus jangkitan disebarkan melalui tangan yang kotor.

Tabiat kebersihan yang mudah - mencuci tangan dengan sabun atau sanitasi tangan mampu mengurangkan angka ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: