Tuesday, October 25, 2011

Kembali ke dunia seni


SELEPAS berjaya memerangi kanser, Lisa Ray begitu bersyukur dengan apa yang dimilikinya hari ini.


DIA sendiri tidak pernah menyangka dengan penyakit yang hampir meragut nyawanya itu telah memberi satu perspektif baru dalam kehidupannya.

Kata Lisa Ray, dia amat bersyukur dengan peluang yang diberikan kepadanya sekali lagi selepas dia benar-benar pulih daripada penyakit kanser sel plasma yang dihidapinya sejak 2009.

Selepas melalui beberapa siri pembedahan dan pulih sepenuhnya daripada penyakit tersebut, Lisa mengakui dia semakin menghargai apa yang dimilikinya hari ini.

“Selama hampir dua tahun saya menyepikan diri dan fokus kepada pemulihan diri saya, banyak yang telah saya belajar. Apa yang telah saya lalui selama ini telah membuka mata saya tentang kehidupan, perhubungan, cinta dan kasih sayang.

“Saya telah melepasi satu fasa yang cukup memeritkan sehingga saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya tidak mahu lagi kembali kepada kesakitan itu.

“Dengan kejayaan yang telah saya kecapi, saya menganggap saya sebagai seorang graduan dari dunia kanser. Malah, ia sendiri telah mengubah kehidupan saya secara total di mana saya kini menjadi seorang yang lebih optimistik,” ujarnya penuh bersungguh dalam satu temu bual baru-baru ini.

Tambah Lisa lagi, walaupun sudah pulih sepenuhnya daripada penyakit berbahaya itu, namun, itu bukan satu tiket untuknya tidak menjalani kehidupan yang sihat.

Bahkan sehingga kini, katanya, dia masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru terutama dari segi disiplin makanan dan rejim senaman.

“Jika dulu, senaman bukanlah sesuatu yang saya ambil berat, tetapi segala-galanya berubah. Saya harus akui bahawa sekarang ini saya begitu obses dengan yoga.

“Hanya menerusi yoga, ia dapat membantu saya untuk mengurangkan tekanan dan mendapat tidur yang cukup. Sehinggakan saya kini dalam perancangan untuk membuka sebuah studio yoga di Kanada.

“Begitu juga dengan soal makanan di mana hanya makanan berkhasiat sahaja yang menjadi pilihan saya kini. Jika tiada aral melintang, saya juga bakal muncul dengan sebuah buku mengenai pengalaman saya memerangi kanser,” kata wanita kacukan Benggali dan Poland yang pernah membintangi filem kontroversi, Water pada tahun 2005 ini lagi.

Pun begitu, jelas Lisa, dia tidak mahu terburu-buru untuk kembali ke dunia seni kerana memerlukan masa yang cukup agar dia benar-benar bersedia.

Dalam pada dia sedang dalam proses pemulihan, Lisa menerima banyak tawaran berlakon.

“Bukan saya mahu melupakan dunia seni tetapi dalam keadaan saya sekarang ini, adalah lebih baik saya tidak melakukan kerja-kerja yang membawa keletihan berpanjangan.

“Atas alasan itu jugalah, saya telah menerima tawaran untuk mengacarakan rancangan Oh My Gold! terbitan Blue Mango Films untuk siaran di TLC,” katanya yang sempat membintangi sebuah teater bersama aktor veteran, Kabir Bedi di Toronto, Kanada, baru-baru ini.

Setidak-tidaknya dengan kemunculan Lisa dalam rancangan dokumentari tentang industri pembuatan dan tradisi barang kemas di India itu dapat mengubat kerinduan peminatnya.

Bercerita lanjut tentang Oh My Gold!, Lisa menjelaskan, dia cukup tertarik dengan kandungan program itu yang mengutarakan tentang barang kemas yang menjadi kebanggaan rakyat India sejak azali.

Lantaran itu, apabila dia ditawarkan untuk menjadi pengacara rancangan itu, jelitawan berusia 39 tahun itu tidak mempunyai alasan kukuh untuk menolaknya.

“Mengapa tidak saya melakukannya kerana sebelum ini, jarang sekali ada program yang mengenengahkan barangan kemas sebagai topiknya.

“Lagipun, saya sendiri memang sudah lama mahu menjadi hos untuk program pengembaraan (travel show). Jadi, inilah masa yang sesuai untuk saya lakukan dan saya sendiri mendapat banyak input serta pengalaman selain dapat mengembara seluruh India.

“Setiap bandar yang saya lawati semuanya memiliki pengalaman berbeza,” katanya yang berpeluang ke lima buah bandar iaitu Jaipur, Hyderabad, Delhi, Kochi dan Chennai untuk meninjau perkembangan industri barangan kemas di sana.

Sesuatu yang menarik tentang Oh My Gold! jelas Lisa, apabila dia dapat merasai peluang memakai sari yang diperbuat daripada emas selain menikmati rawatan muka emas.

Buat penonton setia saluran TLC (saluran 707, Astro), pastikan anda tidak ketinggalan menonton Oh My Gold! yang ditayangkan setiap hari Khamis bermula 27 Oktober ini, pukul 10 malam.

Bagi yang terlepas, usah khuatir kerana siaran ulangannya akan ditayangkan di saluran yang sama pada setiap Sabtu, pukul 4 petang dan Ahad (12 tengah hari).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: