Tuesday, October 18, 2011

Keajaiban Turki menarik pelancong


SEBAHAGIAN daripada peninggalan kota kuno Ephesus di Selcuk, Izmir, Turki yang masih dapat dilihat sehingga kini.


TURKI. Sebuah negara yang kaya dengan peninggalan kesan- ketamadunan lampau. Kehebatannya sukar ditandingi oleh mana-mana negara lain di dunia.

Antara tempat bersejarah yang menarik untuk dilawati adalah Ephesus - kota Yunani kuno yang terletak di bahagian barat Selcuk, Izmir, Turki.

Kota ini terkenal dengan candi Artemis yang dibina pada 550 SM. Ia dikatakan sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia kuno. Candi ini dirobohkan pada tahun 401 SM tetapi dibangunkan semula sebelum sebahagian besarnya musnah akibat gempa bumi.Namun, bukan soal candi itu yang menarik perhatian. Ia lebih kepada kehebatan tamadun yang terbina ketika era tersebut. Dari bukti-bukti yang ada, dianggarkan kota lama Ephesus ini sudah dihuni sejak 6,000 tahun SM.

Jika kita peminat filem-filem Yunani kuno terutama berkisar tentang Ratu Cleopatra dan kekasihnya Mark Anthony, berada di sini mampu memberi sedikit sebanyak gambaran sebenar tentang kehidupan ketika itu.

Tiket masuk ke kawasan arkeologi ini ialah 20 Lira Turki atau kira-kira RM40. Pun begitu, jumlah pengunjungnya tidak pernah susut.

Dalam perjalanan ke kota lama Ephesus ini pula, dapat disaksikan ladang-ladang zaitun yang saujana mata memandang, sekali gus membawa maksud Selcuk adalah sebuah wilayah subur yang terkenal dengan hasil pertanian.

Rombongan kami bersama Kumpulan Felda Global terdiri daripada 15 orang termasuk 11 wartawan dan jurukamera terasa menarik sejak awal kerana dibawa melalui laluan berbukit yang banyak mencatat sejarah.

Sebelum ke tapak arkeologi kota Ephesus, kami sempat singgah ke rumah yang didakwa menjadi tempat persembunyian Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s.

Masyarakat Turki amat peramah dan sangat membantu. Mungkin nilai-nilai budaya sebagai masyarakat Timur masih menebal di dalam diri mereka walaupun kehidupan semakin ke arah kebaratan.

Sepanjang lawatan kerja selama seminggu tersebut, kami juga berkesempatan berada di Istanbul. Jarak antara kota terbesar di Turki itu dengan Izmir adalah kira-kira sejam perjalanan menggunakan laluan udara - kapal terbang.

Pusat pentadbiran

Napolean Bonapharte pernah berkata: "If the earth were a single state, Istanbul would be its capital" (Jika dunia ini adalah sebuah negara, Istanbul akan menjadi ibu kotanya).

Istanbul pernah menjadi pusat pentadbiran bagi empat tamadun besar yang berbeza suatu waktu dahulu - bermula dengan Empayar Rom, Latin, Empayar Byzantin (Rom Timur) dan Empayar Turki Uthmaniyah. Di sini juga terdapat Selat Bosphorus - merupakan laluan air terpenting di dunia - menghubungkan Timur dan Barat - Laut Mediterranean dan Laut Hitam.

Jambatan Bosphorus bukan sahaja menjadi ikon Istanbul bersama bangunan-bangunan tua bersejarah seperti Masjid Biru, Ayasofya dan Muzium Istana Topkapi tetapi juga 'penyambung' antara benua Asia dan Eropah. Masjid Biru didirikan Sultan Ahmet I dari Dinasti Uthmaniah yang menguasai Turki pada abad ke-14. Sultan Ahmet I memerintah Turki pada tahun 1603 - 1617. Pembinaan masjid ini mengambil masa tujuh tahun iaitu bermula pada 1609 dan siap pada 1616. Dikenali sebagai Masjid Biru kerana struktur di bahagian dalamnya dihiasi dengan jubin-jubin biru.

Ayasofya dan Muzium Istana Topkapi juga mempunyai sejarah tersendiri. Malah di Muzium Istana Topkapi terdapat beberapa peninggalan Nabi Muhammad SAW seperti bekas tapak kaki, pedang, janggut dan serpihan gigi baginda.

Pengunjung juga boleh menyaksikan serban Nabi Yusof dan tongkat Nabi Musa yang digunakan untuk membelah Laut Merah pada zaman Firaun selain pedang milik keempat-empat khalifah dan pedang milik panglima Khalid Al-Walid.

Uniknya Ayasofya atau Haghia Sophia ialah pada zaman Romawi kuno, ia adalah gereja tetapi setelah Kerajaan Uthmaniah menakluki Constantinople (Istanbul) pada 1453, Ayasofya diubah menjadi masjid.

Hari ini, Ayasofya yang masih mengekalkan ciri-ciri Kristian (gereja) dan Islam (masjid) dijadikan muzium dan bebas dikunjungi.

Kami juga sempat menyusuri Selat Bosphorus yang menghubungkan dua lautan iaitu Laut Hitam di timur laut dan Laut Marmara di barat laut.

Warna biru laut dan nyaman tiupan bayu memang mengasyikkan. Burung-burung camar yang terbang rendah tambah menyerikan pandangan. Di kiri dan kanan laluan pula terlihat bangunan-bangunan lama dan rumah-rumah pelbagai warna - tidak ubah seperti melihat gambar-gambar pemandangan.

Sebelum pulang, jangan lupa membeli Turkish Delight, manisan diperbuat daripada madu dan tepung jagung dengan pelbagai rasa dan warna yang terkenal di Turki. Tapi awas, jangan membeli produk tiruan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: