SAAT menyaksikan seorang kanak-kanak lelaki mengambil sisa-sisa makanan daripada tong sampah untuk dijamah sebagai makan malam di Banting, Selangor satu ketika dulu, Praveendran Balasamy, 27, lantas mendekati kanak-kanak itu dan memberinya wang untuk membeli makanan.
Walaupun Praveendran baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun itu, sifat kemanusiaan dan tanggungjawab terhadap masyarakat terpinggir, begitu kuat dalam dirinya.
Tidak sanggup melihatkan kanak-kanak itu yang tidak berkeluarga dan hanya berumah di kaki lima, Praveendran membawa kanak-kanak itu pulang dan bermula detik itu tertubuhlah rumah kebajikan Sinthamani Divine Life Ashram.
Pengorbanan usia muda Praveendran membela nasib golongan kurang bernasib baik itu sememangnya berbaloi terutama sekali apabila melihat kanak-kanak yang dahulunya makan sisa daripada tong sampah kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Rusia.
Beroperasi di Jinjang Utara, Kuala Lumpur, rumah itu menjadi kediaman kepada 45 orang yang terdiri daripada tiga kategori iaitu golongan miskin, keluarga bermasalah dan yatim piatu.
"Tiada peringkat umur dihadkan kerana kami akan membawa pulang individu-individu yang dirasakan perlu bantuan kami termasuk warga emas dan ibu tunggal.
"Mengendalikan rumah kebajikan ini tidak mudah kerana kami perlu mendapatkan sumbangan sendiri dan sukar untuk menerima sumbangan hari ini jika tiada usaha mencarinya," luah isteri Praveendran, Satthiah Ponnusamy, 26.
Bagi menguruskan rumah kebajikan yang telah berusia 10 tahun itu, 15 sukarelawan mengambil giliran masing-masing dalam memastikan kemudahan serta kelengkapan penghuni rumah tersebut dipenuhi dan disediakan seadanya.
Majoriti penghuni rumah itu merupakan kanak-kanak yang masih bersekolah dan disebabkan tidak mahu kanak-kanak itu ketinggalan, kesemua mereka dihantar ke sekolah dan yuran serta perbelanjaan harian mereka bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai.
Seorang sukarelawan yang ditemui, Rajasegar Thangamani, 23, menyatakan pihak sekolah turut bekerjasama dengan mereka dengan memberikan potongan yuran dan pinjaman buku teks memandangkan status mereka sebagai golongan kurang bernasib baik.
"Bagi memastikan pendidikan mereka terjamin, sekumpulan pelajar dari Taylor's College akan hadir setiap Sabtu dan Ahad bagi memberikan tuisyen percuma buat penghuni rumah ini.
"Mereka akan dipecahkan mengikut umur dan diajar mata pelajaran asas selama dua hingga lima jam," jelas Rajasegar.
Walaupun hidup mereka tidak mewah seperti orang lain, namun kesederhanaan yang diterapkan dalam diri mereka menjadikan penghuni rumah itu begitu berdisiplin dan amat menghormati orang sekeliling.
Sewaktu sekumpulan penghuni rumah itu dibawa membeli-belah dan menjamu selera di Suria KLCC, penulis begitu kagum dengan karakter serta cara anak-anak itu membawa diri masing-masing.
Mereka tidak banyak kerenah dan ragam, walaupun agak pemalu namun mereka tidak pula menolak untuk dirapati dan berkongsi keseronokan yang dijayakan Suria KLCC, Isetan, Bata dan Restoran Spice of India itu.
Mendekati kanak-kanak lelaki bernama Indran Parsuraman, 9, membuatkan hati penulis sedikit tersentuh. "Pernah datang beli-belah macam hari ini tak?" soal penulis kepada Indran yang sedang menghabiskan makan malamnya.
Pendek sahaja jawapannya, "Tak pernah dan saya rasa sangat seronok," lantas kembali berbisik dengan rakan sebelahnya.
Indran tidak banyak bercakap tetapi, dia kelihatan teruja apabila disoal tentang pakaian dan kasut baharu yang diterimanya untuk Deepavali.
Bagi kanak-kanak yang masih memiliki ibu bapa, Deepavali mereka akan dirayakan bersama keluarga masing-masing untuk beberapa hari sebelum dihantar kembali ke rumah itu.
"Banyak ibu bapa tidak mampu menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka tetapi, tidak bermakna mereka tidak boleh merayakannya bersama-sama," ujar Satthiah lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: