Tuesday, October 25, 2011

Kadar beli telefon meningkat


PERANTI digital semakin diperlukan pengguna untuk memenuhi keperluan maklumat dan gaya hidup semasa.


PETALING JAYA - Kadar pembelian telefon pintar dan komputer tablet telah menunjukkan momentum yang signifikan di negara ini, menurut The Nielsen Company (Malaysia) Sdn. Bhd. (Nielsen Malaysia), firma penyedia analisis dan maklumat global.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Pelanggan dan Penyelidikan Pengguna Nielsen Malaysia, Luca Griseri, pemilikan telefon pintar dijangka berganda sehingga mencecah kepada 89 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang berbanding 48 peratus pada masa ini, manakala komputer tablet disasarkan mencecah 75 peratus daripada 18 peratus sekarang.

"Pengguna hari ini melihat peranti digital tersebut sebagai alat penting, khususnya ketika berada di luar rumah, dalam memenuhi keperluan maklumat dan kandungan dalam kehidupan seharian mereka," katanya pada sidang akhbar berhubung Laporan Pengguna Digital Asia Tenggara 2011 - Edisi Malaysia di sini semalam.

Laporan tersebut mengkaji trend teknologi dan Internet dalam corak penggunaan dan pembelian pada masa hadapan dalam pasaran tempatan.

Sejumlah 1,321 orang responden yang berusia 15 tahun ke atas telah mengambil bahagian dalam kajian yang diadakan di antara bulan Jun dan Julai lalu itu.

Griseri menjelaskan, laporan tersebut turut menunjukkan bahawa 63 peratus dalam kalangan pengguna digital yang dikaji memilih Internet sebagai sumber maklumat pilihan mereka dan 46 peratus lagi melihat Internet sebagai sumber maklumat yang paling dipercayai.

Beliau turut mendedahkan, 53 peratus pengguna digital di negara ini melayari Internet setiap hari dengan kadar purata 19 jam dan 48 minit seminggu berada dalam talian.

Susulan permintaan kukuh terhadap teknologi baharu di negara ini, beliau berkata, Malaysia berada di landasan yang betul ke arah menjadi sebuah ekonomi digital menjelang tahun 2020.

Menurutnya, Program Transformasi Digital atau Digital Malaysia akan mengubah tingkah laku pengguna terhadap peranti dan teknologi terkini, namun demikian pembekal perkhidmatan telekomunikasi dan kerajaan perlu bekerjasama bagi menyediakan infrastruktur dan keupayaan rangkaian yang berkaitan.

Griseri menambah, daripada aspek kadar penembusan Internet dan penggunaan teknologi baharu, Malaysia masih di belakang Singapura dan Thailand ekoran kekurangan infrastruktur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: