Tuesday, October 18, 2011

Jelajah flora Agrochallenge


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengunjungi Pesta Royal Flora Ratchaphruek di Chiang Mai, Thailand pada tahun 2006. Beliau ketika itu menyandang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.


PENJENAMAAN Agrochallenge terus dikukuhkan menerusi pengenalan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masyarakat dengan sektor pertanian, penternakan dan agro pelancongan secara santai.

Kali ini, penganjur program berkenaan, Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) menerusi program Agrochallenge Antarabangsa bakal membawa para peserta meneroka industri penanaman bunga-bungaan segar pula.

Ia akan diadakan di wilayah utara negara Thailand iaitu di Chiang Mai bersempena acara pesta Royal Flora Ratchaphruek dan Ekspo Hortikultur Antarabangsa Ratchaphruek 2011 yang diadakan di sana.

Memandangkan tempoh penganjuran pesta yang agak lama bermula 9 November 2011 hingga 15 Februari 2012, KUAT bakal membuka acara kembara tani itu kepada empat siri penjelajahan.

Bermula 8 hingga 12 November 2011 akan datang, Agrochallenge Antarabangsa Chiang Mai Thailand juga akan dijalankan pada 27-31 Disember 2011, 24-28 Januari 2012 dan 8-12 Februari 2012.

Selain Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, acara tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Pertanian Thailand serta organisasi penggerak kempen One Tambun One Produk (OTOP) di Thailand.

Menurut Pengarah Program Agrochallenge Antarabangsa Chiang Mai Thailand, Aminuddin Mohamad, acara itu menyasarkan penyertaan daripada kalangan pengusaha bunga-bungaan tempatan, industri kraf dan pelancongan.

''Pesta flora yang terbesar di Thailand ini bakal dikunjungi oleh lebih empat juta pelawat dari seluruh dunia. Jadi kita mahu rakyat Malaysia mengambil acara ini sebagai platform menimba ilmu berkaitan industri hortikultur.

''Selain pendedahan, Agrochallenge ini turut menyasar objektif mempromosi industri pelancongan negara terutama yang berkaitan landskap dan taman botani,'' katanya.

Selama lima hari, para peserta akan dibawa melawat ladang orkid dan ladang longan di sekitar Ching Mai, perkampungan kraf Ban Tawai, perkampungan OTOP dan Umbrella Village di Bo Sang.

Bagi penyertaan acara Royal Flora Ratchaphruek pula, kesemua peserta bakal melawat pameran dan mengikuti seminar perniagaan di Pusat Pameran Antarabangsa Chiang Mai.

''Mereka juga akan dibawa melihat lokasi pameran bunga-bungaan dari Malaysia dikenali sebagai Malaysian Garden,'' jelasnya.

Bagi pengisian lain Agrochallenge Antarabangsa Chiang Mai Thailand, peserta-peserta akan dibawa melawat ke Projek Pertanian Diraja Mae Sa, Pusat Konservasi Gajah Mae Sa, ladang lembu tenusu dan Pusat Kebudayaan Khum Khantoke.

Untuk trip pertama program itu, pihak KUAT menyasarkan penyertaan seramai 100 orang peserta.

Anda yang berminat menyertainya, bayaran sebanyak RM3,000 seorang akan dikenakan termasuk tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat, makan dan minum, lawatan berpandu, cenderahati dan sijil serta keahlian Kelab Agrochallenge.

Maklumat lanjut mengenai program itu, sila hubungi Urusetia Agrochallenge Antarabangsa Chiang Mai Thailand, Aminuddin Mohamad (016-6113413) dan Zahari Abu Yazid (016-2830894) atau layari laman web www.ekuat.com.

Tarikh tutup penyertaan sebelum 30 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: