Sunday, October 23, 2011

Ingin ke pentas teater

pix_middle

PENGHUJUNG 2009 dia menceburi dunia lakonan secara serius. Banyak uji bakat dihadiri demi mencari platform untuk memperkenalkan nama. Sasarannya, biarlah 2010 ramai penerbit dan pengarah mengenalinya dan terbukti usaha yang tidak mengenal jemu itu berbaloi apabila hasrat itu mampu dicapai.

Banyak tawaran menjengah hinggakan tiada ruang rehat untuknya sepanjang tahun ini. Selesai penggambaran, dia akan berpindah pula ke lokasi lain.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Itulah penangan pendatang baru berbakat besar, Tasha Shila yang berjaya mencuri perhatian ramai menerusi lakonan berkesannya dalam siri Sahara, Gemilang dan Ramadan Terakhir.

Ke mana saja kakinya melangkah pasti ada memanggilnya Tina, Cikgu Rohana atau Sakinah. Perkembangan positif itu pastinya membuatkan hati gadis cantik ini berlagu riang. Manakan tidak, tiga karakter berbeza aura itu melekat di hati penonton hinggakan mereka menyapanya dengan panggilan itu.


“Syukur, banyak tawaran peranan utama menyusul selepas Ramadan Terakhir ke udara di TV3 Ramadan lalu. Biarpun penat, kerana minat tidak mengapa. Saya gembira dengan maklum balas yang diberikan penonton. Mereka menerima saya dengan baik bahkan ingat nama watak yang saya bawa lebih-lebih lagi Tina, Cikgu Rohana dan Sakinah.


“Pun begitu, saya tidak boleh leka dengan pujian yang diberikan kerana sebagai pendatang baru, banyak lagi ilmu lakonan yang perlu digali dan ia boleh diperolehi menerusi pengalaman.

“Justeru itu, jika ada watak sesuai dan tidak bertindih dengan jadual sedia ada, pasti tawaran yang dihulurkan disambut dengan rasa besar hati,” katanya yang anggun dalam persalinan O’oi Couture.

Tidak lekang dengan senyuman manis, anak sulung tiga beradik ini menyambung bicara dia baru saja selesai penggambaran siri Zikir arahan Feroz Khan untuk slot Akasia TV3 dan kini terikat pula dengan penggambaran Bunga April yang bakal menghiasi slot Samarinda saluran sama.

Drama rantaian arahan Along Kamarudin itu menyaksikan gandingan keduanya bersama aktor muda Shahz Jaszle selepas Gemilang yang turut dibintangi Tizz Zaqyah dan Kamal Adli.

Akui Tasha keterujaannya terhadap karier yang diceburi semakin tinggi apabila berpeluang membawa pelbagai watak. Bagaikan irama yang disusun indah apabila berselang-seli watak protagonis dan antagonis hadir dalam genggaman sekali gus memberi ruang kepadanya meneroka banyak sisi lakonan.

“Sebagai contoh, ramai bencikan watak cikgu Rohana dalam Gemilang tetapi kebaikan serta kenaifan Sakinah (Ramadan Terakhir) mengundang simpati penonton.

“Terus-terang apabila percubaan saya melakonkan watak gelap menjadi, bimbang pula andai tidak berpeluang bawa watak putih. Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pelakon serba boleh dan syukur ada yang membuka ruang untuk saya menunjukkan kemampuan diri.

“Alhamdulillah, kini berselang seli pula aturannya. Jika menerusi Zikir saya tampil dengan karakter antagonis, dalam Bunga April saya memegang watak gadis lemah lembut dan berjiwa tabah. Kepelbagaian itu buat saya semakin bersemangat meneroka watak-watak baru,” katanya.

Melalui watak yang dijayakan juga, Tasha banyak belajar apa itu erti kehidupan. Dengan menyelami karakter juga dapat membentuk keperibadian menjadi insan lebih baik daripada semalam.

Segala kebaikan daripada watak yang dibawa dijadikan panduan dalam mengemudi hari-hari mendatang bahkan ia disifatkan sebagai satu dakwah apabila sedikit sebanyak mampu mengubah persepsi dan perlakuannya.

Tidak dinafikan saingan semasa cukup sengit apabila teman seangkatan rata-ratanya berbakat dan memiliki pakej yang dituntut industri. Anak jati kota metropolitan Kuala Lumpur ini melihatnya sebagai perkara positif malah tidak sedikitpun dirinya gentar berdepan dengan saingan yang ada.

Apa yang penting adalah memberikan persembahan terbaik dan terus mencari kelainan agar diri tidak tenggelam dengan kemunculan bakat baru yang tumbuh bagaikan cendawan.

“Jika dulu ada yang merungut industri kekurangan pelapis tetapi sejak tahun lalu menyaksikan perubahan dengan kemunculan ramai pendatang baru yang berpotensi besar. Selain Neelofa, Anzalna dan Izara Aishah, ada beberapa nama lagi yang menjadi sebutan pengarah dan penerbit.

“Bagi saya itu satu perkembangan baik dan tidak timbul istilah tercabar atau gentar kerana rezeki masing-masing sudah tertulis.

“Lagipun saya masuk bidang ini kerana minat dan mahu mencari rezeki, jadi kenalah berusaha bersungguh-sungguh. Paling penting kena komited, jujur dan ikhlas dengan kerja. Saya tidak kisah penampilan nampak buruk di skrin TV asalkan nampak kelainan dalam persembahan.

“Jika skrip menuntut saya memotong rambut atau ubah gaya sedia ada, saya sanggup. Itukan sebahagian daripada tugas seorang pelakon,” ujarnya yang memasang impian bergelar penyanyi dan hos selepas mencapai kepuasan dalam dunia lakonan.

Bukan saja laris di kaca TV, si jelita ini turut dilamar menerajui beberapa filem namun dek kerana terikat dengan penggambaran drama bersiri, keinginan terbang lebih jauh itu terpaksa diketepikan.

Pengorbanan itu bagaimanapun berbaloi kerana impak yang diterima menerusi produksi drama cukup memberangsangkan.

Ralat? Bohonglah andai rasa itu tidak bersarang di hati lulusan Diploma Penyiaran MIM tetapi dipujuk diri mungkin tahun ini bukan rezekinya menyerlah di layar perak.

“Bagi saya, baik drama mahu pun filem impaknya tetap sama. Saya tidak mahu terlalu mengejar kuantiti hingga mengabaikan kualiti, lebih baik selesaikan satu persatu. Mana yang ada dalam genggaman harus diutamakan dan dilangsaikan dengan sebaik mungkin.

“Biarlah saya penuhkan jadual tahun ini dengan drama dan jika ada rezeki tahun depan filem pula,” kata bintang filem Ratu, Klip 3GP dan Rock 2.

Mengulas perihal peranca­ngan karier, Tasha yang pernah mengikuti kelas bimbingan vokal cikgu Shafi Sharif dan menghadiri uji bakat Akademi Fantasia musim ketiga serta ketujuh tetapi nasib tidak berpihak padanya berkata, dia ingin mengasah bakat di pentas teater.

Hasrat ini sudah lama bertandang di sanubarinya dan berharap dapat direalisasikan tahun depan.

“Saya bukan datang dari keluarga berdarah seni bahkan tidak pernah ada pendidikan secara formal dalam lakonan. Apa yang saya ada hari ini adalah dikutip daripada pengalaman yang tidak seberapa dan ia menuntut kerja keras dan fokus yang bukan sedikit.

“Pentas teater adalah salah satu platform terbaik bagi memantapkan skil lakonan dan saya teringin sekali merasai pengalaman itu.

“Selain pengalaman, saya belajar menerusi pemerhatian di lokasi dan tunjuk ajar pelakon senior. Paling banyak mendidik saya adalah aktor dan pengarah, Sofi Jikan. Ketika menjayakan telefilem Mencari Janah dan Ku Yakin arahannya, dia ajar saya cara-cara menjiwai watak.

“Harap-harap ada yang sudi menawarkan peluang beraksi di pentas teater kepada saya. Insya-Allah saya tidak akan sia-siakan kepercayaan yang diberikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: