
ATAS kelebihannya mahir bertutur dalam tiga dialek Cina iaitu Mandarin, Kantonis dan Hokkien atau lebih tepat hasil berkawan baik dengan rakan-rakan Cina, memberi ilham kepada Wan Sahaluddin Wan Farid mengambil resipi daging salai kering yang cukup popular di kalangan kaum Cina untuk dijadikan makanan yang boleh dinikmati oleh umat Islam di negara ini.
Hasilnya seperti yang sempat dirasai, ia sangat enak dan sedap. Rasa 100 peratus daging yang dimesrakan juga dengan pelbagai perasa manis, lada hitam dan sebagainya. Ia sama sekali tidak sama, sama ada dengan daging salai yang biasa mahupun daging dendeng yang cukup dipopularkan dari jiran.
"Daging salai kering ini adalah resipi asli dan berasal dari kaum Cina. Itu yang mereka salai dengan bau yang semerbak seperti yang lalu kita di Jalan Petaling tetapi sayangnya yang mereka salai itu adalah daging khinzir.
"Terpaksalah kita tutup hidung supaya tidak terhidu bau daging babi yang disalai itu," kata Wan Sahaluddin.
Wan Sahaluddin adalah pengasas dan pengerusi Syarikat Hyper Food Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di Sungai Buloh, Selangor.
Syarikatnya mengeluarkan pelbagai jenis produk makanan sampingan yang berkhasiat terutamanya daging salai dan panggang lembu, kambing, ayam, ikan kering halal dan serunding rangup benang sutera (floss) ayam, lembu, kambing dan ikan.
Beliau disifatkan membuat pusingan hampir 360 darjah apabila sanggup meninggalkan bidang pembinaan sebelum ini dan melabur hampir RM2 juta untuk terlibat dalam industri makanan ini.
Namun mengetahui bahawa daging salai ada potensi dijadikan makanan untuk seluruh kaum di Malaysia, ada sesetengah pengusaha berbangsa Cina mengeluarkan daging salai yang didakwa halal kerana menggunakan daging lembu dan boleh dinikmati oleh umat Islam.
Tetapi tidakkah lebih baik jika umat Islam sendiri mengusahakannya. Menyedari itu maka menjadi fardu kifayah kepada Wan Sahaluddin untuk beliau satu-satunya muslim di negara ini mengeluarkan daging salai kering ini dalam skala yang besar bagi memastikan umat Islam menikmati yang tidak sahaja produk keluaran Muslim tetapi yang penting 100 peratus halal dari apa juga aspek, terutama sumber bahan terutama daging dan seluruh aspek pengeluaran yang terjamin bersih dan mengikut Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).
Daging salai
"Saya tidak mahu mendabik dada sebagai satu-satunya pengeluar muslim yang mampu mengeluarkan daging salai kering di negara ini tetapi saya sekadar memenuhi tanggungjawab agar kita dapat menikmati makanan tanpa perlu ragu-ragu yang selama ini kita tertanya-tanya sedapkah daging salai kering ini?
"Apa rasanya? Mengapa orang Cina suka sangat dengan daging salai ini? apa khasiatnya? Dan macam-macam lagi pertanyaan.
"Jadi kini mereka boleh merasainya sendir. Rupa-rupanya memang sedap daging salai kering resipi asal Cina dan yang lebih penting makanlah banyak manapun, tidak perlu ragu, 100 peratus halal kerana saya mengusahakannya dengan memenuhi segala peraturan malah dengan mendapat bantuan teknikal dari pihak Mardi," katanya.
Beliau turut menawarkan umat Islam memasarkan daging salai kering ini secara francais dari Syarikat Hyper Food Industries itu.
Pengeluar kek lapis halal pun kena tempias
Satu masa kita dikejutkan dengan berita kek lapis Sarawak yang indah berwarna warni dengan rasa yang enak itu disahkan tidak halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sebabnya, kebanyakan pengusaha menggunakan mentega yang didapati bersumberkan babi.
Akibatnya ramai pengusaha kek lapis Sarawak yang rugi walaupun bukan semua pengusaha kek lapis menggunakan mentega tersebut.
Jadi begitu sekali kesannya apabila mekanisme halal tidak menjadi amalan dan diambil serius, perniagaan yang telah kukuh pun boleh musnah dalam masa yang singkat.
Begitulah yang terjadi kepada Syarikat Maria Kek Lapis Sarawak, jenama kek lapis terkenal di Kuching Sarawak. Syarikat ini juga nyaris gulung tikar natijah tersebarnya berita tersebut walaupun sudah bertapak sejak 10 tahun.
Bak kata orang, dek kerana nila setitik habis susu sebelanga. Walhal, Syarikat Maria bebas daripada mentega yang dikatakan mengandungi sumber babi itu.
Malah mereka selama ini adalah salah satu dari dua syarikat pengeluar kek lapis Sarawak yang mempunyai sijil pengesahan halal Jakim.
Salah seorang kakitangan Syarikat Maria Kek Lapis Sarawak, Julia Udin berkata, menyedari bahawa syarikat itu dimiliki bukan Islam menyebabkan mereka sedar pentingnya mematuhi peraturan penyediaan kek mengikut standard syarie dan mempunyai sijil halal Jakim.
"Begitu pun kami tetap menyamak premis kami sebagaimana yang dinasihatkan oleh pihak Jakim walaupun tidak ada sebarang peraturan yang kami langgar.
"Walaupun kami menanggung kerugian yang sangat besar dengan sebahagian besar stok tidak dibeli oleh pelanggan tetapi Alhamdulillah kini kami mampu bangkit semula dan tetap meneruskan usaha perniagaan kek lapis Sarawak ini setelah berjaya menempuh segala halangan dan cabaran," kata Julia.
Seperti yang dilihat sendiri, kek-kek lapis Sarawak keluaran Syarikat Maria mendapat perhatian luar biasa dari para penggemar.
Mereka begitu ghairah untuk memilih pelbagai jenis kek lapis, iaitu terdiri lebih dari 50 jenis yang dikeluarkan oleh syarikat ini.
Daging salai kering dan kek lapis Sarawak itu adalah antara yang terdapat pada Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, yang berakhir 16 Oktober lalu.
Halfest adalah pameran khusus untuk produk serta perkhidmatan yang men dapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan merupakan landasan bagi syarikat atau usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mempromosikan produk masing-masing.
Sebanyak 600 ruang pameran dan ekspo dibuka dengan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan dipamerkan oleh para usahawan kecil, sederhana dan syarikat-syarikat besar yang mempunyai sijil halal masing-masing.
Apa yang lebih menarik sepanjang Halfest di PWTC adalah kewujudan pelbagai jenis produk kegunaan yang kesemuanya halalan toyyiban.
Lebih istimewa, kebanyakannya adalah hasil keluaran para usahawan Muslim yang ingin memenuhi pelbagai keperluan fardu kifayah untuk seluruh umat Islam dan bukan Islam di negara ini.
Pengunjung dapat merasai sendiri pelbagai jenis produk lama dan baru terutama makanan dan minuman yang membuktikan bahawa umat Islam di negara ini tidak sepatutnya mempunyai masalah mendapatkan bahan-bahan yang halal untuk kegunaan seharian.
Malah bukan sahaja untuk mengisi keperluan harian tetapi ditambah pelbagai khasiat dan keistimewaan tersendiri bagi memastikan pengguna mendapat faedah yang lebih daripada biasa.
Ini apabila hasil pelbagai penemuan dan penyelidikan yang saintifik, pelbagai produk baru berasaskan tumbuh-tumbuhan herba dan lain-lain hasil sumber alam seperti madu, rumpai laut dan sarang burung misalnya berjaya dikeluarkan.
Semua ini persis mengembalikan sejarah perubatan dan amalan kesihatan Islam dahulu kala.
Umat Islam misalnya tidak digalakkan bergantung kepada penggunaan garam laut yang dihasilkan daripada proses pembersihan kerana dikatakan membawa mudarat kepada kesihatan.
Tetapi kita mempunyai garam yang lebih tulen, asli dan lebih berkhasiat, iaitu garam bukit keluaran Halagel (M) Sendirian Berhad yang diambil dari kawasan pergunungan Himalaya yang wujud secara semula jadi sejak jutaan tahun.
Pengunjung bukan sahaja berpeluang merasai sendiri pelbagai produk makanan dan minuman, Halfest juga mengajar kita pelbagai perkara mengenai soal penjagaan kesihatan, kecantikan sehinggalah betapa pentingnya umat Islam kembali menggunakan wang dinar emas.
Namun menarik juga akan kata-kata seorang pengunjung, yang kagum dengan pelbagai hasil keluaran bumiputra, Islam, halal dan memenuhi pelbagai spesifikasi dan kualiti keluaran.
"Sayangnya, selagi premis perniagaan yang besar-besar seperti pasaraya dan gedung beli belah, masih dikuasai oleh bukan Islam maka sukar untuk segala barangan produk Islam ini dapat menembusi pasaran.
"Jadi sukar untuk kita mendapat produk-produk yang halal dan berkualiti ini kerana budaya kita lebih suka membeli belah di premis yang besar yang kesemuanya di bawah satu bumbung berbanding premis-premis perniagaan yang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: