Tuesday, October 25, 2011

Gelombang industri pelancongan perubatan Asia


LONJAKAN industri pelancongan perubatan telah mendorong India memperkenalkan visa istimewa.


PELANCONGAN perubatan kini menjadi sejenis perniagaan yang menjana berbilion-bilion dolar di Asia.

Daripada pembedahan kosmetik sehinggalah kepada pembedahan pintasan jantung, dan dari hospital di India sehingga ke Singapura, industri ini berjaya mengubati lebih sejuta pesakit dari negara asing.

Mengapa konsep pelancongan perubatan menjadi tarikan? Jawapannya, di negara luar terutama di Asia, selain menawarkan harga yang munasabah, tidak wujud sama sekali senarai menunggu.

Selain itu, para pesakit asing juga dirawat oleh doktor pakar berbekalkan teknologi yang canggih.

Pakar industri meramalkan, pelancongan perubatan di Asia akan meningkat antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun, terutamanya dalam segmen pembedahan plastik.

"Pelancongan perubatan di Asia semakin menunjukkan pertumbuhan setara dengan kemewahan dan mobiliti yang bertambah baik di benua itu," kata Ketua Pusat Penyelidikan Pelancongan Perubatan, University Of The Incarnate yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Mengulas perkara yang sama, laman web Medscape News menganggarkan, Asia boleh menjana kira-kira RM13 bilion pada tahun depan untuk industri itu.

Bagi rakyat AS, mereka lebih cenderung dirawat secara peribadi di kediaman sendiri. Cara itu, boleh menjimatkan antara 40 hingga 50 peratus daripada kos perubatan.

Namun, bagi seorang pesakit dari Shanghai, China, Liu Xiou Yang, 34, yang melakukan pembedahan kelopak mata dan membetulkan rahangnya di Seoul memberitahu: "Berapa mahal pun kosnya, saya tetap akan pergi."

Sebagaimana kencangnya populariti gelombang industri muzik Korea Selatan (K-Pop), begitu jugalah industri pelancongan perubatannya.

"Setiap kali saya menonton drama Korea dan rancangan hiburannya, saya merasakan mereka semua cantik-cantik belaka dan saya ingin menjadi seperti mereka," kata Xiou Yang.

Obses cantik


BEBERAPA hospital di Korea Selatan dan Malaysia dikatakan mempunyai kepakaran dan teknologi yang bermutu tinggi.


Seorang pakar dari Klinik Pembedahan Plastik BK DongYang, Kim Byung-gun berkata, pesakit-pesakitnya berumur dari enam hingga 70 tahun. Kanak-kanak biasanya berdepan dengan masalah kelopak mata berkembar manakala yang dewasa pula berkehendakkan kulit yang mulus.

Secara puratanya, kata Byung-gan, untuk satu prosedur perubatan, pesakitnya akan membelanjakan antara RM15,000 hingga RM30,000.

Dalam pada itu, dalam penyelidikan yang dilaksanakan CLSA Asia Pacific Markets, rakyat negara China menguasai 60 peratus senarai individu terkaya di Asia.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya pesakit-pesakit dari negara Komunis itu bertandang ke Korea Selatan dengan membawa gambar selebriti-selebriti Korea dan memberitahu pakar tentang keinginan mereka untuk menyerupai selebriti yang diminati, kata Lee Soo-jung dari Klinik Pembedahan Plastik Lamar di Seoul.

Suntik ekonomi

Sememangnya, industri pelancongan perubatan menyuntik ekonomi Korea Selatan. Ia dibuktikan dengan kenyataan Institut Pembangunan Industri Kesihatan Korea Han Dong-woo iaitu bilangan pelancong ke negara itu pada tahun lalu mencapai kira-kira 82,000 orang dengan perolehan pendapatan mencecah RM2 bilion.

Pada tahun 2020, institut itu membayangkan terdapat berjuta pelancong perubatan yang berkunjung setiap tahun ke sana.

Bagaimana pula dengan Thailand, Singapura, Malaysia dan Filipina? Negara-negara itu dilaporkan mempunyai strategi tertentu untuk menarik perhatian pesakit luar terhadap bidang yang spesifik seperti ortopedik dan pembedahan jantung.

Di India misalnya, pelancongan perubatannya adalah jauh lebih murah daripada negara-negara Asia Selatan yang lain. Kebolehan para doktornya yang fasih berbahasa Inggeris antara 'faktor selesa' yang menggamit kunjungan pelancong.


Ramai tertanya-tanya adakah gelombang industri pelancongan perubatan akan menyisihkan lebih ramai pesakit tempatan?


India juga memperkenalkan kategori visa istimewa bagi menarik lebih ramai pelancong perubatan.

Thailand pula memperkenalkan negaranya sebagai destinasi dua tujuan iaitu pelancongan perubatan digabungkan bersama percutian santai. TripIndex baru-baru ini mengisytiharkan Negara Gajah Putih itu sebagai bernilai tinggi untuk pelancong AS.

Sementara itu, industri kesihatan di Singapura pula dianggap sebagai 'pusat premium'. Kebanyakan pelanggannya adalah terdiri daripada kerabat diraja, ahli politik berpengaruh dan artis ternama dari sekitar Asia.

Tahun depan, Singapura menyasarkan untuk menarik jutaan pesakit luar setiap tahun sekali gus menjana pendapatan sekitar RM9 bilion.

Malaysia tidak kurang hebatnya. Tahun lalu sahaja, negara itu berjaya menggamit 400,000 pesakit asing dan menjelang tahun 2020, sebanyak 1.9 juta orang akan mendapatkan khidmat di sana.

Filipina pula menyasarkan pelancong perubatan dari AS, Kanada, Taiwan dan Jepun. Negara itu percaya, mereka berupaya menjana sekitar RM3 bilion pada tahun 2015.

Bimbang

Walaupun industri pelancongan perubatan memberi pulangan lumayan kepada beberapa negara, ada pihak yang bimbang. Kata mereka, ia akan merangsang ramai bakat baharu untuk beralih khidmat ke sektor swasta.

International Journal for Equity in Health pula berpandangan, muka-muka baharu akan terpengaruh dengan gaji dan teknologi yang lebih tinggi dalam industri itu.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya menyatakan, konsep pelancongan perubatan memberi implikasi besar kepada kesihatan awam.

Katanya, kemungkinan besar terdapat isu mengenai perkhidmatan itu yang hanya memenuhi keperluan pesakit luar, tetapi mengabaikan keperluan tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: