Tuesday, October 25, 2011

Gandingan sensasi YouTube meriahkan AIM18


Gandingan AC Mizal dan Zizan sebagai pengacara pada malam AIM18 pasti menghangatkan lagi acara gilang gemilang pada malam itu.


GANDINGAN penyanyi daripada latar belakang yang berbeza kebiasaannya menjadi tarikan utama kepada sesuatu majlis lebih-lebih lagi majlis yang berkaitan dengan industri muzik tidak kira tempatan atau antarabangsa.

Kebiasaannya gandingan penyanyi yang dapat kita saksikan adalah paduan suara dua artis tersohor atau gandingan artis baru dan lama.

Pada Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) ini nanti, peminat muzik tempatan bakal menyaksikan satu gandingan baru yang dijangka menghangatkan lagi malam berlangsungnya anugerah gilang gemilang itu kelak.

Gandingan dua penyanyi sensasi yang membuat kemunculan dalam dunia hiburan melalui YouTube iaitu Najwa Latiff, 16 dan Greyson Chance, 14 pasti memberikan satu kelainan dan nafas baru kepada AIM tahun ini kerana kedua-duanya mencipta nama melalui medium yang sama walau berbeza budaya.

Seorang adalah penyanyi sensasi YouTube tempatan yang mula dikenali ramai setelah video nyanyiannya yang bertajuk Cinta Muka Buku dan Carta Hati mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat muzik tempatan.

Manakala seorang lagi berasal dari Amerika Syarikat yang lebih dahulu dikenali ramai apabila videonya menyanyikan lagu Lady Gaga bertajuk Paparazzi pada suatu majlis di sekolahnya menjadi sensasi sehingga telah ditonton melebihi 43 juta kali.

Bukan itu sahaja, malah lagu ciptaan beliau sendiri yang bertajuk Stars dan Broken Hearts juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila ditonton melebihi lima dan tujuh juta kali.

Kedua-dua artis ini adalah gandingan yang bakal membuat persembahan secara langsung pada segmen persembahan khas pada malam AIM18 yang bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 12 November ini.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM18, Adrian Lim berkata, kami menampilkan gandingan dua artis muda ini sebagai simbolik kepada besarnya pengaruh dunia digital terhadap perkembangan industri muzik.

“Bukan sahaja industri muzik tempatan, malah industri muzik antarabangsa juga dipengaruhi oleh medium digital yang telah menemukan beberapa bakat baru yang bakal menggegarkan industri seni suara nanti.

“Ini menunjukkan evolusi kepada sesuatu yang baru dan kita haruslah bersedia menerimanya dan dua individu muda ini pasti akan memberikan persembahan yang tidak dapat dilupakan pada malam itu nanti,” katanya.

Greyson atau nama penuhnya Greyson Michael Chance dilahirkan di Wichita Falls, Texas pada 16 Ogos 1997, mula dikenali ramai pada April 2010 apabila video nyanyiannya menjadi sensasi di YouTube dan sejak itu, perjalanan seninya terus berkembang.

Sejak mula dikenali ramai kerana bakat nyanyian yang dimilikinya, Greyson telah mengeluarkan single pertama yang bertajuk Waiting Outside The Lines pada Oktober 2010 manakala album pertama beliau bertajuk Hold On til‘ the Night diterbitkan pada Ogos, baru-baru ini.

Manakala industri muzik tempatan digegarkan dengan kemunculan penyanyi sensasi YouTube, Najwa Latiff yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Oleh kerana ini, beliau mendapat jolokan Si Gadis YouTube.

Lagu ciptaannya sendiri iaitu Cinta Muka Buku dan Carta Hati telah mengangkat nama Najwa sekaligus membuka pintu untuk beliau sama-sama terlibat dalam industri muzik tempatan.

Semuanya terjadi dengan tidak sengaja apabila beliau memuatkan videonya yang menyanyikan lagu Justin Bieber bertajuk Baby dalam laman YouTube.

Sejak itu, peminat dan industri muzik tempatan mula mengenali remaja ini walaupun masih belum mempunyai album sendiri.

Tuah daripada video tersebut memang tidak disangka apabila Najwa kini menjadi artis naungan syarikat rakaman NAR Records dan akan bekerjasama dengan produser berpengalaman Eddie Marzuki selaku penerbit untuk single pertama beliau.

Tambah Adrian, pihak jawatankuasa RIM dan rakan penyiaran, Astro Ria telah bersama menentukan senarai penyampai dan artis bagi mempersembahkan acara yang terbaik untuk hiburan penonton.

“Kepelbagaian artis yang akan membuat persembahan pada malam kemuncak itu pasti akan menghiburkan seluruh lapisan masyarakat,” ujarnya.

Selain daripada gandingan dua artis sensasi YouTube tersebut, malam anugerah AIM18 pasti akan dimeriahkan dengan gandingan dua pengacara terkenal dan juga pelakon iaitu AC Mizal dan Zizan Razak.

Gandingan dua pengacara popular lelaki ini juga pasti akan memberikan kelainan kepada majlis pada malam tersebut kerana tidak mereka tidak digandingkan dengan pengacara wanita.

Awal Ashaari dan Diana Danielle pula akan bergandingan untuk acara ‘Blue Carpet’ yang akan mewawancara secara langsung barisan artis, selebriti dan tetamu jemputan yang hadir bagi memeriahkan lagi majlis berprestij tersebut.

Antara artis yang akan membuat persembahan pada malam tersebut termasuklah artis solo seperti Ella, Stacy, Yuna, Hafiz dan artis berkumpulan seperti 6ixth Sense, Exist, Slam, Meet Uncle Hussain dan Azlan and the Typewriter.

Selain dari artis yang hadir membuat persembahan, barisan penyampai anugerah juga tidak kurang hebatnya apabila bakal menampilkan Datuk M. Nasir, Search, Ziana Zain, Nora, Remy Ishak, Neelofa, Syamsul Yusoff dan ramai lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, Celcom selaku penganjur utama AIM18 memberi peluang kepada peminat untuk duduk bersebelahan dengan artis kegemaran mereka pada acara muzik malam tersebut melalui penyertaan kempen Be A Star at AIM18.

“Selain itu, Celcom juga memperkenalkan satu kategori baru iaitu Mobile Artiste of The Year Award bagi memberi pengiktirafan kepada artis yang mempunyai jumlah muat turun lagu melalui telefon bimbit tertinggi,” jelasnya.

Bagi mereka yang ingin melihat penyanyi kesayangan mereka dengan lebih dekat bolehlah mengunjungi jelajah AIM18 yang bakal berlangsung pada 22 dan 23 Oktober ini di Kluang Mall, Johor.

Barisan calon-calon AIM18 akan turut menghiburkan peminat dengan persembahan secara langsung dan peminat juga berpeluang untuk menyertai sesi sua kenal bersama artis kesayangan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: