TERSUMBAT...Lia menunjukkan tempat pembuangan sampah rumahnya yang tersumbat.
KUALA LUMPUR: Rasa terancam dan tidak selamat. Itu situasi yang sering membelenggu beberapa penduduk di Flat PKNS AU2 Keramat, di sini, apabila suasana flat berubah perkampungan setinggan.
Flat satu bilik yang didiami penduduk sejak 1991 itu, mula menjadi seperti kawasan perkampungan rumah papan dipercayai perbuatan warga asing yang membuat penyambungan di rumah masing-masing tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Tinjauan mendapati, kawasan tempat bermain dan gelanggang sukan juga semakin sempit dan terlindung akibat sikap tidak bertanggungjawab mereka.
Malah, daripada tingkat atas suasana semakin tercemar dengan bumbung berkarat ditambah susunan zink yang berselerak seolah-olah seperti di kawasan setinggan.
Penduduk, Lia, 41, berkata sejak menetap di situ pada 1991 suasana flat yang teratur mula berubah apabila ramai penyewa asing memenuhi flat di situ. Katanya, sikap penduduk warga asing yang tinggal di bawah flat terbabit menyakitkan hati penghuni di bahagian atas apabila membuat penyambungan rumah secara haram.
“Mereka menyusahkan kami, saya yang tinggal di tingkat dua flat ini sering tertekan apabila tempat pembuangan sampah rumah saya tersangkut akibat laluan terowong sampah disekat disebabkan penyambungan rumah yang mereka dilakukan.
“Pernah kami sekeluarga dikejutkan dengan ulat sampah yang bersepah di dapur menyebabkan saya terpaksa turun dan naik tangga untuk membuang sampah,” katanya.
Dia berkata, bukan itu saja, suasana semakin sesak apabila tiada ruang untuk kanak-kanak bermain disebabkan kawasan gelanggang untuk melakukan aktiviti sukan dan riadah dijadikan halaman rumah mereka.
“Flat ini sangat hampir dengan jalan raya, dengan kawasan permainan yang terhad pastinya ia mengundang rasa bimbang ibu bapa apabila anak-anak mengambil risiko bermain di tepi jalan oleh kerana taman permainan sudah tiada.
“Saya pernah mengadukan masalah ini kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), namun jawapan diberikan mereka sudah membuat pemeriksaan dan tidak menjumpai sebarang penyambungan haram yang didakwa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain ketika dihubungi berkata pihaknya sudah banyak menerima aduan mengenai masalah penyambungan rumah di kawasan flat berkenaan.
“Disebabkan hampir semua penghuni di 13 blok flat berkenaan melakukan penyambungan haram, kami perlu telus dalam mengambil tindakan kerana ia membabitkan implikasi besar yang membabitkan banyak kawasan.
“Perbuatan ini salah dan notis serta kerja merobohkan kawasan berkenaan perlu dilakukan serta-merta kerana ia bukan saja mengganggu privasi jiran, malah boleh menyebabkan pergaduhan apabila penyambungan yang dilakukan merosakkan struktur rumah orang sebelah,” katanya.
Namun, pihaknya akan terus mengkaji masalah berkenaan bagi mencari penyelesaian kerana terlalu banyak kes penyambungan rumah secara haram di kawasan pentadbiran MPAJ.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: