Friday, October 28, 2011

Cerita budak sekolah


MENAMPILKAN barisan pelakon muda dan baharu untuk karakter-karakter utama, filem Apa Tengok-Tengok? cuba menyingkap kisah realiti para pelajar di alam persekolahan.


MELIHAT kepada pembikinan filem-filem tempatan, boleh dikatakan tidak banyak kisah yang memaparkan tentang kehidupan pelajar sekolah yang diangkat ke layar perak.

Pada masa ini, kebanyakan penerbit dilihat lebih selesa menghasilkan filem yang bercorak seram dan cinta memandangkan filem-filem sebegitu mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

Bagaimanapun, syarikat Venture Hills Film Production Sdn. Bhd. telah mengambil langkah untuk menerbitkan filem aksi komedi muzikal berjudul Apa Tengok Tengok? yang memaparkan tentang pergelutan dua kumpulan pelajar sekolah yang cuba mencari jati diri dalam kehidupan.

Sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 Oktober lalu, syarikat berkenaan turut mengambil langkah berani dengan mengambil pelakon-pelakon baharu untuk menjadi tunjang utama.

Antara pelakon yang membintangi filem tersebut seperti Iqbal Mazlan, Chomatt Samad, Grace, Aaron Roa, Pratip Baskaran. Bagaimanapun, ia turut diperkuatkan lagi dengan kehadiran beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hasan, Zulkifli Ismail Sathiya, Kuswadinata, Mahyon Ismail dan Datuk David Arumugam.

Namun begitu, sebaik sahaja tamat prebiu filem berkenaan yang diadakan baru-baru ini, persoalan pertama yang dibangkitkan adalah mengenai pemilihan Apa Tengok Tengok? sebagai judul filem itu.

Pengarahnya, Roy Krishnan ketika ditemui berkata, apa yang cuba dipaparkan dalam filem berkenaan adalah kisah yang sememangnya berlaku dan dilalui oleh pelajar sekolah.

“Biasanya kalau kita perhatikan dua kumpulan pelajar sekolah yang bermusuhan bertemu atau bertentang mata, tentunya perkataan pertama yang akan keluar dari mulut mereka adalah ‘apa tengok tengok?'.

“Sebenarnya itu adalah antara ayat yang sering digunakan oleh mereka dan setelah perbincangan dilakukan bersama penerbit, akhirnya kami bersetuju untuk menggunakan ayat berkenaan sebagai judul filem ini,” ujarnya lagi.

Apa Tengok Tengok? mengisahkan mengenai seorang pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Impian Emas, Johor Bahru yang berusaha untuk membentuk sikap dan perangai lapan orang pelajar tingkatan lima yang mempunyai masalah disiplin.

Lapan pelajar itu yang masing-masing membentuk sebagai dua kumpulan diketuai oleh Shariff Khan yang merupakan anak golongan sederhana dan satu lagi kumpulan pula diketuai oleh Ahmad Daniel, anak orang berada.

Penerbit Venture Hills Film Production, Susan Goh pula memberitahu bahawa pihaknya memang ingin menghasilkan sebuah filem yang dapat memberi kesedaran dan pengajaran kepada pelajar sekolah.

Menurutnya, gejala-gejala sosial seperti ponteng sekolah, pergaduhan, penculikan dan menggunakan pelajar untuk mengedar dadah adalah antara realiti yang berlaku sekarang dan itulah yang cuba dipaparkan dalam filem tersebut.

“Filem ini memaparkan isu masalah disiplin pelajar di sekolah yang sering menggusarkan banyak pihak. Sebagai penggiat filem, kami cuba membantu masalah ini dengan cara tersendiri iaitu melalui filem sebegini.

“Walaupun kami menyedari golongan remaja dilihat kurang menggemari filem-filem yang cuba memberi pengajaran kepada mereka, namun kami tetap berharap filem ini akan meninggalkan kesan di hati penonton,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Chomatt Samad yang membawakan watak Shariff Khan memberitahu dia sangat berpuas hati dengan lakonannya dalam filem tersebut.

Ujarnya, meskipun dibarisi dengan pelakon-pelakon baharu untuk memegang watak utama, namun pengarah telah memberikan kebebasan kepada mereka untuk membawakan setiap watak dengan cara tersendiri.

“Untuk mencari keserasian dengan pelakon lain tidaklah terlalu sukar dan pada yang sama pengarah juga telah membantu serba sedikit seperti memberi tunjuk ajar tentang aspek lakonan yang lebih berkesan kepada kami,” jelasnya.

Pelakon Iqbal Mazlan pula menganggap berlakon dalam Apa Tengok Tengok? memberikan banyak pengalaman yang cukup menarik terutamanya sepanjang penggambaran berlangsung.

“Selain tunjuk ajar yang diberikan oleh pengarah, kami semua akan duduk berbincang dan melontarkan idea masing-masing. Walaupun agak penat, namun saya rasa sangat berbaloi dan filem ini memang perlu ditonton terutamanya pelajar sekolah,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: