Friday, October 7, 2011

Cabaran urus sisa pepejal


PENJANAAN sisa pepejal di negara ini semakin meningkat dan banyak pihak kini sedang memikirkan cara terbaik untuk mengendalikannya.


KADAR penjanaan sisa pepejal negara ketika ini sudah mencecah 27,000 tan sehari. Isunya adalah: adakah kemungkinan besar sasaran yang dibuat sebelum ini iaitu 30,000 tan sisa pepejal sehari menjelang tahun 2020, bakal menginjak kepada angka baharu berdasarkan kepada laporan terkini itu?

Kedua, adakah tapak pelupusan sisa pepejal negara mencukupi untuk menampung penambahan itu? Dari satu sudut, mungkin segelintir daripada kita melihat isu ini tidak mempunyai nilai kepentingan dalam ekonomi negara.

Bagi mereka, hanya aktiviti berelemenkan pertumbuhan ekonomi dan kepesatan teknologi yang perlu diambil perhatian dalam mencapai status negara maju.

Hakikatnya, setiap aktiviti industri mahupun kegunaan domestik yang dilakukan oleh setiap daripada kita sebenarnya penyumbang kepada penambahan penjanaan sisa pepejal negara.

Apatah lagi dengan penambahan populasi penduduk negara ini, yang mencecah kepada 28.3 juta orang berdasarkan laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, sekali gus meningkatkan lagi kadar penjanaan sisa pepejal.

Namun, masih ramai mempunyai persepsi bahawa urusan sisa pepejal tiada kaitan dengan mereka, walhal kita juga sebenarnya turut memainkan peranan penting bagi membantu mengurangkannya menerusi kaedah mengitar semula. Mengapa senario ini berlaku?

Kitar semula


SEJAUH manakah rakyat di negara ini mengamalkan konsep kitar semula bermula di kediaman masing-masing?


Sudah hampir 12 tahun lamanya program kitar semula kebangsaan dilancarkan dengan penglibatan pelbagai pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat konsesi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun, amat menyedihkan apabila dilaporkan kadar kitar semula di negara ini hanyalah pada kadar lima peratus. Jika dibandingkan dengan negara maju, kita memang jauh ketinggalan. Jerman sahaja sudah mencecah sebanyak 74 peratus penglibatan program kitar semula, Belgium (71), Austria (67) dan Belanda (66). Di manakah silapnya?

“Mungkin faktor terpaksa mencari tempat mengitar semula dan menghantar sendiri sisa pepejal yang diasingkan itu, menyebabkan program kitar semula tidak begitu menambat hati masyarakat.

“Ditambah pula dengan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan kitar semula lantas menyebabkan mereka lebih gemar untuk mencampuradukkan pelbagai jenis komposisi sampah dalam satu tong,” kata Nadzri.

Atas faktor itu, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dilaksanakan bermula 1 September lalu dilihat berpotensi besar mendidik orang ramai mengamalkan sikap kitar semula.

Akta itu mewajibkan orang ramai mengasingkan bahan sisa pepejal dan bahan kitar semula dan mereka yang tidak berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang.

Biarpun akta itu diwartakan pada tahun 2007 dan hanya dapat dilaksanakan bermula 1 September lalu, itu bukanlah perkara pokok yang perlu diambil perhatian.

Lebih utama, ia perlu dilihat sebagai pembuka lembaran baharu dalam pengurusan sisa pepejal negara. Ia sekali gus dijangka dapat meningkatkan kesedaran orang ramai serta mengurangkan jumlah kutipan sampah ke tapak pelupusan.

Penguatkuasaan


DALAM pelaksanaan sistem akan datang, penggunaan lori kutipan sisa pepejal akan diperkenalkan selain menyediakan lori berlainan untuk memungut sampah yang boleh dikitar semula.


Menerusi pelaksanaan akta ini, barulah kerajaan dapat menguatkuasakan pelaksanaan penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal isi rumah dan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT dengan sepenuhnya.

“Ia secara berfasa. Bagi fasa pertama, pihak konsesi akan mula mengagihkan tong sampah berukuran 120 liter kepada seluruh kawasan perumahan secara percuma di semua ibu negeri kecuali di negeri-negeri yang memilih untuk tidak melaksanakan penswastaan penuh (Selangor, Perak, Pulau Pinang) sehinggalah 1 September tahun depan.

"Selepas setahun kemudian, proses agihan tong sampah itu akan diberikan pula di seluruh majlis perbandaran dan majlis daerah. Tong sampah ini akan digunakan untuk membuang hanya barang-barang yang tidak boleh dikitar semula seperti lampin pakai buang dan sisa makanan.

“Bagi barang-barang seperti kaca, botol, kertas, pengguna haruslah mengasingkannya dan tidak mencampurkan sekali dalam tong sampah tersebut,” katanya.

Selaras dengan itu, jadual kutipan sampah juga akan diubah kepada sistem 2+1 iaitu dua hari untuk mengutip sampah organik manakala satu hari diguna untuk mengutip sampah yang boleh dikitar semula.

Mengenai perbezaan lain hasil daripada penswastaan ini, Nadzri menambah: “Ada beza. Sekarang (sampah) dikutip tidak ikut peraturan, tidak ikut jadual, lori meleleh air larut resap (leachate).

“Tetapi, melalui sistem baharu nanti, anda akan dapat melihat perbezaan iaitu tiada air leachate meleleh keluar kerana menggunakan lori baharu dan kutipan sampah diasingkan antara yang boleh dikitar dan yang sebaliknya”.

Menariknya, sistem penggunaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) akan dilaksanakan kepada tiga syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan, Alam Flora Sdn. Bhd. di zon tengah, Southern Waste Management Sdn. Bhd. di zon selatan dan Environment Idaman Sdn. Bhd. di zon utara Semenanjung.

Bakal dipantau oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) secara berterusan, ia bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awal diuruskan dengan teratur dan sistematik.

Memandangkan kadar pencapaian kitar semula negara ini agak rendah, penguatkuasaan akta itu akan memperuntukkan tempoh dua tahun bagi memberi peluang kepada rakyat membiasakan diri dengan program itu sebelum tindakan diambil.

Sudah tiba masanya, bagi semua masyarakat sedar akan kepentingan penglibatan mereka dalam pengurusan sisa pepejal negara. Tanpa kesedaran ini, sudah tentu agak sukar bagi Malaysia mencapai status negara maju.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: