Monday, October 3, 2011

Bukan berakhir hidup

MERAH JAMBU...Bangunan Sultan Abdul Samad turut 'mengingatkan' mengenai bahaya kanser payudara.
MERAH JAMBU...Bangunan Sultan Abdul Samad turut 'mengingatkan' mengenai bahaya kanser payudara.

KISAH kecekalan pesakit kanser payudara memang mengagumkan dan tidak hairan jika ia terus mendapat perhatian walaupun selalu dipaparkan. Lantaran kerap diceritakan, ada sesetengah pihak menganggap ia sebagai kisah biasa yang tidak lagi memberi kesan di hati mereka.

Memang ia sebahagian kisah masyarakat kita. Sedihnya, walaupun kerap disiarkan, ia tidak mampu mengekang jumlah pesakit.

  • Foto

    SENTIASA WASPADA...pengesanan awal barah payudara boleh menyelamatkan nyawa.

  • Foto

    PEMBEDAHAN...kaedah utama rawat kanser payudara.

Kes kanser payudara di negara kita semakin bertambah iaitu daripada 4,048 orang pada 2000 kepada 6,991 kes (2004) dan 8,632 kes (2008) yang mewakili 13 peratus daripada keseluruhan kes kanser di seluruh negara.

Di negara kita, kanser payudara menjadi kanser utama meragut nyawa wanita. Pendaftar Kanser Kebangsaan melaporkan satu dalam 20 wanita di negara ini berhadapan penyakit berbahaya itu.


Lebih menyedihkan, kebanyakannya lewat dikesan kerana ramai yang mengambil sikap tidak endah apabila disuruh menjalani pemeriksaan.


Kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 menunjukkan, hanya 53 peratus wanita Malaysia menjalani pemeriksaan klinikal payudara dan hanya 50 peratus pernah menjalani ujian lumuran Pap (Pap smear) iaitu ujian saringan bagi mengesan kanser serviks peringkat awal).

Namun kisah yang ‘biasa’ akan bertukar jadi ‘tidak biasa’ apabila anda atau ahli keluarga menghidap penyakit ini. Walaupun ia dianggap ‘biasa’ namun tidak ramai yang dapat menerima pengesahan doktor dengan hati terbuka.

Jururawat Penjagaan Payudara Hospital Assunta, Low Loo Yee, berkata biasanya selepas pesakit diberitahu menghidap kanser payudara, mereka akan dirujuk kepada jururawat khas untuk diberikan maklumat lanjut mengenai penyakit, rawatan, pembedahan, persediaan pembedahan dan penjagaan selepas pembedahan.

Biasanya perjumpaan ini diadakan selepas pesakit bertenang.

“Bukan doktor tidak mahu meluangkan masa untuk bersama pesakit tetapi dalam kebanyakan keadaan, pesakit lebih senang berbincang dengan jururawat perempuan.

“Penerimaan pesakit terhadap pengesahan kanser payudara berbeza-beza, bergantung kepada latar belakang pendidikan.

“Biasanya pesakit yang berpendidikan tinggi dan mempunyai gejala akan lebih mudah menerima hakikat.

“Begitu juga jika pesakit ditemani suami atau adik beradik ketika berjumpa doktor.

“Sokongan daripada suami dan keluarga itu sedikit sebanyak dapat menenangkan pesakit.

“Pesakit muda dalam lingkungan 30-an lebih sukar menerima hakikat apatah lagi jika mereka belum berkahwin, tiada sokongan dan datang ke hospital sendirian.

“Bagaimanapun, ada juga pasangan yang tidak mahu menerima pandangan pakar perubatan khususnya dari segi rawatan.

“Kos rawatan kanser payudara memang tinggi dan inilah yang menyebabkan ada pesakit menuduh kami cuba mengaut keuntungan dan memilih untuk mencuba rawatan alternatif.

“Pesakit berhak memilih rawatan atau di mana mahu mendapatkan rawatan. Tugas kami di hospital untuk memberitahu pilihan yang ada.

“Biasanya pesakit yang memilih untuk menjalani rawatan alternatif akan datang balik tetapi keadaan pesakit ketika itu sudah bertambah teruk,” katanya.

Meskipun kanser payudara adalah kanser utama di kalangan wanita di negara kita, masih ada yang kurang pasti mengenai tandanya.

Antara tanda kanser payudara yang perlu diperhatikan ialah:

  • Benjolan atau pengerasan pada atau berdekatan payudara atau di bawah ketiak.

  • Banyak benjolan kecil mungkin dirasa seperti kacang.

  • Berlaku perubahan saiz atau bentuk payudara.

  • Ada lelehan jernih atau berdarah daripada puting susu.

  • Ada perubahan pada kulit payudara sama ada menjadi berlekuk, berkedut, bersisik atau radang.

  • Kulit payudara atau puting menjadi merah.


    Persediaan terima rawatan

    Tidak kira bagaimana sedih pun, ada satu perkara penting yang perlu kita ingat iaitu kanser payudara adalah penyakit yang mudah berkembang dan merebak.

    Anda beruntung jika ketumbuhan anda disahkan jenis benigna (boleh membesar tetapi tidak merebak).

    Bagaimanapun, ia masih perlu dirawat dan wanita yang ada ketumbuhan benigna berisiko tinggi mendapat kanser payudara.

    Prosedur rawatan kanser termasuk kanser payudara umumnya membabitkan pembedahan.

    Keperluan untuk kemoterapi atau radioterapi bergantung kepada keadaan setiap pesakit.

    Justeru, ada baiknya jika kita mengambil tahu serba sedikit mengenai persediaan sebelum menjalani rawatan. Antara pertanyaan yang kerap diajukan ialah:


    1. Berapa lama tempoh pembedahan?

    Tempohnya bergantung kepada jenis pembedahan yang diperlukan. Contohnya jika pembedahan memerlukan bukaan besar dan membabitkan bahagian ketiak, ia mungkin mengambil masa kira-kira sejam.

    Pembedahan pembuangan payudara (mastektomi) dan membabitkan bahagian ketiak serta pemasangan untuk pod kemo (saluran memasukkan ubat kemoterapi) biasanya mengambil masa dua jam.


    2. Berapa lama pesakit perlu mengambil cuti sakit?

    Tempohnya tertakluk kepada sama ada pesakit memerlukan kemoterapi atau radioterapi selepas pembedahan.

    Jika pesakit hanya perlukan pembedahan, biasanya dia perlu mengambil cuti sakit selama empat minggu untuk pulih. Sekiranya rawatan lain diperlukan, pakar onkologi atau radioterapi akan membuat pelan cuti untuk pesakit.


    3. Adakah pesakit perlu memberitahu ketua atau rakan dia menghidap kanser payudara?

    Terpulang kepada pesakit sendiri. Tiada paksaan. Sesetengah wanita memilih untuk merahsiakannya kerana bimbang ia boleh menjejaskan perkembangan kerjaya mereka. Sesetengah wanita tidak kisah dan berasa perlu untuk kawan-kawan tahu mengenai keadaannya.

    Apapun pilihan anda, yang penting anda mesti dalam keadaan tenang dan tabah ketika memberitahu penyakit anda kepada kawan-kawan.

    Bimbang jika ada orang beranggapan anda mencari simpati atau cuba ‘lari’ daripada bebanan kerja.

    Ada pakar berpendapat ia lebih baik diberitahu kepada orang yang rapat termasuk keluarga dan rakan-rakan kerana sebagai pesakit, anda sangat memerlukan sokongan.

    Sokongan ini bukan saja daripada segi moral malah dalam bentuk fizikal, khususnya jika pesakit ada anak kecil atau yang masih bersekolah.

    Bagaimanapun, memang ada pesakit meminta doktor merahsiakan penyakit mereka kerana mahu memaklumkan sendiri kepada keluarga apabila sudah bersedia dan tiba masa yang difikirkan sesuai.


    4. Adakah pesakit masih boleh bekerja selepas pembedahan? Atau perlu berhenti kerja?

    Tidak perlu berhenti kerja. Malah pesakit digalakkan untuk terus bekerja selepas luka pembedahan sembuh supaya mereka tidak terlalu memikirkan soal penyakit yang dihidapi.


    5. Adakah pesakit memerlukan bantuan selepas pembedahan? Jika ya, berapa lama?

    Anda mungkin tidak memerlukan bantuan selepas pembedahan kerana anda boleh berdikari untuk menguruskan diri sendiri.

    Bagaimanapun, keadaan setiap pesakit mungkin tidak sama. Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlukan bantuan terutama soal pengurusan anak, kerja rumah, memasak dan memandu.

    Lebih baik jika ada seseorang boleh menghulurkan bantuan di rumah terutama dalam tempoh tiga hingga empat minggu pertama selepas pembedahan supaya pesakit dapat menumpukan perhatian kepada proses pemulihan.


    Jangkaan selepas pembedahan

    Selepas sedar daripada pembedahan, anda akan dapati luka pembedahan dibalut dan ada tiub yang dimasukkan ke bahagian dibedah tadi untuk mengeluarkan cecair berlebihan dari badan. Ini penting supaya luka pembedahan itu cepat sembuh.

    Anda juga mungkin terkejut apabila mendapati banyak tisu yang dibuang dari kawasan payudara anda. Nodus limfa yang terletak di bawah ketiak pada belah yang sama biasanya turut dibuang dalam pembedahan bagi memastikan pelan rawatan anda.

    Ada wanita bimbang penampilannya akan berbeza selepas pembedahan. Sebenarnya tiada siapa tahu anda sudah hilang sebelah atau sebahagian daripada payudara anda kecuali anda sendiri yang memberitahu mereka.

    Jadi anda boleh jalani hidup seperti biasa tanpa perlu risau pandangan orang lain.

    Rasa sedih akibat hilang sebahagian, sebelah atau kedua-dua belah payudara adalah perkara normal. Ia dirasai semua pesakit kanser payudara. Anda harus ingat, payudara hanyalah sebahagian daripada anda dan anda masih lagi orang yang sama seperti sebelum pembedahan.


    Perkara yang biasa berlaku selepas pembedahan payudara:

  • Biasanya anda boleh bangun dari katil pada hari yang sama selepas pembedahan. Selepas beberapa hari, doktor akan membenarkan anda pulang ke rumah.

  • Tempoh tinggal di hospital bergantung kepada keputusan pembedahan.

  • Anda mungkin mengalami rasa sakit atau tidak selesa.

  • Jahitan pada luka pembedahan mungkin terasa ketat dan tegang.

  • Jika nodus limfa di bawah ketiak anda dibuang, ketiak anda juga akan rasa tidak selesa.

  • Anda boleh minta doktor memberikan ubat tahan sakit untuk mengurangkan kesakitan atau ketidakselesaan.

  • Pesakit mungkin boleh mengambil makanan biasa sehari selepas pembedahan. Pesakit juga boleh berjalan di kawasan hospital.

  • Pesakit biasanya dinasihatkan supaya tidak mandi sehingga tiub pada kawasan pembedahan dialihkan dan luka kelihatan mulai sembuh.

  • Selepas pembedahan, pesakit akan diajar kedudukan lengan yang betul dan senaman mudah untuk membantu mencegah ketegangan serta mengurangkan bengkak. Perkara ini sangat penting kerana ia kerap berlaku pada pesakit.

  • Pesakit dinasihatkan untuk meneruskan senaman ini selepas balik ke rumah.

  • Ketika ini pesakit mungkin sudah tidak berasa sakit. Pada mulanya, garis jahitan pada tempat yang dibedah boleh dilihat. Ia juga mungkin akan bengkak dan nampak pucat. Usah risau, masalah ini akan hilang perlahan-lahan. Bengkak akan surut dan kulit anda akan kembali ke warna asal.

  • Selepas beberapa bulan, parut jahitan juga akan pudar. Anda mungkin berasa bahagian dada seperti dicucuk-cucuk dengan jarum. Malah ada juga pesakit yang terasa kebas pada kawasan parut dan ketiak.


    Penjagaan luka

    Penjagaan luka sangat penting. Untuk mempercepatkan ia sembuh, luka anda perlu sentiasa bersih dan kering. Justeru, tutup balutan luka sebelum mandi dan tukar balutan ini jika ia basah atau kotor.

    Pantau perkembangan luka anda. Lihat jika ada tanda jangkitan seperti demam, kawasan luka menjadi merah, ada nanah atau berdarah.

    Jika tanda ini ada, usah bertangguh lagi. Segeralah berjumpa doktor. Jangan biarkan jangkitan berterusan kerana ia bukan saja boleh membuatkan luka lebih lambat sembuh malah meninggalkan parut dan meningkatkan kos rawatan.

    Sebenarnya ada banyak lagi maklumat penting yang perlu anda ketahui mengenai penjagaan selepas rawatan. Semuanya dicatatkan dalam dalam buku ‘Saya Ada Kanser Payudara! Apa Tindakan Selanjutnya?’ yang disediakan Hospital Assunta. Buku kecil percuma ini akan mula diagihkan pada pertengahan Oktober ini.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: