Wednesday, October 26, 2011

Bekalan air susut 9.5 juta liter


MOKHTAR (dua dari kanan) melepaskan anak ikan baung di Empangan Semberong, Batu Pahat, Johor semalam.


BATU PAHAT - Spesies hidupan ini sesetengahnya amat kecil dan hanya mampu dilihat menerusi mikroskop namun kehadirannya di dalam empangan air mampu menimbulkan masalah besar.

Itulah impak tumbuhan akuatik alga apabila kewujudannya di Empangan Semberong di sini mengakibatkan bekalan 10 juta liter air bersih di empangan tersebut terjejas.

Secara purata, Empangan Semberong mampu membekalkan air bagi kawasan sekitar bandar Kluang dan Jalan Kluang sebanyak 55.5 juta liter sehari.

Bagaimanapun kehadiran alga tanpa kawalan itu mengakibatkan jumlah air yang dapat dibekalkan berkurangan 9.5 juta liter kepada 46 juta liter sehari.

Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj), Mohd. Idris Kaparawi berkata, alga tersebut didapati memasuki mesin penapis sehingga membataskan pengeluaran air yang telah dirawat.

"Bagi mengatasi masalah itu, kami melepaskan 43,000 anak ikan baung dan lampam di Empangan Sembrong dan diharapkan ikan-ikan ini akan memakan alga tersebut," katanya kepada pemberita selepas melepaskan anak-anak ikan di empangan itu semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: